SHAH ALAM 28 Nov. - Pas dianggap sebagai parti bermasalah dan tidak mampu melaksanakan agenda pembangunan Islam ekoran tindakan sekutu mereka, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) seolah-olah menidakkan peranan mereka dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, tanggapan tersebut dilihat tidak selari dengan perjuangan parti itu yang sebelum ini lantang bersuara dalam ceramah dan kempen di pelosok kampung ketika pilihan raya umum lalu.

Katanya, Pas menabur janji kepada rakyat Selangor kononnya mahu menegakkan syiar Islam di negeri ini tetapi janji berkenaan tidak membawa apa- apa makna kerana parti itu gagal melaksanakannya.

"Sebagai contoh, ada pemimpin Pas dalam sesi ceramah ketika pilihan raya lalu berjanji kepada rakyat akan menutup kilang arak termasuk membuat janji lain dalam sesuatu perkara yang kononnya tidak diberi perhatian oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Bagaimanapun, janji itu dibuat sebelum menang pilihan raya. Tetapi apabila Pas sudah menang, hendak laksanakan pengharaman arak di kawasan majoriti orang Islam pun mereka tidak mampu kerana suara mereka tidak dihiraukan oleh DAP dan PKR.

"Malah, Pas juga dilihat terlalu lemah dan takut untuk menyuarakan pandangan mereka kerana bimbang akan dibantah oleh DAP walaupun tindakan itu jelas bertentangan dengan dasar mereka yang mengaku sebagai parti yang memperjuangkan Islam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

utusan malaysia 29 nov 2008

Posted by tajau singa raja

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Malaysia sedang mengambil tindakan-tindakan yang perlu bagi meningkatkan langkah berjaga-jaga dalam memastikan keamanan dan kestabilan yang ada terus kekal di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun Malaysia yakin berada pada kedudukan yang teratas dalam situasi itu, tetapi akan melakukan apa sahaja yang mungkin bagi memastikan ia tidak mengabaikan langkah-langkah berjaga itu.

"Kami sentiasa berjaga-jaga, yakin bahawa kami pada kedudukan teratas dalam situasi itu, tetapi kami percaya mesti terus memastikan bahawa kami boleh melakukan apa sahaja, sehingga tiada kemungkinan tindakan keganasan berlaku di Malaysia," katanya dalam satu temu bual dengan saluran BBC World News yang disiarkan malam ini.

Najib berkata, selain pasukan keselamatan, yang sehingga kini sangat berjaya dalam menangani sebarang kemungkinan tindakan keganasan, kerjasama serta sokongan rakyat juga menyumbang kepada keamanan dan kestabilan di negara ini.

Selain itu, undang-undang pencegahan khususnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah membolehkan Malaysia mengambil tindakan terhadap individu yang dipercayai akan menyebabkan tindakan keganasan di negara ini, katanya.

utusan malaysia 29 nov 2008

Posted by tajau singa raja
LIMA 24 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak ialah satu-satunya Timbalan Perdana Menteri yang menyertai sidang kemuncak ke-16 Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berakhir di sini semalam bersama-sama dengan raja, presiden dan perdana menteri dari negara-negara APEC.
"Saya rasa terhormat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memutuskan supaya saya mengetuai delegasi Malaysia ke sidang APEC. Berdasarkan kepada pendapat Perdana Menteri, adalah penting bagi saya untuk menjalin hubungan dengan pemimpin-pemimpin APEC yang lain.

"Sekiranya saya tidak menyertai sidang APEC pada kali ini, satu tahun akan berlalu sebelum saya mempunyai peluang untuk berjumpa secara kolektif dengan para pemimpin APEC," kata Najib kepada wartawan Malaysia di sini.
utusan malaysia 25 Nov 2008
Posted by tajau singa raja
BETONG 24 Nov. - Kira-kira 16,000 peserta skim kelapa sawit Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) akan menikmati dividen berjumlah RM50 juta daripada lembaga tersebut pada tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, pembayaran dividen kepada peserta akan dibuat pada Januari sehingga Julai tahun hadapan.
''Sejak bayaran pertama, Salcra telah membayar dividen berjumlah RM293 juta kepada peserta skim kelapa sawit termasuk pada tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Merarau Gereja St. Mark Nanga, Peka, Paku Spaoh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Augustine di sini semalam.
Jabu yang juga Pengerusi Salcra memberitahu, lembaga tersebut telah bersetuju untuk memperuntukkan RM250,000 bagi disalurkan kepada beberapa badan kebajikan di negeri ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial.
utusan malaysia 25 Nov 2008
Posted by tajau singa raja

KUALA LUMPUR 23 Nov. - Kerajaan akan mengumumkan hasil siasatan berhubung kes laporan serangan seksual terhadap wanita dan pelajar perempuan kaum Penan oleh pembalak di daerah Baram, Sarawak bulan depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, sebuah pasukan petugas khas telah dibentuk bagi menjalankan siasatan untuk menyelesaikan siasatan tersebut.

''Kami telah mendapat laporan daripada kedua-dua pihak dan sedang menunggu hasil siasatan pihak polis.

''Kementerian akan memastikan hak wanita termasuk kaum Penan sentiasa terjamin dan akan mengadakan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) ke atas mangsa bagi mengesan penjenayah,'' katanya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini semalam.

Baru-baru ini, laman web pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bruno Manser Foundation menyiarkan artikel yang mendakwa mereka mendapat maklumat bahawa wanita muda dan pelajar perempuan kaum Penan dirogol oleh pekerja balak di pedalaman Baram.

Berhubung Akta Kanak-Kanak 2001 pula, beliau berkata, akta itu kini di peringkat akhir perbincangan yang mana ia turut memperkenalkan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) bagi mengesan kanak-kanak hilang.

Posted by tajau singa raja
LIMBANG 23 Nov. - Bahagian Limbang akan menjadi pengeluar vanila pada masa akan datang apabila tanaman tersebut akan diperkenalkan di daerah ini tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah berkata, pada masa ini penyelidikan sedang dilaksanakan ke atas projek perintis tanaman tersebut bagi memastikan vanila berpotensi untuk diusahakan di kawasan ini.

Menurutnya, jika penyelidikan dan projek perintis itu berjaya ia dijangka menjadikan sektor tersebut ke arah pertanian moden malah membantu pertumbuhan ekonomi penduduk setempat.

''Pada masa ini, tanaman vanila ini diusahakan secara besar-besaran di Kuching dan Kota Marudu di Sabah manakala Limbang telah tersenarai untuk melaksanakan projek tanaman tersebut.

utusan malaysia 24 Nov 2008
Posted by tajau singa raja

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sedang melaksanakan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) bernilai RM1.29 juta di Kapit, Sarawak.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, projek itu bakal memberi manfaat kepada 255 buah rumah di kawasan tersebut.

''Setakat ini, proses reka bentuk sedang dijalankan dan dijangka siap Oktober tahun depan," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit) mengenai projek infrastruktur asas yang telah diluluskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi kawasan Kapit pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau memberitahu, bagi projek jalan pula, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM50.60 juta bagi membina jalan di laluan sepanjang 18.20 kilometer.

''Buat masa ini, proses perolehan sedang dilaksanakan dan dijangka kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan pada Februari 2009," ujarnya.

Posted by tajau singa raja

KAPIT 19 Nov. - Pada tahun 1960-an, pemandangan pekerja pengangkat barang adalah satu fenomena biasa di pelabuhanpelabuhan utama negara ini.

Justeru sejajar dengan arus kemodenan, pemandangan pekerja mengangkat barang untuk dipunggah ke kapal telah lenyap digantikan dengan jentera dan mesin.

Bagaimanapun, situasi lama itu sebenarnya masih boleh dilihat di Sarawak terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman yang tidak dihubungi dengan jalinan jalan raya.

Misalnya di Terminal Bot Ekspres Kapit, tenaga tulang empat kerat manusia menjadi taruhan pekerja-pekerja mengangkat barang di situ.

Umum mengetahui, ketiadaan sistem rangkaian jalan raya menghubungkan kawasan Sibu dan Kapit menjadikan sistem pengangkutan melalui sungai masih relevan kepada kira-kira 60,000 penduduk di situ.

Utusan Malaysia 20 Nov 2008

Posted by tajau singa raja
Wednesday, November 19, 2008 at 10:59 AM | 0 comments  
Kenyataan Anwar Sarawak merupakan kunci kejayaan PKR, merupakan omong kosong sama seperti cita-cita dan hasrat untuk menjadi PM pada 16 Sept yang lepas bak kata masyaarakat Iban JAKO NGAPA.
Kemasukan beberapa individu seperti Jimmy Donald Lim, Beginda Minda dan Gabriel Adit dan beberapa rakan mereka yang lain memang sudah dijangka dari awal oleh semua pihak cuma menunggu masa sahaja.
Berdasarkan hala tuju politik mereka yang semakin pudar ditambah dengan penolakkan masyarakat terhadap mereka mendorong mereka untuk menyertai PKR semata-mata untuk kepentingan diri masing-masing.
Oleh yang demikian, masyarakat DAYAK jangan mudah terpedaya dengan gula-gula tepi jalan pihak ini. kekalkan kayuhan kita kepada perahu asal, kukuh dan menjamin masa depan kita perahu yang menggunakan plat NO. 1 BARISAN NASIONAL.
Posted by tajau singa raja
18 November, 2008

KUCHING, 18 Nov (Bernama) -- Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan menimbang pandangan tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) lain sebelum memutuskan sama ada menerima atau tidak permohonan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Engkilili dari parti Bebas Dr Jonical Rayong untuk menganggotai parti itu.

Presidennya Tan Sri Dr George Chan berkata parti komponen BN kedua terbesar di Sarawak itu akan berbincang dengan pemimpin parti komponen lain mengenai perkara itu.

"Perkara paling penting ialah sama ada orang berkenaan mampu berkhidmat (untuk parti dan rakyat)," kata Dr Chan, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak selepas merasmikan Konvensyen Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) perkhidmatan awam di sini, Selasa.

Dr Jonical, yang bertanding atas tiket Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), tetapi meninggalkan parti pembangkang itu sebelum mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat setelah mengalahkan calon SUPP Jonathan Krai Pilo pada pilihan raya negeri 2006, kini merupakan satu-satunya wakil rakyat Bebas di negeri ini.

Sabtu lepas, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Ngemah Gabriel Adit, yang merupakan satu-satunya calon Bebas yang menang pada pilihan raya negeri lepas, menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) setelah BN Sarawak enggan menerima keanggotaannya.
Posted by tajau singa raja

KUCHING 18 Nov. - Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) iaitu parti tulang belakang dalam Barisan Nasional (BN) Sarawak tidak akan membiarkan gelombang tsunami politik Semenanjung melanda negeri ini.

Timbalan Presiden PBB, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata, buat masa kini parti perlu melaksanakan beberapa strategi untuk menghalang cabaran baru dalam politik.

Beliau yang menyifatkan politik di Sarawak seperti 'angin yang belum menjadi tsunami' berkata, apa yang penting ialah memenangi hati dan minda pengundi muda yang mudah terpengaruh dengan angin perubahan politik.

''Buat masa kini terdapat beberapa jenis 'angin' yang melanda suasana politik negeri ini. Walaupun ia belum kencang tetapi PBB perlu berjaga-jaga dan mencegahnya daripada menjadi tsunami," kata beliau.

Utusan Malaysia 18 Nov 2008

Posted by tajau singa raja
Tuesday, November 18, 2008 at 1:04 PM | 0 comments  

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Ekonomi negara ini tidak menunjukkan tanda-tanda akan mengalami kemelesetan, sebaliknya ia akan berkembang dengan lebih perlahan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Kong Cho Ha.

Beliau berkata, perkembangan yang perlahan itu akan menyebabkan ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan lebih kurang lima peratus bagi keseluruhan tahun 2008.

''Pertumbuhan ekonomi keseluruhannya adalah lebih rendah berbanding pertumbuhan positif sebanyak 7.1 peratus pada suku pertama tahun ini dan 6.7 peratus bagi setengah tahun pertama tahun 2008," katanya.

Posted by tajau singa raja

PUTRAJAYA 17 Nov. – Kerajaan hari ini menurunkan lagi harga minyak sebanyak 15 sen berkuat kuasa esok, kali kelima sejak Ogos lalu sejajar dengan penurunan harga bahan api itu di pasaran dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan penurunan itu berkata, petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.

Serentak itu, beliau meminta para peniaga mengambil langkah untuk terus mengurangkan harga barang selaras dengan penurunan harga minyak supaya orang ramai mendapat manfaat sepenuhnya.

‘‘Saya ingin memaklumkan bahawa pihak kerajaan telah mengambil keputusan untuk mengurangkan lagi harga runcit petrol dan diesel sejajar dengan penurunan harga minyak dunia yang berterusan.

‘‘Ini merupakan penurunan yang kelima sejak Ogos 2008, sebagaimana janji kerajaan untuk menurunkan harga jika ada penurunan dalam pasaran dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Posted by tajau singa raja

PULAU PINANG 16 Nov. – Semua pihak digesa menghentikan segala pertikaian terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebaliknya bekerjasama ke arah meningkatkan ekonomi negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sekarang merupakan masa yang sesuai bagi melaksanakan semua dasar dalam DEB kerana sememangnya ia memberi banyak manfaat kepada semua kaum di negara ini.

Ketua Menteri Melaka itu menegaskan bahawa walaupun dasar tersebut diwujudkan untuk membantu meningkatkan ekonomi kaum bumiputera, namun secara realitinya, DEB turut memberi manfaat kepada kaum lain.

utusan malaysia 17 nov 08
Posted by tajau singa raja
Friday, November 14, 2008 at 7:58 AM | 0 comments  

KUCHING 13 Nov. - Seramai 2,044 atau 2.67 peratus daripada 45,728 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sarawak tahun ini memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Dr. Julaihi Bujang berkata, keputusan tersebut adalah lebih baik iaitu meningkat sebanyak 53 orang berbanding sejumlah 1,991 orang yang mencapai keputusan yang sama pada tahun lalu.

Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, seramai 1,426 orang (4.24 peratus) adalah dari sekolah kebangsaan (SK) dan 618 orang atau 5.12 peratus merupakan calon dari sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

'Sebanyak 49 sekolah telah mencatat pencapaian 100 peratus pada tahun ini dengan 47 SK dan dua lagi adalah SJKC," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Utusan Malaysia

Posted by tajau singa raja

Selepas enam tahun Matematik, Sains diajar dalam bahasa Inggeris halang calon

KOTA BHARU: Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 yang diumumkan semalam membuktikan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak 2003, tidak menjejaskan prestasi murid.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, berkata daripada 511,875 sampel calon, 159,234 pelajar atau 31.1 peratus menjawab soalan Sains dalam bahasa Inggeris, berbanding 1,324 pelajar (2007) dan 1,035 pelajar (2006), manakala 108,842 pelajar (21.3 peratus) menggunakan campuran bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris.

Seramai 238,153 pelajar atau 46.6 peratus pula menjawab soalan Matematik dalam bahasa Inggeris dan 39,570 pelajar atau 7.7 peratus menggunakan bahasa ibunda, Melayu dan Inggeris.

“Walaupun jumlah murid yang memperoleh 5A dalam UPSR kali ini menurun, mereka yang memperoleh 4A meningkat manakala calon gagal berkurangan. Secara keseluruhannya, keputusan UPSR tahun ini OK.
Posted by tajau singa raja
Thursday, November 13, 2008 at 8:40 AM | 0 comments  

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Harga beras Super Tempatan Lima Peratus Hancur (ST5) dan Super Tempatan 10 Peratus Hancur (ST10) akan diturunkan dalam tempoh terdekat apabila langkah pentadbiran pewartaan dilakukan kerajaan minggu depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, bagaimanapun harga beras ST15 tidak akan diturunkan kerana harganya sudah rendah ketika ini iaitu RM1.80 sekilogram dan ia juga tidak pernah mengalami kenaikan sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, harga beras ST5 dan ST10 juga sebenarnya sudah rendah kerana terdapat beberapa syarikat yang telah menurunkan harga walaupun harga silingnya masing- masing adalah RM2.80 dan RM2.70 sekilogram.

Utusan Malaysia

Posted by tajau singa raja

KUCHING 12 Nov. - Kadar pengangguran di Sarawak masih rendah iaitu pada kadar empat peratus, kata Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber berkata, kadar itu merupakan yang terbaik telah dilakukan kerajaan negeri.

Katanya lagi, pengangguran hanya berlaku pada orang yang tidak minat bekerja dan terlalu memilih pekerjaan terutamanya mereka yang mahukan pekerjaan itu sesuai dengan kehidupan mereka.

''Kerajaan negeri akan sentiasa memantau dan menganalisis kesan kemelesetan ekonomi dunia terhadap kadar pengangguran di negeri ini," katanya kepada pemberita di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Posted by tajau singa raja
Tuesday, November 11, 2008 at 9:52 AM | 0 comments  

KUCHING 10 Nov. – Kerajaan negeri tidak pernah bersekongkol dan berkompromi dengan kegiatan penyeludupan serta perdagangan kayu secara haram di mana-mana tempat termasuk di sempadan Sarawak-Indonesia.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Sarawak, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan berkata, tuduhan yang mengaitkan Sarawak dengan aktiviti seumpama itu adalah tidak benar sama sekali.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa mengamalkan pembalakan berhemah dan memantau perkembangan global dalam industri perkayuan.

‘‘Antara langkah-langkah itu adalah penglibatan kerajaan negeri dalam rundingan Penguatkuasaan Undang-undang Hutan, Kerajaan dan Perdagangan-Perjanjian Usahasama Sukarela (FLEGT-VPA) antara Malaysia dengan Kesatuan Eropah (EU) dan perdagangan dua hala dengan negara-negara pengguna yang lain.

‘‘Selain itu, publisiti secara berterusan pihak Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) untuk menyebarkan maklumat yang tepat dan betul di dalam dan luar negara turut dilakukan,” katanya menggulung perbahasan bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Posted by tajau singa raja

KUCHING 10 Nov. - Kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini secara komersial melalui konsep Pembangunan Tanah NCR.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Sarawak, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan berkata, pendekatan konsep tersebut akan melibatkan pendaftaran pemilik-pemilik tanah NCR.

Menurutnya, bagi kawasan yang berkeluasan kecil, pemilik-pemilik tanah digalakkan untuk menggabungkan tanah-tanah mereka supaya dapat dimajukan secara komersial.

''Kaedah ini banyak memberi manfaat lebih-lebih lagi ia memastikan tanah-tanah mereka tidak terbiar dan terus kekal menjadi milik masing-masing.

Posted by tajau singa raja

KUCHING 10 Nov. - Sejumlah RM175.1 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan 117 program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sarawak bagi tempoh 2006 hingga 2008.

Menteri Kemudahan Awam Sarawak, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia termasuk 59 projek bekalan air bersih alternatif, 56 projek retikulasi dan dua projek bekalan air rawatan alternatif.

Menurutnya, daripada jumlah 59 projek bekalan air bersih, 58 projek tersebut telah siap dilaksanakan manakala satu lagi projek adalah di Ba'kalalan yang menggunakan sistem tapisan air yang telah sedia untuk dilaksanakan.

''Dua projek bekalan air rawatan alternatif akan dilaksanakan di Kampung Stass dan Bario malah projek sistem tapisan air turut digunakan di Kampung Stass dan sedang diuji pelaksanaannya.

''Projek di Bario pula sedang dalam pembinaan dan perkembangan setakat Oktober lalu adalah 82.6 peratus," katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Awang Tengah memberitahu, daripada 56 projek retikulasi, sejumlah 49 projek (87.5 peratus) telah disiapkan dan enam lagi masih dalam pembinaan manakala projek BALB di kawasan Lubuk Bemban, Sungai Duan serta Bedengan di bahagian Mukah dijangka dimulakan pada awal tahun depan.

Katanya, dalam usaha mencapai sasaran 70 peratus penduduk di luar bandar memperoleh bekalan air bersih menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kementeriannya akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi mempercepatkan program BALB.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, terdapat dua kontrak bernilai RM75 juta diperuntukkan pada 2006 bagi memperluaskan perkhidmatan bekalan elektrik di kawasan pedalaman dan projek tersebut telah siap pada Jun tahun ini dengan sejumlah 5,413 rumah telah memperoleh faedah.

''Sebagai tambahan, satu lagi projek bernilai RM35.6 juta diperuntukkan pada Oktober tahun lalu dan projek berkenaan kini 91 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember tahun ini," ujarnya.

Posted by tajau singa raja

WASHINGTON 5 Nov. – Barack Obama, hari ini memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), sekali gus mencipta sejarah sebagai Presiden kulit hitam pertama AS dalam tempoh 232 tahun sejak negara itu mencapai kemerdekaan dari Britain.

Obama, 47, yang mewakili Parti Demokrat mengetepikan pencabar kuat daripada Parti Republikan, John McCain dengan membolot 349 undi Badan Perwakilan Pemilih (BPP) di seluruh negara melepasi undi minimum sebanyak 270 undi BPP bagi melayakkan seseorang calon untuk diisytihar menang bagi menduduki White House.

Posted by tajau singa raja

KUCHING 5 Nov. - Kerajaan negeri akan mengemukakan dua projek pembinaan Jalan Ng. Entabai-Rantau Limau dan penurapan Jalan Pakan-Engkamop yang sepatutnya dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk dipertimbangkan dalam RMK-10.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, projek Jalan Ng. Entabai-Rantau Limau membabitkan pembinaan jalan sejauh 25 kilometer di sepanjang tebing Sungai Kanowit dan menghubungkan Jalan Meluan-Ng. Entabai ke Rantau Limau dengan anggaran kos sejumlah RM92 juta.

Menurutnya, projek tersebut telah dicadang dilaksanakan dalam RMK-9, bagaimanapun pelaksanaannya tertakluk kepada kelulusan yang diperoleh.

''Bagi penurapan Jalan Pakan-Engkamop yang melibatkan jalan sepanjang 31 kilometer pula telah dicadang untuk dilaksanakan di bawah Program Jalan Kecil Negeri dalam RMK-9 dengan kos sebanyak RM25 juta.

''Permohonan untuk pelaksanaan pembinaan jalan itu telah dikemukakan semula dalam Kajian Separuh Penggal RMK-9, namun ia tertakluk kepada kelulusan perancangan dan peruntukan yang diperoleh,'' katanya.

Posted by tajau singa raja

KUCHING 5 Nov. - Pembentangan Bajet Negeri 2009 oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada Isnin lalu mencerminkan keprihatinan kerajaan untuk menjamin kesejahteraan rakyat terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga, Simoi Peri berkata, langkah itu menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus mentadbir ekonomi negara dengan penuh amanah tanpa membuat janji-janji populis seperti dicanangkan oleh pembangkang yang boleh memusnahkan kedudukan kewangan kerajaan.

Sehubungan itu, menurutnya, rakyat di negeri ini diingatkan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda dan hasutan daripada pihak tertentu bahawa Sarawak akan menjadi miskin.

''Buktinya kerajaan negeri telah memperuntukkan RM4.3 bilion untuk perbelanjaan negeri dengan RM3 bilion atau 70 peratus untuk bajet pembangunan manakala bakinya 30 peratus atau RM1.2 bilion untuk perbelanjaan operasi.

Posted by tajau singa raja
Tuesday, November 4, 2008 at 7:59 AM | 0 comments  
PUTRAJAYA: Rakyat perlu yakin terhadap kemampuan negara untuk berdepan kemelesetan ekonomi dunia akibat krisis kewangan Amerika Syarikat dan tidak harus terbawa-bawa dengan rasa takut atau bimbang berlaku sesuatu yang buruk, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri menegaskan, Malaysia mampu menangani kesan krisis kewangan itu kerana sistem perbankan negara kekal kukuh dengan modal dan kecairan mencukupi untuk terus memberi pinjaman bagi membiayai aktiviti pembangunan selain kadar simpanan serta rizab yang besar.
Ekonomi negara juga disokong oleh pelbagai sektor pertumbuhan baru seperti pelancongan, perbankan, insurans Islam, bioteknologi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang boleh terus dimajukan selain perbelanjaan domestik kekal rancak.

"Kita tak perlu terbawa-bawa dengan rasa takut atau bimbang. Kita mesti ada keyakinan menempuh cabaran dan melihat diri kita secara objektif. Kita berada dalam keadaan stabil, tidak terumbang ambing yang boleh menimbulkan keraguan kepada kestabilan mata wang
Posted by tajau singa raja

KUCHING 3 Nov. - Menteri Kewangan II Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh kesal dengan tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang bertindak menyindir kerajaan negeri dan membelakangkan peraturan Dewan.

Menurutnya, ADUN Bukit Assek, Wong Ho Leng dengan jelas telah menyindir dengan menyatakan kerajaan negeri tidak telus dengan 'menyembunyikan' Dana Pembangunan Kerajaan berjumlah RM900 juta bagi tahun 2009.

Selain itu, ujarnya, ADUN Kota Sentosa, Chong Chieng Jen juga bertindak membelakang peraturan Dewan dengan memberi komen mengenai perkara sama kepada beberapa akhbar tempatan di sini semalam, sedangkan rang undang-undang itu masih belum lagi dibentangkan di dewan.

''Dana pembangunan ini sama seperti akaun simpanan kita. Segala peruntukan bagi projek pembangunan Sarawak akan disimpan di dalam dana ini dan hanya boleh dibelanjakan pada projek- projek yang telah dikenalpasti untuk pembangunan masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas sidang DUN ke-16 di sini hari ini.

Posted by tajau singa raja

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati tiada sebarang penyelewengan dari segi prosedur dalam pembelian helikopter Eurocopter EC725 Cougar.

Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, penilaian dari segi teknikal dan kewangan pembelian 12 helikopter itu yang keseluruhan berharga RM1.604 bilion termasuk pakej ofset adalah mengikut piawaian antarabangsa.

‘‘Kita mendapati wujud pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan dan diguna pakai di peringkat antarabangsa. Ia juga mematuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara negara ini dan Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di bangunan Parlimen di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Pengerusi PAC dari DAP, Dr. Tan Seng Giew.

Mesyuarat yang berlangsung selama tiga hari melibatkan sesi taklimat daripada pegawai tertinggi Kementerian Pertahanan mengenai aspek penilaian teknikal dan Kementerian Kewangan berhubung penilaian kos.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusan kerajaan untuk menangguhkan pembelian helikopter itu sebagai langkah berjimat cermat berikutan krisis kewangan dunia.

Azmi menjelaskan, sebelum ini sebanyak tiga syarikat telah disenarai pendek dalam tender berkenaan yang masing-masing pada harga RM1.262 bilion, RM1.604 bilion dan RM2.442 bilion
Posted by tajau singa raja

KUCHING 2 Nov. - Bajet kerajaan negeri Sarawak bagi tahun 2009 masih ditumpukan kepada usaha-usaha membangunkan negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, selain pembangunan, bajet tahun 2009 juga akan ditumpukan kepada perbelanjaan pengurusan kerajaan negeri.

Beliau menjelaskan, sebanyak 70 peratus bahagian bajet akan ditumpukan kepada usaha-usaha pembangunan negeri manakala 30 peratus lagi bagi perbelanjaan pengurusan.

''Untuk lebih lanjut, anda harus mengikuti perkembangan bajet 2009 esok yang berlangsung di DUN," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri mesyuarat di antara parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini.

Sementara itu, Abdul Taib berkata, kerajaan negeri memandang serius soal bagaimana kemerosotan ekonomi dunia akan memberi kesan kepada Malaysia dan seterusnya mempengaruhi ekonomi dan kehidupan rakyat di Sarawak.

Posted by tajau singa raja

TPM terima 141 pencalonan jawatan Presiden Umno

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menang tanpa bertanding jawatan Presiden Umno selepas menerima 141 pencalonan daripada bahagian parti itu yang sudah mengadakan persidangan perwakilan masing-masing sehingga semalam.

Kemenangan Timbalan Presiden Umno itu hadir apabila tiada calon lain yang boleh memenuhi kuota 58 pencalonan untuk layak bertanding jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti Mac depan, apabila kini hanya tinggal 49 bahagian yang belum mengadakan mesyuarat masing-masing.

Tahniah kepada Datuk Seri Najib !!!

Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri mengesahkan kedudukan sebagai calon tunggal untuk mengisi jawatan Presiden Umno, sekali gus mengetepikan kemungkinan sebarang cabaran sebaik menerima pencalonan ke-134 daripada Umno Bahagian Labuan, petang semalam.

Posted by tajau singa raja

KUCHING 1 Nov. - Para petani, penternak dan nelayan di negeri ini diminta lebih gigih untuk menjadikan bidang pertanian sebagai satu perniagaan yang berdaya maju.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, bidang pertanian boleh dimajukan sebagai sebuah perniagaan sekiranya para petani berlandaskan kepada konsep Agro "POL" iaitu P-Pasaran, O-Organisasi dan L-Lurus dan Tulus.

Beliau berkata, sekiranya diamalkan, bidang pertanian di negeri ini boleh dimajukan sebagai sebuah perniagaan yang mampu untuk mengubah nasib petani, penternak dan nelayan.

''Dahulu kalau nak jadi ahli perniagaan, kena ada beg James Bond, tetapi sekarang itu tidak lagi penting, kalau mahu jadi ahli perniagaan, rancanglah bidang pertanian dengan baik," katanya ketika berucap pada majlis perasmian sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2008 di Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini hari ini.

Abdul Taib berkata, bidang pertanian hari ini perlu diurus dengan lebih baik melalui organisasi yang cekap dan mantap dengan melibatkan lebih banyak pakar dalam pengurusan selain mereka yang terlibat dalam pertanian.

Posted by tajau singa raja
PM saran permuafakatan, jalinan keakraban dikukuhkan

KOTA KINABALU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, 'politik tikam belakang' sesama sendiri perlu dihapuskan kerana ia hanya merugikan semua pihak.

Sebaliknya, Perdana Menteri menganjurkan supaya permuafakatan dan jalinan keakraban dikukuhkan sebagai pemangkin ke arah menzahirkan segala perancangan untuk memperbaiki taraf hidup rakyat.

Berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-23 di Magellan Sutera Harbour di sini, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional turut menyifatkan amanatnya semalam sebagai 'ucapan perpisahan'.
"Apabila saya dengar ucapan Datuk (Joseph) Pairin (Kitingan) tadi, baru saya sedar ini akan menjadi ucapan perpisahan... saya tak suka mengucapkan selamat tinggal, saya tak pernah suka mengucapkannya.

"Apa lagi yang dapat saya katakan selain daripada terima kasih," katanya sambil disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Kata-katanya itu berkait rapat dengan pelan peralihan kuasa yang dijadualkan Mac tahun depan apabila Abdullah menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Berkemeja batik coklat, Abdullah mengambil kesempatan mengimbas kenangan usaha membawa balik PBS menyertai BN ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

"Ketika itu saya fikir kita akan menghadapi pilihan raya dan dengan keadaan Sabah (di bawah pemerintahan PBS sebagai pembangkang), seperkara yang terlintas di fikiran saya ialah tidak mahu melihat parti BN sentiasa berkonfrontasi dengan PBS.

"Masyarakat Kadazandusun adalah etnik terbesar di Sabah dan ketua mereka adalah 'Huguan Siou' (pemimpin agung), maka saya berpendapat tiada gunanya PBS dibiar di luar arus politik BN.

"Dari situ, macam-macam kita ikhtiarkan hinggalah PBS kembali ke pangkuan BN," katanya menyingkap sejarah PBS menyertai semula BN pada 2002 selepas keluar pada 1990.

Pada akhir ucapannya, Abdullah sekali lagi menyentuh perasaan hadirin apabila menegaskan komitmen untuk terus menjadi ahli Umno walaupun selepas bersara kelak.

"Kita akan berjumpa lagi selepas ini. Saya akan tetap setia menjadi ahli Umno dan ia bermakna saya tetap setia menjadi ahli BN," katanya.

Terdahulu, Pairin merakamkan penghargaan PBS terhadap Perdana Menteri yang gigih berusaha meningkatkan taraf hidup golongan miskin dan masyarakat luar bandar.

"Pak Lah akan sentiasa dikenang kerana memberi ruang untuk kami bersuara dan kebebasan itu mesti dipelihara supaya tidak disalah guna hingga menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam," katanya.

Sambil mengikrarkan kesetiaan PBS bersama BN, beliau berkata parti itu yakin hanya BN berupaya membawa kesejahteraan kepada politik, ekonomi dan sosial Sabah.

Beliau berkata, PBS mengambil tindakan tepat menyertai semula BN pada 2002 selepas terpinggir daripada arus politik perdana dari 1990.

Posted by tajau singa raja
Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates