KUCHING 17 Feb. - Sarawak bercadang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran elektriknya kepada 6,000 megawatt menjelang 2015.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan berkata, hasrat itu akan dicapai menerusi pembinaan beberapa empangan hidroelektrik termasuk stesen janakuasa arang batu di bahagian tengah dan utara Sarawak.

Beliau berkata, Sarawak bertuah kerana dikurniakan dengan banyak sumber alam yang berpotensi untuk dibangunkan menjadi sektor tenaga.

''Kita menerusi Sarawak Energy Berhad (SEB) telah membuat pelan pembangunan tenaga dan merancang untuk meningkatkan penjanaan tenaga elektrik kepada 6,000 megawatt menjelang 2015 menerusi pembinaan beberapa empangan hidroelektrik dan stesen janakuasa arang batu.

''Dan dengan adanya pelan pembangunan tenaga hidro ini, kita sedia membantu pembangunan Sabah dan Brunei menerusi pembinaan sistem grid yang menghubungkan negeri-negeri berkenaan," katanya.

Beliau berucap pada majlis penyerahan laporan kajian kebolehlaksanaan sistem penyambungan kuasa antara Sarawak dan Brunei di sini hari ini.

Pada sidang akhbar selepas itu, Awang Tengah memberitahu, Sarawak turut merancang untuk membina lima empangan hidroelektrik selepas Bakun dan Murun membabitkan kawasan di Limbang, Lawas, Pelagus, Baleh dan Baram.

Pembinaan kelima-lima empangan itu ujarnya, akan turut membantu kepada peningkatan pengeluaran elektrik Sarawak kepada 6,000 megawatt.

''Namun, lima empangan ini masih pada peringkat kajian teknikal dan kita akan laksanakan pembinaan empangan itu secara berperingkat-peringkat.

''Empangan hidroelektrik Bakun merupakan empangan pertama yang akan beroperasi pada penghujung tahun ini diikuti dengan Murun yang dijangka siap pada 2013," katanya.

Sementara itu, Awang Tengah berkata, tenaga elektrik yang dihasilkan menerusi empangan hidroelektrik Bakun akan digunakan untuk keperluan industri tempatan terutamanya di kawasan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE) sebelum dieksport ke Semenanjung.

utusan malaysia 18.02.10
Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates