Tuesday, August 18, 2009 at 4:01 PM |  

BUKIT MERTAJAM 17 Ogos – Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 25 Ogos ini bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.
BN mempertaruhkan Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman manakala Pas pula diwakili Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man Mat Aji.
Penceramah motivasi, Kamal Ramizu Idris yang menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas bagaimanapun gagal menyerahkan borang pencalonan gara-gara lewat tiba di pusat penamaan calon di sini atas alasan kesesakan lalu lintas.
Rohaizat, 38, mengemukakan kertas pencalonannya pada pukul 9.03 pagi dengan dicadang oleh Abdul Majid Othman dan disokong oleh Ng Tong Hye.
Salleh Man, 52, menyerahkan borang kira-kira tiga minit kemudian. Pencalonan beliau dicadangkan Mahdi Abdullah dan disokong Shamsul Kamal Sahpie.
Nama kedua-dua calon yang sah bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir, Roslan Yahaya di pekarangan Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) kira-kira pukul 11.30 pagi.
Rohaizat dan Salleh disahkan bertanding bagi kerusi DUN tersebut selepas tamat tempoh waktu bantahan selama sejam bermula 10 pagi.
Sementara itu, Salleh Man tiba di pusat penamaan kira-kira pukul 8.30 pagi dengan diiringi beberapa pemimpin pakatan pembangkang termasuk Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
utusan malaysia 18 ogos 2009
Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates