KUCHING 25 Jan. - Sarawak berada di landasan terbaik untuk mencapai status negeri maju menjelang 2020 dengan menyasarkan pendapatan per kapita rakyat di negeri ini melebihi RM50,000 (AS$15,000) setahun menjelang tempoh tersebut.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, ini kerana usaha kerajaan serta peranan yang dimainkan oleh industri-industri di Sarawak ketika ini memberi peluang kepada rakyat untuk mengubah taraf ekonomi mereka.

Katanya, peluang yang ada membolehkan rakyat meningkatkan taraf hidup serta mengubah status ekonomi daripada sederhana kepada berpendapatan tinggi.
Bagaimanapun jelas beliau, rakyat sendiri juga perlu merebut peluang dengan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran diri sesuai dengan apa yang ditawarkan oleh kerajaan serta industri di negeri ini terutamanya di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score).

"Untuk itu, rakyat perlu ada perubahan besar berbanding apa yang telah dilakukan sebelum ini supaya mereka akan mempunyai kedudukan lebih baik dan pada masa yang sama meningkatkan standard hidup masing-masing.

"Malah, usaha kerajaan serta peranan pemain industri yang baik pada hari ini mampu mengubah pendapatan per kapita rakyat kira-kira RM25,000 setahun kepada RM50,000 setahun iaitu nilai pendapatan per kapita bagi negara-negara maju," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Kilang Pertama Biodiesel di Sarawak Milik serta Operasi oleh Senari Biofuels Sdn. Bhd. di Kompleks Perindustrian Assar Senari di Demak Laut, Jalan Bako di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Taib berkata, kerajaan negeri dapat melaksanakan pembangunan di Sarawak dengan baik memandangkan kerajaan sentiasa mendahulukan rakyat.
Kata beliau, hasil daripada pembangunan yang tersusun dan terancang itu, negeri ini tidak berdepan dengan masalah pengangguran seperti 20 atau 30 tahun dahulu.
Sebaliknya Sarawak kini mengalami masalah kekurangan tenaga kerja di kalangan mereka yang mahir serta profesional.
Sehubungan itu tambahnya, kerajaan memberi penekanan mengenai pembangunan modal insan atau tenaga kerja mahir di kalangan generasi muda tempatan bagi memenuhi peluang-peluang kerja yang ditawarkan di negeri ini.
"Justeru, pemimpin rakyat serta ibu bapa perlu menekankan minat ke dalam anak-anak muda sekarang untuk menuntut ilmu dan memperoleh kemahiran seperti pengetahuan aplikasi teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT) bagi menampung keperluan tenaga kerja pada masa depan.
"Kita mahu rakyat menikmati pendapatan tinggi bagaimanapun mereka perlu meningkatkan produktiviti serta kualiti masing-masing, maka tidak mustahil peluang itu sentiasa terbuka kerana pekerjaan pada hari ini tidak sama caranya dengan tahun-tahun dahulu," ujarnya.
utusan malaysia 26/01/10
Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates