SRI AMAN 12 Okt. - Ketua-ketua kaum masyarakat disarankan sentiasa turun padang bagi mengenal pasti golongan penduduk miskin di kawasan masing-masing.
Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata, langkah itu perlu supaya kerajaan menerusi jabatan berkaitan dapat membantu golongan miskin bagi memperoleh bantuan sewajarnya melalui Program Cari.
Katanya, ini kerana hanya pemimpin masyarakat lebih mengetahui rakyat di kawasan masing-masing yang layak untuk menerima sebarang bantuan daripada kerajaan dan pada yang sama mengelak daripada tersalah beri bantuan.
''Ada yang sepatutnya tidak layak mendapat bantuan boleh mendapat bantuan tetapi ada yang sewajarnya perlu diberi bantuan oleh kerajaan tidak pula mendapat pembelaan disebabkan oleh ketua kaumnya yang tidak turun padang.
''Sehubungan itu, saya memohon agar ketua kaum lebih telus melaksanakan tugas mereka dan lebih kerap turun padang untuk memantau golongan penduduk miskin yang betul-betul memerlukan bantuan," katanya di sini kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Mesra Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Lubok Antu di rumah panjang Sibat Keruntap, Jelukong di Engkilili dekat sini.
Nyalau berkata, selain itu, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) juga perlu memainkan peranan penting sebagai sebuah 'jambatan' untuk menghubungkan penduduk dengan kerajaan di kawasan masing-masing.
Katanya, kerajaan memerlukan pertubuhan seperti JKKK sebagai sebuah saluran penting untuk menyampaikan pelbagai masalah rakyat di kawasan masing-masing kepada kerajaan supaya mereka dapat pembelaan sewajarnya.
''Dengan adanya JKKK, kerajaan tidak akan mempunyai sebarang kerumitan untuk mengenal pasti masalah berkenaan dan seterusnya melaksanakan program atau projek yang mampu menyelesaikan malah manfaatkan rakyat jelata," ujarnya.
Pada majlis tersebut, Nyalau memberi jaminan untuk membantu membekalkan atap baru bagi menukar atap usang di rumah panjang Sibat Keruntap berkenaan.
Beliau juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM4,000 kepada biro wanita rumah panjang terbabit.
utusan malaysia 13/10/09
Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates