Tuesday, February 23, 2010 at 4:49 PM | 1 comments  


Agenda pembangunan jadi keutamaan: Najib SRI AMAN
Datuk Seri Najib Razak menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan nasib Barisan Nasional (BN) dan Umno pada pilihan raya umum akan datang, kerana yakin rakyat boleh membezakan antara politik retorik dan politik realiti. "Saya menyerah kepada rakyat. Saya tak dabik dada, cakap besar dan mendakwa boleh menang besar. Apa yang penting kita mesti bersikap rendah diri, bukan cakap besar.
"Apa yang penting kita nak buat kerja untuk rakyat... itu lebih utama dan saya akan membuat tumpuan kepada membuat kerja untuk membela rakyat walau di mana saja," kata Perdana Menteri pada sidang media selepas merasmikan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Rumah Radin, Lachau Ulu, Lachau di sini, semalam.
Projek bernilai RM5.8 juta itu memberi manfaat kepada 1,900 penduduk dari 13 perkampungan dan rumah panjang. Ia membabitkan pembinaan jarak talian voltan tinggi sejauh 18.67 kilometer dan jarak talian voltan rendah 13.25 kilometer. Hadir sama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; dua timbalannya, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Najib berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa rakyat akan menolak kerajaan BN dari Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang, tidak kira sama ada beliau merengkok di penjara atau tidak. Anwar yang berucap di rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina di Machang Bubok, Pulau Pinang, kelmarin, mendakwa rakyat sudah bosan dengan BN dan mereka kini sudah bersedia untuk menumbangkan Kerajaan Pusat yang didukung oleh Umno dan menggantikannya dengan pakatan pembangkang. Najib berkata, Anwar sudah banyak kali bercakap dengan nada serupa termasuk menggembar-gemburkan akan menubuhkan kerajaan tetapi semuanya tidak menjadi kenyataan. "Saya percaya rakyat boleh membezakan antara cakap politik retorik dan politik berasaskan realiti," katanya.
Terdahulu, berucap pada majlis sama, Najib berkata beliau mahu menjadi pelengkap kepada agenda pembangunan luar bandar diasaskan oleh Allahyarham ayahnya, Tun Abdul Razak. "Biarpun penampilan saya dengan arwah berbeza, namun semangat dan misi kami adalah sama, dengan agenda pembangunan luar bandar amat dekat di hati. "Biarlah waktu saya jadi Perdana Menteri ini, kita selesaikan agenda pembangunan luar bandar termasuk untuk Sarawak dan Sabah, dua negeri yang penting bagi kita, sebab kedua-dua negeri ini saya anggap sebagai 'fixed deposit' (simpanan tetap) untuk Barisan Nasional (BN), selain ia cerminan gagasan 1Malaysia," katanya. Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan enam projek BELB membabitkan 921 rumah dengan kos RM23 juta, naik taraf Jalan Jaong sejauh 7 kilometer dengan kos RM89 juta, naik taraf jalan Tanjung Bijat-Seterau sejauh 21 kilometer dengan kos RM16 juta dan Jalan Po Ai sejauh 14 kilometer dengan kos RM14.6 juta, semuanya di Bahagian Sri Aman. Kerajaan juga memperuntukkan RM3.4 bilion untuk Sarawak dengan sasaran menyediakan 95 peratus liputan bekalan elektrik, 90 peratus bekalan air dan 1,900 kilometer jalan raya menjelang 2012.
Beliau percaya BN akan tetap menjadi pilihan utama rakyat Sarawak.
Posted by tajau singa raja
KUCHING 22 Feb. - Peranan pertubuhan wanita yang membantu kerajaan dalam menangani permasalahan sosial harus dipertingkat dan diperluaskan dengan pendedahan agama, akhlak dan kebajikan, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini.
Beliau berkata dengan cara itu mereka akan dapat memainkan peranan lebih efektif terutama bagi yang mengendalikan kes gadis dan wanita yang melahirkan anak di luar nikah.
"Baru-baru ini masyarakat kita telah dikejutkan dengan beberapa kes pembuangan bayi yang sungguh kejam dan tidak berperi kemanusiaan langsung.
"Mungkin gejala ini berlaku diseb abkan gadis yang melahirkan bayi tersebut takut diketahui keluarga lantas mengambil jalan singkat dengan membuang bayi tersebut tanpa memikirkan akibatnya," kata beliau semasa berucap pada majlis jalinan mesra bersama badan-badan bukan kerajaan Sarawak di sini, hari ini.
Rosmah berada di negeri itu bagi mengiringi Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam rangka lawatan dua hari ke Sarawak.
Beliau berkata, selain memberi nasihat untuk tindakan yang wajar diambil oleh golongan "terlanjur", pertubuhan berkenaan juga boleh melaksanakan kempen dan program kesedaran bagi mendidik anak gadis agar menjauhi seks luar nikah.
Kempen dan program seumpama itu harus dilakukan dengan lebih teratur dan bersepadu antara pertubuhan wanita dan agensi berkaitan, katanya.
Ini kerana katanya, pertubuhan wanita mempunyai peranan penting dalam membantu negara memantapkan masyarakat kerana mereka berhubung terus dengan akar umbi.

utusan malaysia 23.02.10
Posted by tajau singa raja
SRI AMAN 22 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak percaya pembangkang tidak akan berjaya menyaingi Barisan Nasional (BN) Sarawak pada pilihan raya negeri akan datang kerana pengundi mempunyai penilaian berbeza ketika mengundi.

Menurut Perdana Menteri, pengundi lebih memberi tumpuan kepada isu-isu tempatan dan bukannya isu nasional menyebabkan mereka tidak akan terpengaruh dengan janji pembangkang.

Justeru beliau menegaskan, keputusan Pilihan Raya Umum 2008 di Semenanjung yang menyaksikan empat negeri ditawan pembangkang tidak akan berlaku di Sarawak yang akan terus kekal menjadi kubu kuat BN.

''Saya lihat pengundi di Sarawak ada pertimbangan mereka sendiri. Mereka lebih memberi tumpuan kepada isu tempatan dan antara yang menjadi pertimbangan adalah pembangunan di luar bandar.

''Sudah tentu pembangunan menjadi penentuan utama mereka dari segi pemilihan parti pada waktu pilihan raya nanti," kata beliau menjawab soalan kemungkinan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak boleh dipengaruhi oleh Pilihan Raya Umum 2008.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar bernilai RM5.8 juta di Rumah Radin, Lachau Ulu, Lachau di sini hari ini.

Najib percaya Sarawak di bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan terus makmur dan bakal mencapai banyak kejayaan untuk rakyat.

''Saya yakin BN Sarawak di bawah kepimpinan Abdul Taib akan mencapai kejayaan dan menjadi pilihan utama rakyat.

''Kepimpinannya (Abdul Taib) mampu untuk membawa Sarawak ke arah kejayaan dan kemajuan yang lebih besar," jelas Perdana Menteri.

Ketika ditanya sama ada Abdul Taib ada berbincang dengannya mengenai tarikh pilihan raya negeri akan datang, Najib secara berseloroh berkata: ''Jika saya bincang pun, saya tidak akan beritahu anda''.

Mengenai rancangan penggabungan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Rakyat Sarawak (SPDP) yang pernah disuarakan oleh kedua-dua pemimpin parti komponen BN Sarawak itu sejak 2006, Perdana Menteri berkata, beliau menyerahkan kepada BN Sarawak untuk membuat keputusan.

''Apa yang difikirkan sesuai oleh BN Sarawak akan diterima oleh kami (BN) di peringkat Pusat," katanya.

Pada satu soalan mengenai kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa BN akan keluar dari Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang, Najib berkata, ia cuma retorik politik sahaja.

''Dia (Anwar) dah cakap macam itu dah lama. Pertama cakap nak tubuh kerajaan 16 September 2008. Orang tunggu tak jadi kenyataan, lepas itu tarikh lain pula, dah tiga kali janji.

''Saya serah kepada rakyat (untuk memilih), saya tidak akan mendabik dada, saya akan tumpu buat kerja bela rakyat Malaysia di mana saja," katanya.

Parti komponen BN Sarawak terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), PRS dan SPDP.

Dalam pilihan raya negeri pada 2006, BN Sarawak memenangi 62 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan. Selebihnya dimenangi oleh calon Bebas, DAP, PKR dan Parti Cinta Malaysia (PCM).

utusan malaysia 23.02.10
Posted by tajau singa raja
BARCELONA 17 Feb. - Malaysia mendapat pengiktirafan dunia sebagai antara negara yang banyak memainkan peranan menggerakkan dan mengembangkan industri jalur lebar mudah alih, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Beliau berkata, pengiktirafan itu mendorong Malaysia untuk menggerakkan kemajuan teknologi itu khususnya "wimax" dengan lebih cepat dan meluas termasuk ke kampung dan luar bandar.

"Wimax yang beraliran menerusi gelombang 2.3 dan 2.6 ini akan menjadi penyambung yang khusus bagi industri mudah alih di Malaysia," katanya kepada pemberita di akhir lawatan kerja tiga harinya ke sini hari ini.

Rais berkata, menjelang Ogos ini penyambungan khidmat itu akan lebih meluas ke seluruh negara melalui beberapa program yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Insya-Allah, kita akan melancarkan dengan kerjasama Telekom Malaysia dan beberapa syarikat telekomunikasi, penyambungan khidmat ini," katanya.

Rais berkata, antara program itu ialah penubuhan kelab atau komuniti Internet di kampung dan luar bandar selain di bandar-bandar.

"Saya jangka menjelang Ogos kita akan dapat menyambung khidmat ini ke tahap yang lebih nyata dan menambah kadar penembusan di Malaysia," katanya.

Rais merupakan segelintir menteri dalam bidang komunikasi yang diundang ke persidangan peringkat menteri dan rundingan meja bulat sektor kerajaan dan pemain industri sempena Kongres Telekomunikasi Mudah Alih Dunia 2010 di sini.

Beliau menyifatkan pengiktirafan terhadap Malaysia bukan saja kerana capaian telefon mudah alih negara sudah di tahap 106 peratus dan melepasi tahap petunjuk 31 peratus tembusan jalur lebar tetapi juga kerana komitmen kerajaan terhadap industri dan teknologi itu.

"Kita (kementerian) menyambut baik seruan kerajaan supaya diberikan tumpuan khusus kepada jalur lebar kerana perkembangannya di peringkat dunia juga pesat dan cepat berkembang," katanya.

Di seluruh dunia kini terdapat lebih lima bilion pelanggan jalur lebar dan, menurut Rais, di Malaysia juga dijangka berlaku peningkatan yang banyak dalam tempoh terdekat, yang akan meningkatkan lagi angka petunjuknya.

utusan malaysia 18.02.10
Posted by tajau singa raja
KUALA LUMPUR 17 Feb. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memberikan 'keyakinan palsu' sehingga menyebabkan beberapa wakil rakyatnya sudah bosan dengan pemimpin mereka itu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keadaan itu juga menjadi punca beberapa wakil rakyat terbabit bertindak keluar daripada PKR.

Menurutnya, bukan mudah untuk wakil rakyat terbabit meninggalkan parti dan pakatan pembangkang yang pada asalnya mahu membentuk kerajaan baru pada 16 September 2009 seperti yang dirancangkan Anwar.

"(Jika rancangan itu berlaku), sekurang-kurangnya mereka berpeluang untuk memegang satu daripada banyak jawatan dalam kerajaan yang bakal wujud itu.

"Tetapi nampaknya mereka tidak mahu menunggu lama kerana Anwar sendiri gagal membuktikan kemampuannya mengurus 'kerajaan kongsi kuasa' di negeri-negeri yang mereka memerintah," katanya di dalam blog www.puadzarkashii.blogspot.com.

Mohd. Puad mengulas kenyataan Anwar semalam yang mengaku tersalah pilih calon pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu dan berjanji ia tidak akan berulang lagi.

Pengakuan itu dibuat ekoran tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim keluar PKR kerana tidak puas hati dengan kepimpinan parti itu.

Sebelum itu, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR turut keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas, manakala dua lagi meletak jawatan sehingga memaksa pilihan raya kecil diadakan pada tahun lalu.

Mohd. Puad dalam pada itu mempersoalkan janji Anwar untuk tidak mengulangi kesilapannya itu.

"Bolehkah janji Anwar dipegang? Satu kelebihan Anwar ialah dia pandai meyakinkan orang. Dia ada karisma. Tapi sampai bila karisma itu boleh bertahan jika ia hanyalah karisma 'keyakinan palsu'.

"Satu daripada alasan Zahrain keluar PKR ialah janji kerajaan baru yang tidak terlaksana. Justeru yang jelas di sini ialah bukan Anwar yang tersalah pilih calon tetapi Zahrain dan yang lain sudah bosan dengan kepimpinan Anwar itu," katanya.

Mohd. Puad berkata, nada dan kritikan dua lagi wakil rakyat PKR iaitu Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng juga kini mudah ditafsir.

Katanya, mereka tidak lagi percaya kepada Anwar ditambah pula dengan kenyataan Zulkifli yang mendakwa wujud 'firaun kecil' dalam PKR.

utusan malaysia 18.02.10
Posted by tajau singa raja
KUCHING 17 Feb. - Sarawak bercadang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran elektriknya kepada 6,000 megawatt menjelang 2015.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan berkata, hasrat itu akan dicapai menerusi pembinaan beberapa empangan hidroelektrik termasuk stesen janakuasa arang batu di bahagian tengah dan utara Sarawak.

Beliau berkata, Sarawak bertuah kerana dikurniakan dengan banyak sumber alam yang berpotensi untuk dibangunkan menjadi sektor tenaga.

''Kita menerusi Sarawak Energy Berhad (SEB) telah membuat pelan pembangunan tenaga dan merancang untuk meningkatkan penjanaan tenaga elektrik kepada 6,000 megawatt menjelang 2015 menerusi pembinaan beberapa empangan hidroelektrik dan stesen janakuasa arang batu.

''Dan dengan adanya pelan pembangunan tenaga hidro ini, kita sedia membantu pembangunan Sabah dan Brunei menerusi pembinaan sistem grid yang menghubungkan negeri-negeri berkenaan," katanya.

Beliau berucap pada majlis penyerahan laporan kajian kebolehlaksanaan sistem penyambungan kuasa antara Sarawak dan Brunei di sini hari ini.

Pada sidang akhbar selepas itu, Awang Tengah memberitahu, Sarawak turut merancang untuk membina lima empangan hidroelektrik selepas Bakun dan Murun membabitkan kawasan di Limbang, Lawas, Pelagus, Baleh dan Baram.

Pembinaan kelima-lima empangan itu ujarnya, akan turut membantu kepada peningkatan pengeluaran elektrik Sarawak kepada 6,000 megawatt.

''Namun, lima empangan ini masih pada peringkat kajian teknikal dan kita akan laksanakan pembinaan empangan itu secara berperingkat-peringkat.

''Empangan hidroelektrik Bakun merupakan empangan pertama yang akan beroperasi pada penghujung tahun ini diikuti dengan Murun yang dijangka siap pada 2013," katanya.

Sementara itu, Awang Tengah berkata, tenaga elektrik yang dihasilkan menerusi empangan hidroelektrik Bakun akan digunakan untuk keperluan industri tempatan terutamanya di kawasan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE) sebelum dieksport ke Semenanjung.

utusan malaysia 18.02.10
Posted by tajau singa raja
Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates