KUALA LUMPUR 26 Okt. - Datuk S. Nallakarupan menegaskan beliau tidak pelik dengan gelaran parti 'bateri 3A' yang diberi kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ini kerana, kata beliau, parti itu memang berkisar kepada tiga individu iaitu Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden, Azmin Ali.

Bekas rakan karib Anwar itu berkata, ketiga-tiga mereka akan menentukan apa sahaja perkara dalam PKR sehingga beliau sendiri yang bersahabat dengan Anwar selama 30 tahun sanggup diketepikan.
''Sebab itu banyak pemimpin terdahulu yang bertindak meninggalkan PKR kerana melihat parti itu hanya berkisar kepada tiga orang itu sahaja. Itulah hakikatnya.

''PKR hanya parti tiga orang A ini saja. Lihatlah saya sendiri, 30 tahun saya dengan Anwar, malah pernah masuk penjara kerana dia, tapi akhirnya dia tak pedulikan pun semua itu sampailah saya keluar PKR.

''Jadi kalau saya yang 30 tahun bersama Anwar boleh diperlakukan seperti ini, bayangkanlah pemimpin PKR lain. Bila-bila masa boleh dilupakan macam itu saja,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad baru-baru ini menyifatkan PKR parti 'bateri bersaiz 3A' kerana kekuatannya hanya ditentukan oleh Anwar, Azizah dan Azmin.

Diminta mengulas pelantikan Azmin selaku Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan yang baru, Nallakarupan berkata, ia menunjukkan Azmin mempunyai kedudukan istimewa di mata Anwar.
Kata beliau, ia merupakan satu keputusan besar kerana pelantikan Azmin adalah untuk menggantikan seorang lagi pemimpin kanan PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.


Pelantikan sebagai Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu bermakna Azmin menggantikan kedudukan Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak selain Menteri Besar Selangor.

''Azmin bukan Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan seperti Abdul Khalid dan ini memperlihatkan siapa yang lebih penting di antara dua pemimpin itu kepada Anwar.

''Ini memang sudah dijangkakan. Walaupun atas sebab tertentu terpaksa digugurkan menerajui PKR Sabah, Anwar tidak mungkin tinggalkan Azmin yang tahu banyak mengenai Anwar.

''Bagi Azmin, ini satu cara penting untuk beliau mengukuhkan kedudukan politiknya terutama dalam PKR walaupun ia menyentuh jawatan Abdul Khalid,'' jelasnya.

Nallakarupan juga tidak hairan atas apa yang berlaku pada Abdul Khalid kerana beliau sendiri pernah diperlakukan sedemikian rupa bagi mengukuhkan kedudukan Azmin.
Dakwanya, ia berlaku pada pemilihan PKR suatu masa dahulu apabila beliau diminta oleh Anwar untuk menarik diri bertanding jawatan Naib Presiden walaupun mendapat pencalonan kedua tertinggi demi mengukuhkan kedudukan Azmin.

''Saya tak bercakap bohong, saya berani ke kuil untuk ulangi apa yang saya cakap ini. Anwar sendiri pada waktu itu minta saya tarik diri sebab Azmin mahu bertanding.

''Namun apabila saya tanya kepada Wan Azizah, beliau tidak pula tahu perkara tersebut,'' jelasnya.
Sumber,
Utisan Malaysia 27 .10.09
Posted by tajau singa raja
KUALA LUMPUR 26 Okt. - Selepas puluhan tahun Barisan Nasional (BN) berjaya mentadbir dan memajukan beberapa negeri seperti Selangor dan Kedah, kini sudah ada tanda pembangunan di negeri terlibat mungkin merosot.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelbagai isu politik yang membelenggu negeri terbabit akibat masalah kerjasama parti-parti dalam pakatan pembangkang akan membawa kesan pentadbiran yang amat buruk sehingga mengganggu perjalanan pembangunan.
Katanya, perkara itu adalah antara yang paling dibimbanginya, begitu juga para pemimpin BN yang lain.

Tambahnya, rakyat dan pengundi akan menjadi mangsa terhadap kemelut yang berlaku dalam pakatan pembangkang.

"Ini saya bimbang, kalau ada beberapa tahun lagi mereka mentadbir di negeri-negeri yang mereka ada kuasa tetapi tidak ditadbir dengan baik, jadi apa yang sudah kita bangunkan sebelum ini di bawah kerajaan BN mungkin akan merosot dan kesannya ialah nasib hidup rakyat dan pengundi di negeri yang berkenaan akan sulit," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pengurusan Aset dan Kemudahan Negara (Nafam) 2009 di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas kenyataan Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang dalam blognya yang mengakui pakatan pembangkang sedang melalui krisis kehilangan keyakinan daripada rakyat sejak lapan bulan yang lalu.
Hakisan keyakinan itu katanya, berpunca daripada kegagalan pemimpin pakatan pembangkang sendiri untuk melaksanakan tanggungjawab dan disiplin dalam parti masing-masing bagi meyakinkan pengundi Malaysia berhubung kredibiliti, integriti dan perpaduan antara mereka.

Menurut Muhyiddin, adalah sesuatu yang amat baik apabila Kit Siang sendiri sudah mengakui bahawa para pemimpin pakatan pembangkang mempunyai masalah untuk bersatu dan bekerjasama.
"Kalau Kedah kerajaan Pas dan DAP, di Selangor antara Datuk Dr. Hasan Ali dengan Menteri Besar, begitu juga di Pulau Pinang, kalau Kit Siang sendiri sudah akui mereka tidak ada kepimpinan, ia harus menyedarkan rakyat bahawa pakatan pembangkang tidak ada kemampuan," katanya.
Sehubungan itu Muhyiddin meminta rakyat menilai situasi secara mendalam bagi melihat masalah yang sebenarnya wujud.

Beliau juga meminta rakyat menilai kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN yang telah lama memiliki pengalaman untuk memajukan negara.

Menurutnya, bukan setakat di negeri-negeri tetapi di peringkat dalaman parti juga berkocak dengan pelbagai masalah yang cuba ditutup sepanjang masa oleh pakatan pembangkang.
"Kalau ambil parti-parti komponen mereka, Pas juga berhadapan dengan konflik yang hebat,
DAP nampak okay tetapi sebenarnya tidak okay, PKR pun begitu juga," katanya.
Beliau berkata, kemelut kepimpinan dalaman yang melanda Pas kini adalah satu bukti terhadap kenyataan itu.
Sumber,
utusan malaysia 27 okt 2009
Posted by tajau singa raja
Selepas setahun bertelagah, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas timbalannya, Datuk Seri Chua Soi Lek akhirnya bersetuju untuk berdamai dan mengenepikan pergeseran antara mereka.Kedua-duanya - yang sebelum ini sering melontar tuduhan antara satu sama lain - mengumumkan 'genjatan senjata' itu dalam satu sidang akhbar bersama di ibupejabat MCA di ibunegara hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Presiden MCA yang baru dilantik, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Dalam sidang akhbar tersebut, Ong membaca kenyataan yang berbunyi, beliau dan Chua sudah bersetuju untuk "bekerjasama sebagai satu pasukan" bagi menyatu dan memperkukuhkan semula MCA - parti komponen kedua terbesar dalam BN - yang sedang dilanda krisis kepimpinan.Beliau juga mendedahkan bahawa Chua bersetuju untuk bekerjasama dengannya "tanpa sebarang syarat".
"Ini adalah masanya untuk bermaaf-maafan dan melihat pada persekitaran yang lebih luas mengenai apa yang baik untuk parti dan bukannya untuk individu," katanya.Presiden MCA itu juga mendedahkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah diberi maklumat mengenai pelan damai tersebut dan telah merestuinya.
malaysia kini 23/10/09
Tahniah MCA setiap kekusutan dalam parti pasti ada jalan penyelesaian, persepakatan dalam parti komponen BN adalah penting untuk kita sama-sama berjuang memertabatkan konsep 1Malaysia dan menawan kembali hati masyarakat yang masih perlukan BN untuk terus membangun dan sejahtera dan aman damai di Malaysia......
Posted by tajau singa raja
Thursday, October 22, 2009 at 3:44 PM | 1 comments  
KUALA LUMPUR 21 Okt. – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna berharap Bajet 2010 dapat membantu dan mengurangkan beban rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu berkata, kerajaan perlu memainkan peranan dan memberikan lebih tumpuan dalam membantu golongan tersebut.
‘‘Pembentangan Bajet 2010 perlu memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan beban rakyat.
‘‘Selain itu, ia diharapkan dapat memperkasa dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Marimuthu berkata, kerajaan juga perlu memberi keutamaan bagi mengurangkan belanjawan defisit negara.
“Segala perbelanjaan dan kerja-kerja pembangunan di negara ini perlu dikawal melalui sistem tender terbuka bagi memastikan perbelanjaan yang dilaksanakan tidak membazirkan wang rakyat,’’ katanya.
Katanya lagi, beliau juga berharap kerajaan memperluas dan meningkatkan kualiti pengangkutan awam termasuk di ibu negara supaya perkhidmatannya lebih efisien dan bersepadu dalam memberi manfaat yang besar kepada rakyat.
‘‘Masalah pengangkutan awam sering menimbulkan kesulitan kepada kebanyakan rakyat di negara ini kerana kemudahan infrastruktur yang disediakan masih tidak mencukupi,’’ katanya.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr. Jacob George berkata, beliau berharap Bajet 2010 itu dapat memenuhi keperluan dan kehendak semua pengguna di negara ini.
“Bajet 2010 ini perlu memfokuskan kepada kehendak rakyat terutama golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.
“Kerajaan perlu memahami kuasa membeli golongan ini yang amat terhad. Pengurangan cukai terhadap barang dan perkhidmatan adalah antara harapan mereka dalam bajet ini,” katanya.
Menurut Dr. Jacob, golongan ini tidak mempunyai sumber pendapatan lain bagi menyara ahli keluarga.
“Apabila harga barang meningkat di pasaran, ia akan menyebabkan mereka menghadapi masalah ekonomi ekoran kekurangan sumber kewangan yang tidak mencukupi,” jelasnya.
Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman pula mencadangkan agar kerajaan menaikkan cukai rokok dan arak sehingga 300 peratus dalam bajet yang akan dibentangkan itu.
Menurut Maamor, peningkatan cukai itu perlu bagi mencegah rakyat negara ini daripada menghisap rokok dan meminum arak seterusnya membantu kerajaan dalam kempen berkaitan kesihatan.
utusan malaysia 22/10/09
Posted by tajau singa raja
Tuesday, October 20, 2009 at 3:07 PM | 1 comments  


Perdana menteri hari ini mengumumkan sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun diisytiharkan sebagai cuti awam untuk seluruh negara mulai tahun depan.
Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat berkata pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting."Dengan demikian rakyat Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar."Hari Merdeka pada 31 Ogos mengingatkan kita akan perjuangan mencapai kemerdekaan dari penjajahan, yang akan dirayakan dengan pelbagai acara rasmi seperti perarakan dan sebagainya untuk mengingati detik sejarah itu.
"Hari Malaysia pula akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosio-budaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia," katanya.
Hari Malaysia diraikan pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia pada 1963.
malaysiakini 20/10/09
Posted by tajau singa raja
KECEWA.......................


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah yang juga Ahli Majlis Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Gabriel Adit Demong membayangkan hasratnya untuk keluar daripada PKR Sarawak. Semalam, beliau telah mengumumkan tidak lagi menyokong PKR Sarawak.Spekulasi yang timbul daripada tindakan itu mengatakan bahawa Gabriel Adit kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan PKR yang melantik Baru Bian sebagai Ketua Perhubungan PKR Sarawak menggantikan Mustaffa Kamil Ayub.“Saya tidak lagi menyokong PKR, jadi apa saya peduli. Apa yang saya nak katakan kepada Baru Bian ialah semoga berjaya”, kata Gabriel Adit.Menurutnya lagi, memberi jawatan itu kepada Baru Bian sebagai satu kesilapan PKR tetapi saya berharap saya salah.Gabriel Adit menyertai PKR Sarawak pada penghujung tahun 2008 iaitu selepas genap 2 tahun beliau memenangi kerusi DUN Ngemah atas tiket Bebas. Beliau pernah menyertai SPDP tetapi keluar daripadanya sebelum Pilihan Raya DUN Sarawak 2006.
utusan borneo 20/10/09
Politik kepentingan sendiri.......akan memakan diri politik belut tiada pendirian ababila kecewa keluar parti ada tawaran masuk parti....ini bukan sikap pemimpin yang diharapkan dan penting disini BN atau mana komponen parti jangan terima ahli politik sempit seperti ini.
Posted by tajau singa raja


SRI AMAN 12 Okt. - Ketua-ketua kaum masyarakat disarankan sentiasa turun padang bagi mengenal pasti golongan penduduk miskin di kawasan masing-masing.
Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata, langkah itu perlu supaya kerajaan menerusi jabatan berkaitan dapat membantu golongan miskin bagi memperoleh bantuan sewajarnya melalui Program Cari.
Katanya, ini kerana hanya pemimpin masyarakat lebih mengetahui rakyat di kawasan masing-masing yang layak untuk menerima sebarang bantuan daripada kerajaan dan pada yang sama mengelak daripada tersalah beri bantuan.
''Ada yang sepatutnya tidak layak mendapat bantuan boleh mendapat bantuan tetapi ada yang sewajarnya perlu diberi bantuan oleh kerajaan tidak pula mendapat pembelaan disebabkan oleh ketua kaumnya yang tidak turun padang.
''Sehubungan itu, saya memohon agar ketua kaum lebih telus melaksanakan tugas mereka dan lebih kerap turun padang untuk memantau golongan penduduk miskin yang betul-betul memerlukan bantuan," katanya di sini kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Mesra Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Lubok Antu di rumah panjang Sibat Keruntap, Jelukong di Engkilili dekat sini.
Nyalau berkata, selain itu, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) juga perlu memainkan peranan penting sebagai sebuah 'jambatan' untuk menghubungkan penduduk dengan kerajaan di kawasan masing-masing.
Katanya, kerajaan memerlukan pertubuhan seperti JKKK sebagai sebuah saluran penting untuk menyampaikan pelbagai masalah rakyat di kawasan masing-masing kepada kerajaan supaya mereka dapat pembelaan sewajarnya.
''Dengan adanya JKKK, kerajaan tidak akan mempunyai sebarang kerumitan untuk mengenal pasti masalah berkenaan dan seterusnya melaksanakan program atau projek yang mampu menyelesaikan malah manfaatkan rakyat jelata," ujarnya.
Pada majlis tersebut, Nyalau memberi jaminan untuk membantu membekalkan atap baru bagi menukar atap usang di rumah panjang Sibat Keruntap berkenaan.
Beliau juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM4,000 kepada biro wanita rumah panjang terbabit.
utusan malaysia 13/10/09
Posted by tajau singa raja
Beras percuma setiap bulan
Sebanyak 43,500 keluarga miskin tegar berpendapatan RM450 sebulan di bandar dan RM420 di luar bandar akan diberi kupon bagi 30 kilogram beras percuma setiap bulan.
Lebih 150,000 keluarga yang berpendapatan RM1,500 sebulan (bandar) dan RM1,000 (luar bandar) pula akan menerima tiga kupon subsidi masing-masing bernilai RM10 setiap enam bulan sekali.
Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, penerima kupon RM10 layak membeli beras gred ST15 (15 peratus hancur) yang berharga RM24 pada kadar RM14.
Pemberian kupon akan disalurkan menerusi semua anggota Parlimen termasuk daripada parti pembangkang.
Sebanyak 54,000 peruncit dan 1,200 pemborong di seluruh negara akan diberi surat arahan menerima garis panduan berhubung perkara itu.
Pemberian kupon itu akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang November ini.
KUALA LUMPUR 12 Okt. – Kerajaan akan mengedarkan kupon beras percuma kepada 200,000 keluarga miskin di seluruh negara hujung tahun ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.
Beliau berkata, pemberian kupon itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu majlis di Pekan, Pahang pertengahan November ini.
“Pemberian kupon khas itu adalah menggantikan sistem pemberian subsidi beras kepada pengilang dan pemborong beras yang bernilai RM60 juta sebulan.
“Saya nak tegaskan di sini, skim baru ini bukan bermakna harga beras naik, tetapi ia hanya kerana kerajaan menarik balik subsidi beras yang selama ini diberikan kepada pemborong dan peruncit,” katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat Program Subsidi Beras Untuk Rakyat (SUBUR) kepada para pegawai kerajaan serta anggota Parlimen di sini.
Beliau berkata, menerusi program subsidi itu kira-kira 43,500 keluarga miskin tegar berpendapatan RM450 sebulan di bandar dan RM420 sebulan di luar bandar akan menerima kupon bagi 30 kilogram beras percuma setiap bulan manakala lebih 150,000 keluarga yang berpendapatan RM1,500 sebulan di bandar dan RM1,000 sebulan di luar bandar akan menerima tiga kupon subsidi bernilai RM10 setiap satu enam bulan sekali.
Turut menerima beras percuma dan subsidi beras ialah kira-kira 15,000 keluarga Orang Asli di seluruh negara, katanya.
Noh berkata, penerima kupon RM10 melayakkan pemegangnya membeli beras gred ST15 (15 peratus hancur) bagi 10 kilogram yang berharga RM24 pada harga RM14 dan jika mahu membeli beras yang lebih mahal, mereka hanya membayar perbezaan harga beras itu sahaja.
utusan malaysia 13/10/09
Posted by tajau singa raja
SERDANG: Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP) yang mendakwa mempunyai keahlian hampir 57,000 orang di seluruh negara sejak ditubuhkan Mei lalu, akan mengemukakan permohonan rasmi untuk menyertai Barisan Nasional (BN). Presidennya, RS Thanenthirran, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN boleh mempertimbangkan kemasukan MMSP sebagai parti komponen. Beliau berkata, MMSP yang menyokong penuh konsep 1Malaysia akan bekerjasama rapat bersama Perdana Menteri dan barisan kepemimpinannya bagi mengembalikan semula sokongan masyarakat India kepada BN.

"Kebanyakan yang menyertai MMSP ialah golongan muda dengan hampir 85 peratus daripada mereka tidak menyertai mana-mana parti politik sebelum ini serta kini ingin menyumbang tenaga membantu kerajaan dan masyarakat India. MMSP akan menjadi payung kepada masyarakat India di negara ini. "Saya tidak mahu menuding jari mencari kesalahan pihak lain apabila masyarakat India dibelenggu pelbagai masalah, tetapi jika kepemimpinan MIC melakukan tugasnya dengan cemerlang, kita tidak perlu menubuhkan MMSP," katanya. Thanenthirran berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat agung pertama MMSP di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini, semalam dan majlis perasmiannya disempurnakan oleh Perdana Menteri.
berita harian 12/10/09
Posted by tajau singa raja


KUALA LUMPUR 11 Okt. - Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang memperlihatkan momentum kebangkitan yang mula ditunjukkan parti tersebut.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, sehubungan itu momentum tersebut perlu dipertingkatkan bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil lain serta pilihan raya umum akan datang.
Menurutnya, pengaruh yang ditunjukkan oleh calon BN, Mohd. Isa juga cukup kuat dan tidak mampu digugat oleh pembangkang.
"Calon Pas, iaitu Zulkefly Mohamad Omar tidak setanding dengan Mohd. Isa yang cukup terkenal di kalangan penduduk di Negeri Sembilan terutamanya di Bagan Pinang.
"Kemenangan juga menunjukkan pengundi mula meragui kepimpinan yang ditunjukkan oleh pakatan pembangkang melalui beberapa isu yang timbul di negeri-negeri yang diperintah mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
BN mengekalkan kerusi DUN Bagan Pinang di Negeri Sembilan setelah calonnya Mohd. Isa mengalahkan calon Pas, Zulkefly dengan majoriti 5,435 undi.
Mohd. Isa memperolehi 8,013 undi manakala Zulkefly mendapat 2,578 undi.
Pensyarah Politik dan Pentadbiran Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr. Ahmad Atory Hassan berkata, kemenangan itu menggambarkan usaha memulihkan parti oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya meraih kembali keyakinan rakyat kepada parti keramat itu.
Menurutnya, faktor calon BN merupakan sumbangan yang cukup besar dalam kemenangan parti itu di Bagan Pinang.
Menurutnya, kerajaan dan UMNO perlu terus bekerja kuat untuk meyakinkan rakyat bahawa perjuangan mereka bukanlah seperti yang dicanang pembangkang.
utusan malaysia 12 okt 2009
Posted by tajau singa raja


PORT DICKSON 11 Okt. – Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dengan memperoleh 8,013 undi menewaskan Pas.
Majoriti yang diperoleh calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad meningkat kepada 5,435 undi berbanding 2,333 undi pada Pilihan Raya Umum 2008.
BN menang di semua lapan daerah mengundi termasuk tiga daerah yang dimenangi pembangkang pada Mac tahun lalu.
Calon Pas, Zukefly Mohamad Omar hanya memperoleh 2,578 undi. Pas kalah di semua 18 saluran mengundi.
Keputusan Pilihan Raya Kecil N31 itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Abdul Wahab Shamsuddin pada pukul 8 malam di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).
Sebanyak 82 peratus pengundi di Bagan Pinang hari ini keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Segala bentuk provokasi dan pergaduhan yang timbul menjelang hari pengundian tidak menghalang pemilih untuk keluar mengundi sekaligus melonjakkan sokongan kepada BN.
Kemenangan itu juga memecahkan kebuntuan BN yang tewas di enam pilihan raya kecil di Semenanjung. BN hanya menang satu kerusi iaitu di DUN Batang Air, Sarawak.
Ketika pengumuman dibuat, Mohd. Isa turut berada di dalam dewan sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta pemimpin BN yang lain.
Pengumuman kemenangan beliau turut dirai dengan sorakan penyokong BN yang berada di luar dewan.
utusan malaysia 12 okt 2009
Posted by tajau singa raja
Thursday, October 8, 2009 at 11:12 AM | 0 comments  
Malaysia akan terus menghantar misi bantuan kemanusiaan untuk mangsa gempa bumi di Padang, Indonesia meskipun ada segelintir rakyat republik itu mempunyai pandangan negatif terhadap negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malaysia menafikan dan tidak sesekali tergamak memberi makanan yang telah luput tarikh kepada mangsa gempa bumi di Padang.
Sekumpulan orang dilaporkan telah bertindak merampas bantuan dari negara luar untuk diberikan kepada mangsa-mangsa gempa di Padang Pariaman, Padang.
Pusat Rawatan Kemanusiaan Malaysia di tengah bandar Padang, Indonesia sentiasa menjadi tumpuan masyarakat setempat.
PUTRAJAYA 7 Okt. – Malaysia akan terus menghantar misi bantuan kemanusiaan untuk mangsa gempa bumi di Padang, Indonesia meskipun ada segelintir rakyat republik itu mempunyai pandangan negatif terhadap negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Malaysia tidak akan mengambil langkah berbentuk ‘tindak balas’ ke atas Indonesia.
Sebaliknya, kata beliau, negara akan terus berpegang kepada semangat setiakawan dan hubungan baik yang sudah lama terjalin apabila bersedia menghantar lagi pasukan penyelamat ke wilayah itu.
Menurutnya, Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) dan sukarelawan lain dari negara ini akan meneruskan bantuan kerana ia adalah langkah yang baik bagi meringankan beban mangsa bencana itu.
‘‘Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah mengumumkan kita menghantar pasukan bantuan kerana diberikan kebenaran oleh kerajaan Indonesia.
‘‘Ini dilihat dari sudut hubungan baik kerajaan dan rakyat, kita tidak lihat kepada tindakan kelompok tertentu. Kita tidak perlu mengambil langkah ‘tindak balas’ dan bersikap bermusuh-musuhan, itu tidak perlu,” ujarnya.
Utusan Malaysia 08/10/09
Posted by tajau singa raja
Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates