KUCHING 27 April - Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini mengumumkan peguam, Robert Lau Hui Yew sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu 16 Mei ini, setelah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Abdul Taib yang juga Ketua Menteri berkata, pencalonan Hui Yew oleh Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) menunjukkan persediaan yang baik parti itu untuk mengetengahkan pemimpin muda pada masa depan.
''Beliau (Hui Yew) merupakan seorang yang aktif di Sibu dan kebanyakan orang di sana mengenalinya, bagus bermain skuasy dan mempunyai personaliti yang baik serta mudah didekati.
''Beliau boleh bekerja dengan semua parti komponen BN Sarawak dan kali ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada SUPP kerana mempunyai pemimpin baik yang mampu berkhidmat kepada rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hui Yew, 45, bapa kepada empat orang anak merupakan Penolong Bendahari SUPP Sibu dan saudara dua pupu kepada bekas Ahli Parlimen Sibu iaitu mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew.
Peguam lulusan University of Hull, Britain itu merupakan anak kepada hartawan serta dermawan terkemuka di negeri ini iaitu Lau Swee Nguong.
Dalam pada itu, Abdul Taib berkata, beliau melihat peluang BN untuk menang pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu kali ini adalah cerah.
''Sebagaimana kesan yang berlaku di Hulu Selangor, ia menunjukkan rakyat ketika ini semakin mempercayai kepimpinan Perdana Menteri untuk membawa transformasi yang lebih baik kepada rakyat negara ini.
''Saya percaya, rakyat Sibu juga akan yakin dengan keikhlasan yang cuba dibawa Najib untuk membawa Malaysia ke arah masyarakat yang lebih moden dan makmur," jelas beliau.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRK Parlimen Sibu pada 16 Mei ini manakala tarikh penamaan calon pada 8 Mei.
utusan malaysia 28.04.2010
Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates