Tuesday, December 16, 2008 at 3:16 PM |  

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Pembentukan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bertujuan untuk memastikan fungsi Badan Pencegah Rasuah (BPR) di negara ini dapat dilaksanakan dengan lebih adil berdasarkan pada kaedah semak dan seimbang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, langkah-langkah tersebut akan dilaksanakan tanpa menjejaskan elemen kebebasan untuk bertindak pada agensi pencegahan rasuah.

Beliau berkata, LPPR yang diperuntukkan dalam fasal 13 Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah mirip Jawatankuasa Penasihat Rasuah di bawah Suruhanjaya Bebas Pembanterasan Rasuah (ICAC) Hong Kong.

''Ia akan dianggotai oleh sekurang-kurangnya tujuh individu yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan turut dianggotai oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai ex-officio," katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang SPRM 2008 untuk bacaan kali kedua pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurut Mohamed Nazri, SPRM diwujudkan ekoran pelbagai tanggapan terhadap BPR termasuk didakwa tidak bebas dalam menjalankan fungsi mereka dan meletakkan BPR di bawah tanggungjawab pentadbiran Jabatan Perdana Menteri (JPM), seolah-olah ia menyokong hujah pihak tertentu bahawa kebebasan BPR untuk bertindak disekat.

''Terdapat juga tanggapan di kalangan masyarakat bahawa penguatkuasaan undang-undang rasuah dilaksanakan secara terpilih di mana kebanyakan tindakan BPR dikatakan hanya melibatkan golongan 'ikan bilis' manakala 'ikan jerung' dibiarkan terlepas," ujarnya.

Beliau memberitahu, BPR turut dilihat sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang tidak dinamik, berwibawa, efektif dan hanya menerima arahan daripada pihak 'atas' sahaja.

Katanya, persepsi dan tanggapan sedemikian menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap kredibiliti BPR khususnya dan kerajaan amnya.

Oleh demikian, beliau berkata, langkah-langkah tambahan diambil termasuk penubuhan SPRM untuk mengikis persepsi dan tanggapan negatif masyarakat terhadap kewibawaan BPR bagi mengembalikan keyakinan semua pihak terhadap kesungguhan dan keikhlasan bagi membanteras jenayah rasuah.

utusan malaysia 16 Disember 2008

Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates