Friday, October 31, 2008 at 11:03 AM |  

KUCHING 30 Okt. - Sejumlah RM5 bilion diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi pembinaan kemudahan infrastruktur di Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE).

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, projek itu adalah pembinaan jambatan bernilai RM4 bilion, projek bekalan air (RM100 juta) dan pembinaan lapangan terbang (RM600 juta).

Beliau berkata, kesemua projek berkenaan akan dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR).

''Projek-projek ini secara tidak langsung akan merancakkan lagi pembangunan ekonomi di negeri ini," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan pegawai-pegawai kanan JKR di sini.

Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Infrastruktur berkata, SCORE akan menyumbang pertumbuhan sebanyak tujuh peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri pada 2030.

Katanya, selain itu, ia juga akan mewujudkan sebanyak 1.6 juta peluang pekerjaan kepada penduduk Sarawak.

''Antara pelaburan yang dirancang untuk SCORE ialah RM200 bilion bagi sektor perindustrian, RM67 bilion (sektor tenaga), RM61 bilion (infrastruktur fizikal), RM3 bilion (infrastruktur institusi) dan RM3 bilion (pembangunan modal insan)," jelasnya.

Sementara itu, Jabu berkata, beliau mahu JKR lebih bersiap sedia dalam memastikan usaha pembangunan SCORE mengikut jadual.

Beliau menjelaskan, agenda kerajaan negeri untuk menjadi sebuah negeri yang progresif serta memiliki industri sendiri akan tercapai sekiranya JKR sebagai agensi pelaksana utama menunaikan komitmen mereka.

Utusan Malaysia 31 Okt 2008

Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates