Sunday, November 2, 2008 at 3:53 PM |  
PM saran permuafakatan, jalinan keakraban dikukuhkan

KOTA KINABALU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, 'politik tikam belakang' sesama sendiri perlu dihapuskan kerana ia hanya merugikan semua pihak.

Sebaliknya, Perdana Menteri menganjurkan supaya permuafakatan dan jalinan keakraban dikukuhkan sebagai pemangkin ke arah menzahirkan segala perancangan untuk memperbaiki taraf hidup rakyat.

Berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-23 di Magellan Sutera Harbour di sini, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional turut menyifatkan amanatnya semalam sebagai 'ucapan perpisahan'.
"Apabila saya dengar ucapan Datuk (Joseph) Pairin (Kitingan) tadi, baru saya sedar ini akan menjadi ucapan perpisahan... saya tak suka mengucapkan selamat tinggal, saya tak pernah suka mengucapkannya.

"Apa lagi yang dapat saya katakan selain daripada terima kasih," katanya sambil disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Kata-katanya itu berkait rapat dengan pelan peralihan kuasa yang dijadualkan Mac tahun depan apabila Abdullah menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Berkemeja batik coklat, Abdullah mengambil kesempatan mengimbas kenangan usaha membawa balik PBS menyertai BN ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

"Ketika itu saya fikir kita akan menghadapi pilihan raya dan dengan keadaan Sabah (di bawah pemerintahan PBS sebagai pembangkang), seperkara yang terlintas di fikiran saya ialah tidak mahu melihat parti BN sentiasa berkonfrontasi dengan PBS.

"Masyarakat Kadazandusun adalah etnik terbesar di Sabah dan ketua mereka adalah 'Huguan Siou' (pemimpin agung), maka saya berpendapat tiada gunanya PBS dibiar di luar arus politik BN.

"Dari situ, macam-macam kita ikhtiarkan hinggalah PBS kembali ke pangkuan BN," katanya menyingkap sejarah PBS menyertai semula BN pada 2002 selepas keluar pada 1990.

Pada akhir ucapannya, Abdullah sekali lagi menyentuh perasaan hadirin apabila menegaskan komitmen untuk terus menjadi ahli Umno walaupun selepas bersara kelak.

"Kita akan berjumpa lagi selepas ini. Saya akan tetap setia menjadi ahli Umno dan ia bermakna saya tetap setia menjadi ahli BN," katanya.

Terdahulu, Pairin merakamkan penghargaan PBS terhadap Perdana Menteri yang gigih berusaha meningkatkan taraf hidup golongan miskin dan masyarakat luar bandar.

"Pak Lah akan sentiasa dikenang kerana memberi ruang untuk kami bersuara dan kebebasan itu mesti dipelihara supaya tidak disalah guna hingga menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam," katanya.

Sambil mengikrarkan kesetiaan PBS bersama BN, beliau berkata parti itu yakin hanya BN berupaya membawa kesejahteraan kepada politik, ekonomi dan sosial Sabah.

Beliau berkata, PBS mengambil tindakan tepat menyertai semula BN pada 2002 selepas terpinggir daripada arus politik perdana dari 1990.

Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates