BARCELONA 17 Feb. - Malaysia mendapat pengiktirafan dunia sebagai antara negara yang banyak memainkan peranan menggerakkan dan mengembangkan industri jalur lebar mudah alih, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Beliau berkata, pengiktirafan itu mendorong Malaysia untuk menggerakkan kemajuan teknologi itu khususnya "wimax" dengan lebih cepat dan meluas termasuk ke kampung dan luar bandar.

"Wimax yang beraliran menerusi gelombang 2.3 dan 2.6 ini akan menjadi penyambung yang khusus bagi industri mudah alih di Malaysia," katanya kepada pemberita di akhir lawatan kerja tiga harinya ke sini hari ini.

Rais berkata, menjelang Ogos ini penyambungan khidmat itu akan lebih meluas ke seluruh negara melalui beberapa program yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Insya-Allah, kita akan melancarkan dengan kerjasama Telekom Malaysia dan beberapa syarikat telekomunikasi, penyambungan khidmat ini," katanya.

Rais berkata, antara program itu ialah penubuhan kelab atau komuniti Internet di kampung dan luar bandar selain di bandar-bandar.

"Saya jangka menjelang Ogos kita akan dapat menyambung khidmat ini ke tahap yang lebih nyata dan menambah kadar penembusan di Malaysia," katanya.

Rais merupakan segelintir menteri dalam bidang komunikasi yang diundang ke persidangan peringkat menteri dan rundingan meja bulat sektor kerajaan dan pemain industri sempena Kongres Telekomunikasi Mudah Alih Dunia 2010 di sini.

Beliau menyifatkan pengiktirafan terhadap Malaysia bukan saja kerana capaian telefon mudah alih negara sudah di tahap 106 peratus dan melepasi tahap petunjuk 31 peratus tembusan jalur lebar tetapi juga kerana komitmen kerajaan terhadap industri dan teknologi itu.

"Kita (kementerian) menyambut baik seruan kerajaan supaya diberikan tumpuan khusus kepada jalur lebar kerana perkembangannya di peringkat dunia juga pesat dan cepat berkembang," katanya.

Di seluruh dunia kini terdapat lebih lima bilion pelanggan jalur lebar dan, menurut Rais, di Malaysia juga dijangka berlaku peningkatan yang banyak dalam tempoh terdekat, yang akan meningkatkan lagi angka petunjuknya.

utusan malaysia 18.02.10
Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates