MIRI 25 Jan. - Lebih ramai lepasan sekolah di kalangan kaum Penan akan diserap dalam sektor awam di negeri ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Lihan Jok.
Beliau berkata, langkah itu dibuat bagi membolehkan kaum yang sering dikaitkan dengan keciciran itu menikmati pembangunan seperti mana kaum-kaum lain di Sarawak.
Menurutnya, pembangunan kaum Penan merupakan tumpuan utama kerajaan pada masa ini supaya mereka tidak ketinggalan daripada menikmati arus pembangunan negara.
''Kerajaan tidak mahu mereka 'berkeliaran' di kampung atau hutan, sebaliknya kita ingin mereka menggunakan segala potensi yang ada untuk memperolehi kehidupan yang lebih baik seperti kaum lain di negeri ini," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Masyarakat Telang Usan di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai pelantikan Josten Emang, 19, dan Jely Jangin, 22 dari Long Latik sebagai Pekerja Khidmat Singkat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kedua-dua mereka yang merupakan lepasan Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Lama itu ditugaskan di Unit Khas Bergerak, JPN Daerah Kecil Baram berkuatkuasa 18 Januari hingga 17 Julai tahun ini.
Lihan memberitahu, pelantikan dua belia Penan itu merupakan satu permulaan yang baik ke arah melihat lebih ramai masyarakat Penan bekerja di sektor awam.
Ujarnya, setakat ini, terdapat kira-kira 26 graduan universiti daripada kaum Penan yang bekerja dalam pelbagai jabatan di sektor kerajaan dan jumlah itu masih terlalu kecil.
''Dengan pengambilan lepasan sekolah Tingkatan Lima, kita berharap ia dapat menggalakkan lebih ramai belia Penan bekerja dan menikmati peluang pembangunan yang disediakan," ujarnya.
Sehubungan itu katanya, Josten dan Jely perlu memanfaatkan peluang itu sepenuhnya untuk menimba pengalaman baru khususnya daripada segi pergaulan dan komunikasi.
Sementara itu, Jely Jangin ketika ditemui berkata, dia amat teruja dengan pelantikannya sebagai Pekerja Khidmat Singkat di JPN dan berjanji akan menjalankan tugas yang diberikan dengan penuh tanggungjawab.
''Sekurang-kurangnya saya dapat membantu JPN memudahkan pendaftaran dokumen terutama di kampung-kampung Penan yang mana majoriti mereka tidak fasih berbahasa Melayu dan saya dapat menyumbang sesuatu yang bermakna kepada mereka," katanya.
Sementara itu, Josten Emang pula berjanji akan menggunakan peluang yang diberikan itu untuk membuktikan kemampuan anak-anak Penan.

utusan malaysia 26/01/10
Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates