Thursday, October 22, 2009 at 3:44 PM |  
KUALA LUMPUR 21 Okt. – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna berharap Bajet 2010 dapat membantu dan mengurangkan beban rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu berkata, kerajaan perlu memainkan peranan dan memberikan lebih tumpuan dalam membantu golongan tersebut.
‘‘Pembentangan Bajet 2010 perlu memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan beban rakyat.
‘‘Selain itu, ia diharapkan dapat memperkasa dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Marimuthu berkata, kerajaan juga perlu memberi keutamaan bagi mengurangkan belanjawan defisit negara.
“Segala perbelanjaan dan kerja-kerja pembangunan di negara ini perlu dikawal melalui sistem tender terbuka bagi memastikan perbelanjaan yang dilaksanakan tidak membazirkan wang rakyat,’’ katanya.
Katanya lagi, beliau juga berharap kerajaan memperluas dan meningkatkan kualiti pengangkutan awam termasuk di ibu negara supaya perkhidmatannya lebih efisien dan bersepadu dalam memberi manfaat yang besar kepada rakyat.
‘‘Masalah pengangkutan awam sering menimbulkan kesulitan kepada kebanyakan rakyat di negara ini kerana kemudahan infrastruktur yang disediakan masih tidak mencukupi,’’ katanya.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr. Jacob George berkata, beliau berharap Bajet 2010 itu dapat memenuhi keperluan dan kehendak semua pengguna di negara ini.
“Bajet 2010 ini perlu memfokuskan kepada kehendak rakyat terutama golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.
“Kerajaan perlu memahami kuasa membeli golongan ini yang amat terhad. Pengurangan cukai terhadap barang dan perkhidmatan adalah antara harapan mereka dalam bajet ini,” katanya.
Menurut Dr. Jacob, golongan ini tidak mempunyai sumber pendapatan lain bagi menyara ahli keluarga.
“Apabila harga barang meningkat di pasaran, ia akan menyebabkan mereka menghadapi masalah ekonomi ekoran kekurangan sumber kewangan yang tidak mencukupi,” jelasnya.
Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman pula mencadangkan agar kerajaan menaikkan cukai rokok dan arak sehingga 300 peratus dalam bajet yang akan dibentangkan itu.
Menurut Maamor, peningkatan cukai itu perlu bagi mencegah rakyat negara ini daripada menghisap rokok dan meminum arak seterusnya membantu kerajaan dalam kempen berkaitan kesihatan.
utusan malaysia 22/10/09
Posted by tajau singa raja

1 comments:

YANG GAMBI said...

Salam bro, setiap kali bajet dibentangkan, kerajaan UMNO-BN tidak pernah menghampakan rakyat.... cuma harap-harap agar semakin banyak rakyat hisap rokok, semakin banyak hasil kerajaan masuk untuk menampung kos negara. Kalau semakin ramai berhenti, bimbang semakin banyak rokok haram masuk ke Malaysia.....

October 23, 2009 at 1:05 AM  
Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates