SAMARAHAN 16 Dis. - Kerajaan negeri yakin Sarawak menjadi negara paling kaya dalam Malaysia menjelang 2030, kata Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata, hasrat itu dapat direalisasikan menerusi projek-projek yang dirancang dalam Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE).

Menerusi SCORE ujarnya, kerajaan negeri menerima modal pelaburan sebanyak RM300 bilion dan wilayah pembangunan itu memberi peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini dalam meningkatkan taraf kehidupan masing-masing.

''Saya mempunyai cita-cita dan sanggup bekerja kuat untuk memastikan Sarawak menjadi sebuah negeri yang maju serta kaya menerusi pelaksanaan Score ini.

''Menerusi SORE juga akan membolehkan kita memperoleh pelbagai peluang pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran masing-masing sama ada menjadi jurutera, penyelidik, geologi, guru dan profesional," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran 45 Tahun Sarawak Maju Dalam Malaysia Peringkat Bahagian Sri Aman serta melancarkan buku bertajuk 'Samarahan - Dari Kampung Terpencil Ke Desa Ilmu' di Dewan Suarah, Kota Samarahan di sini hari ini.

Abdul Taib menegaskan, peluang yang terdapat di SCORE adalah lebih besar berbanding rungutan atau ketidakpuasan segelintir pihak yang sudah pasti tidak mahu melihat kejayaan pembangunan tersebut.

Katanya, pembangunan SCORE memberi banyak kebaikan berbanding keburukan dan rakyat perlu melihat kebaikan yang diperoleh di negeri ini secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, beliau mahu rakyat terus mempertahankan semua kebaikan tersebut dengan terus memelihara ketenteraman dan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum di Sarawak.

''Jangan kita terlalu menurut tuntutan soal remeh temeh, kecil serta hasutan mengenai perkara-perkara peribadi kerana ia sudah pasti akan membantutkan kemajuan dan pembangunan rakyat dan negeri ini.

''Kita yakin menjelang tahun 2030, Sarawak akan menjadi sebuah negeri maju berasaskan industri yang dijelmakan menerusi pembangunan di SCORE," ujarnya.

utusan malaysia, 17 dis 08

Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates