Friday, March 5, 2010 at 4:19 PM |  


Subsidi minyak tidak berubah
PUTRAJAYA 4 Mac - Kerajaan hari ini membatalkan cadangan pelaksanaan penstrukturan semula subsidi petroleum setelah menerima maklum balas negatif daripada rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai jalan penyelesaiannya kerajaan mewujudkan Makmal Merasionalisasikan Subsidi bagi mengkaji mekanisme terbaik pelaksanaan penyaluran subsidi merangkumi bahan petroleum, makanan serta infrastruktur lain.
Dalam aspek ini, kata beliau, pihaknya akan segera mengemukakan kertas cadangan kepada Kabinet berhubung kaedah sesuai dalam mengekang pembelian petroleum bersubsidi negara yang turut dinikmati rakyat asing.
Ketika ini, larangan penjualan petrol dan diesel melebihi 20 liter dikuatkuasakan ke atas kenderaan asing dalam lingkungan 50 kilometer dari sempadan negara tetapi tidak di lain-lain tempat termasuk ibu negara.
"Dari segi pelaksanaan (penstrukturan semula ini), ia sebenarnya boleh dilakukan antaranya menerusi penggunaan MyKad yang hanya mengambil masa tiga saat untuk proses pembelian petrol di samping tidak memerlukan cap jari.
"Tetapi kerana pandangan-pandangan negatif rakyat perlu diutamakan kerajaan, maka cadangan ini tidak diteruskan.
"Ini menunjukkan kerajaan sentiasa terbuka dalam menerima pandangan rakyat seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan keputusan pembatalan itu di pejabatnya di sini.
Pada pembentangan Bajet 2010, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa petroleum bersubsidi kini dinikmati oleh semua kenderaan termasuk pemilik kereta mewah dan rakyat asing.
Bagi memastikan hanya golongan sasar diberi subsidi, kerajaan merancang untuk melaksanakan satu sistem penstrukturan subsidi petroleum yang akan menggunakan MyKad serta berdasarkan kuasa enjin kenderaan.
Dalam usaha untuk mengekalkan harga runcit petrol dan diesel, kerajaan menanggung subsidi petroleum tahun lalu sebanyak RM3.4 bilion manakala subsidi bagi diesel RM1.9 bilion.
UTUSAN MALAYSIA 05.03.10
Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates