Tuesday, February 23, 2010 at 4:41 PM |  
SRI AMAN 22 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak percaya pembangkang tidak akan berjaya menyaingi Barisan Nasional (BN) Sarawak pada pilihan raya negeri akan datang kerana pengundi mempunyai penilaian berbeza ketika mengundi.

Menurut Perdana Menteri, pengundi lebih memberi tumpuan kepada isu-isu tempatan dan bukannya isu nasional menyebabkan mereka tidak akan terpengaruh dengan janji pembangkang.

Justeru beliau menegaskan, keputusan Pilihan Raya Umum 2008 di Semenanjung yang menyaksikan empat negeri ditawan pembangkang tidak akan berlaku di Sarawak yang akan terus kekal menjadi kubu kuat BN.

''Saya lihat pengundi di Sarawak ada pertimbangan mereka sendiri. Mereka lebih memberi tumpuan kepada isu tempatan dan antara yang menjadi pertimbangan adalah pembangunan di luar bandar.

''Sudah tentu pembangunan menjadi penentuan utama mereka dari segi pemilihan parti pada waktu pilihan raya nanti," kata beliau menjawab soalan kemungkinan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak boleh dipengaruhi oleh Pilihan Raya Umum 2008.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar bernilai RM5.8 juta di Rumah Radin, Lachau Ulu, Lachau di sini hari ini.

Najib percaya Sarawak di bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan terus makmur dan bakal mencapai banyak kejayaan untuk rakyat.

''Saya yakin BN Sarawak di bawah kepimpinan Abdul Taib akan mencapai kejayaan dan menjadi pilihan utama rakyat.

''Kepimpinannya (Abdul Taib) mampu untuk membawa Sarawak ke arah kejayaan dan kemajuan yang lebih besar," jelas Perdana Menteri.

Ketika ditanya sama ada Abdul Taib ada berbincang dengannya mengenai tarikh pilihan raya negeri akan datang, Najib secara berseloroh berkata: ''Jika saya bincang pun, saya tidak akan beritahu anda''.

Mengenai rancangan penggabungan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Rakyat Sarawak (SPDP) yang pernah disuarakan oleh kedua-dua pemimpin parti komponen BN Sarawak itu sejak 2006, Perdana Menteri berkata, beliau menyerahkan kepada BN Sarawak untuk membuat keputusan.

''Apa yang difikirkan sesuai oleh BN Sarawak akan diterima oleh kami (BN) di peringkat Pusat," katanya.

Pada satu soalan mengenai kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa BN akan keluar dari Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang, Najib berkata, ia cuma retorik politik sahaja.

''Dia (Anwar) dah cakap macam itu dah lama. Pertama cakap nak tubuh kerajaan 16 September 2008. Orang tunggu tak jadi kenyataan, lepas itu tarikh lain pula, dah tiga kali janji.

''Saya serah kepada rakyat (untuk memilih), saya tidak akan mendabik dada, saya akan tumpu buat kerja bela rakyat Malaysia di mana saja," katanya.

Parti komponen BN Sarawak terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), PRS dan SPDP.

Dalam pilihan raya negeri pada 2006, BN Sarawak memenangi 62 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan. Selebihnya dimenangi oleh calon Bebas, DAP, PKR dan Parti Cinta Malaysia (PCM).

utusan malaysia 23.02.10
Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates