KUCHING 10 Nov. - Sejumlah RM175.1 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan 117 program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sarawak bagi tempoh 2006 hingga 2008.

Menteri Kemudahan Awam Sarawak, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia termasuk 59 projek bekalan air bersih alternatif, 56 projek retikulasi dan dua projek bekalan air rawatan alternatif.

Menurutnya, daripada jumlah 59 projek bekalan air bersih, 58 projek tersebut telah siap dilaksanakan manakala satu lagi projek adalah di Ba'kalalan yang menggunakan sistem tapisan air yang telah sedia untuk dilaksanakan.

''Dua projek bekalan air rawatan alternatif akan dilaksanakan di Kampung Stass dan Bario malah projek sistem tapisan air turut digunakan di Kampung Stass dan sedang diuji pelaksanaannya.

''Projek di Bario pula sedang dalam pembinaan dan perkembangan setakat Oktober lalu adalah 82.6 peratus," katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Awang Tengah memberitahu, daripada 56 projek retikulasi, sejumlah 49 projek (87.5 peratus) telah disiapkan dan enam lagi masih dalam pembinaan manakala projek BALB di kawasan Lubuk Bemban, Sungai Duan serta Bedengan di bahagian Mukah dijangka dimulakan pada awal tahun depan.

Katanya, dalam usaha mencapai sasaran 70 peratus penduduk di luar bandar memperoleh bekalan air bersih menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kementeriannya akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi mempercepatkan program BALB.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, terdapat dua kontrak bernilai RM75 juta diperuntukkan pada 2006 bagi memperluaskan perkhidmatan bekalan elektrik di kawasan pedalaman dan projek tersebut telah siap pada Jun tahun ini dengan sejumlah 5,413 rumah telah memperoleh faedah.

''Sebagai tambahan, satu lagi projek bernilai RM35.6 juta diperuntukkan pada Oktober tahun lalu dan projek berkenaan kini 91 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember tahun ini," ujarnya.

Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates