Tuesday, February 23, 2010 at 4:49 PM |  


Agenda pembangunan jadi keutamaan: Najib SRI AMAN
Datuk Seri Najib Razak menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan nasib Barisan Nasional (BN) dan Umno pada pilihan raya umum akan datang, kerana yakin rakyat boleh membezakan antara politik retorik dan politik realiti. "Saya menyerah kepada rakyat. Saya tak dabik dada, cakap besar dan mendakwa boleh menang besar. Apa yang penting kita mesti bersikap rendah diri, bukan cakap besar.
"Apa yang penting kita nak buat kerja untuk rakyat... itu lebih utama dan saya akan membuat tumpuan kepada membuat kerja untuk membela rakyat walau di mana saja," kata Perdana Menteri pada sidang media selepas merasmikan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Rumah Radin, Lachau Ulu, Lachau di sini, semalam.
Projek bernilai RM5.8 juta itu memberi manfaat kepada 1,900 penduduk dari 13 perkampungan dan rumah panjang. Ia membabitkan pembinaan jarak talian voltan tinggi sejauh 18.67 kilometer dan jarak talian voltan rendah 13.25 kilometer. Hadir sama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; dua timbalannya, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Najib berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa rakyat akan menolak kerajaan BN dari Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang, tidak kira sama ada beliau merengkok di penjara atau tidak. Anwar yang berucap di rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina di Machang Bubok, Pulau Pinang, kelmarin, mendakwa rakyat sudah bosan dengan BN dan mereka kini sudah bersedia untuk menumbangkan Kerajaan Pusat yang didukung oleh Umno dan menggantikannya dengan pakatan pembangkang. Najib berkata, Anwar sudah banyak kali bercakap dengan nada serupa termasuk menggembar-gemburkan akan menubuhkan kerajaan tetapi semuanya tidak menjadi kenyataan. "Saya percaya rakyat boleh membezakan antara cakap politik retorik dan politik berasaskan realiti," katanya.
Terdahulu, berucap pada majlis sama, Najib berkata beliau mahu menjadi pelengkap kepada agenda pembangunan luar bandar diasaskan oleh Allahyarham ayahnya, Tun Abdul Razak. "Biarpun penampilan saya dengan arwah berbeza, namun semangat dan misi kami adalah sama, dengan agenda pembangunan luar bandar amat dekat di hati. "Biarlah waktu saya jadi Perdana Menteri ini, kita selesaikan agenda pembangunan luar bandar termasuk untuk Sarawak dan Sabah, dua negeri yang penting bagi kita, sebab kedua-dua negeri ini saya anggap sebagai 'fixed deposit' (simpanan tetap) untuk Barisan Nasional (BN), selain ia cerminan gagasan 1Malaysia," katanya. Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan enam projek BELB membabitkan 921 rumah dengan kos RM23 juta, naik taraf Jalan Jaong sejauh 7 kilometer dengan kos RM89 juta, naik taraf jalan Tanjung Bijat-Seterau sejauh 21 kilometer dengan kos RM16 juta dan Jalan Po Ai sejauh 14 kilometer dengan kos RM14.6 juta, semuanya di Bahagian Sri Aman. Kerajaan juga memperuntukkan RM3.4 bilion untuk Sarawak dengan sasaran menyediakan 95 peratus liputan bekalan elektrik, 90 peratus bekalan air dan 1,900 kilometer jalan raya menjelang 2012.
Beliau percaya BN akan tetap menjadi pilihan utama rakyat Sarawak.
Posted by tajau singa raja

1 comments:

YANG GAMBI said...

Salam bro, amat tepat sekali dengan ungkapan Dato' Sri Najib..... sebagai rakyat yang tidak buta, tuli, bisu serta jumud, mereka akan dapat menilai dengan sehalus-halusnya....

February 23, 2010 at 10:51 PM  
Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates