Tuesday, February 10, 2009 at 10:33 AM |  

SPR tunggu notis Speaker Dewan Rakyat

PUTRAJAYA 9 Feb. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia untuk mengendalikan satu lagi pilihan raya kecil berikutan kematian Ahli Parlimen Bukit Gantang, Perak, Roslan Shaharum dari Pas hari ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof bagaimanapun berkata, pihaknya masih menunggu notis kekosongan kerusi tersebut daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebelum boleh memanggil mesyuarat menentukan tarikh pilihan raya kecil itu.

"Selepas menerima notis daripada Speaker Dewan Rakyat baru kita akan memanggil satu mesyuarat bagi menentukan tarikh writ pilihan raya kecil, penamaan calon dan hari pengundian.

"Kita akan menentukannya dalam tempoh 60 hari. Kerusi Parlimen tersebut mesti diisi semula, jadi kenalah ada pilihan raya kecil," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan SPR selaku badan pengendali sistem pilihan raya berikutan kematian Roslan pagi ini dipercayai kerana serangan jantung.

Pada pilihan raya umum ke-12, Allahyarham Roslan memenangi kerusi P59 itu dengan majoriti 1,566 undi apabila menewaskan Datuk Seri Azim Mohd. Zabidi (BN) yang mendapat 18,449 undi manakala calon Bebas, M. Murganan (872 undi).

Kerusi Parlimen yang mempunyai majoriti pengundi Melayu itu mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Sepetang, Changkat Jering dan Trong.

Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates