Kekecohan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR yang sedang berlangsung di seluruh negara didakwa berpunca daripada calon-calon yang mendapat restu Anwar Ibrahim dan Azmin Ali ‘tidak’ dipilih ahli-ahli di peringkat akar umbi.
Atas sebab itu, ‘orang-orang Anwar dan Azmin’ telah melancarkan provokasi melampau terhadap ‘orang-orang Zaid Ibrahim’ dengan sengaja menimbulkan kekacauan. Situasi ini membuktikan PKR sebagai sebuah parti yang tidak langsung bertunjangkan kepada kepentingan ahli akar umbi, tetapi sebaliknya berpaksikan kepada agenda peribadi pemimpin tertentu sahaja.Masalah pemilihan parti juga berpunca kerana tiadanya unsur ketelusan dan ketidakadilan dalam parti dengan kuasa dipusatkan sepenuhnya kepada Anwar dan Azmin semata-mata. Sekiranya calon-calon yang ditaja Anwar dan Azmin gagal dalam mempertahan mahupun mendapatkan jawatan seperti yang dirancang, pasti akan ada tangan-tangan ghaib yang akan menggagalkan perjalanan mesyuarat termasuk mencetuskan kekacauan.
Berdasarkan apa yang sedang berlaku sekarang agenda sebenar PKR adalah untuk mencapai matlamat Anwar Ibrahim dan Azmin Ali. Yang pasti dalam pemilihan Cabang PKR mesti dimenangi ‘orang-orang tajaannya’ dan selepas itu akan berjaya mengawal PKR secara keseluruhannya.Kekecohon pemilihan PKR Cabang Subang terpaksa ditangguhkan disebabkan masalah teknikal pada kertas undi. Masalah teknikal ini ekoran kesilapan nama-nama calon calon yang bertanding sehingga memaksa pengundian terpaksa ditangguhkan.Persoalannya, adakah masalah teknikal ini sengaja atau tidak sengaja dilakukan? Bagaimana boleh tidak sengaja sedangkan sebelum pemilihan mereka yang bertanding sesuatu jawatan telah mengetahuinya. Walaupun ditangguhkan, ahli mesyuarat telah mencalonkan Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden dan Zaid Ibrahim sebagai Timbalan Presiden.Berbeza dengan PKR Cabang Klang dan Petaling Jaya Selatan yang turut ditangguhkan ekoran kekecohan yang berlaku disebabkan ‘orang-orang Zaid Ibrahim’ sedang mendahului calon tajaan Anwar dan Azmin. Kekacauan ini sangat jelas memandangkan ‘orang-orang Zaid’ telah berjaya menguasai pemilihan PKR peringkat cabang.
Pergaduhan PKR Cabang Klang lebih membimbangkan disebabkan kumpulan gangster masuk campur. Lebih dahsyat lagi, kotak-kotak undi dan kerusi dibaling tanpa memperdulikan rakan mahupun lawan. Difahamkan sebanyak 6 kumpulan gangster bertembung sesama sendiri.Situasi yang juga berlaku di PKR Cabang Kota Raja.Pergaduhan yang melibatkan kumpulan gengster merupakan tindakan biadap yang tidak boleh diterima akal normal. Manakan tidak, penglibatan gengster merupakan jangkauan pada tahap bahaya dan boleh mendatangkan kecederaan.
PKR Cabang Kapar, Selangor mesyuarat terpaksa ditangguhkan apabila berlaku provokasi antara penyokong calon sehingga bertindak di luar kawalan termasuk mengoyak kertas undi.Hampir kebanyakan Pemilihan Mesyuarat Cabang PKR di Selangor telah menyaksikan kubu-kubu kuat Azmin rebah kepada Zaid apabila penyandang Cabang Petaling Jaya Utara (Selangor), Elizabeth Wong dan Datuk Kamarul Bahrin Abbas di Teluk Kemang (Negeri Sembilan) tewas kepada pencabar masing-masing.
Posted by tajau singa raja
Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) pada hari ini telah berjaya menapakkan ‘dirinya’ sekukuh dengan jabatan dan agensi lain dalam masyarakat berlandaskan peranannya ‘memimpin pendapat rakyat’. Usaha JASA sebagai penghubung terus kepada masyarakat dalam apa jua keadaan telah memberi ruang kepada rakyat untuk terus mendampingi JASA.
Jabatan Hal Ehwal KhasKetelusan hati pegawai-pegawai JASA untuk terus mendampingi rakyat tidak perlu dipersoalkan. Nun jauh di hujung kampung mahupun di hujung daerah serta bahagian di Sarawak, JASA akan terus mencurahkan baktinya demi mendengar dan mengamati permasalahan rakyat untuk disalurkan terus kepada pihak berwajib. Atas kapasiti itu, JASA terus dihormati dan akan terus mendampingi rakyat.
Sejarah Latar Belakang JASAJASA?
Apakah JASA dan siapakah JASA?
Itulah persoalan yang hendak dikemukakan oleh penulis yang sangat popular dengan kelantangannya mencaci, menghentam dan menabur fitnah dalam setiap tulisannya di dalam laman blognya. JASA dahulunya dikenali sebagai BHEK atau Bahagian Hal Ehwal Khas, telah ditubuhkan pada 11 Mei 1960 (selepas merdeka dan sebelum pembentukan negara Malaysia).Pastinya, penubuhan awal BHEK ini adalah untuk memelihara dan mempertahankan politik dan Kerajaan Perikatan. Ketika itu, selepas merdeka 1957, Persekutuan Tanah Melayu masih lagi muda dan memerlukan banyak tanggungjawab untuk menjadi sebuah negara yang benar-benar kukuh. Ekoran itu, penubuhan BHEK ketika itu sangat relevan demi memelihara kestabilan politik.Selain tanggungjawab beratnya dalam memelihara dan mempertahankan politik dan Kerajaan, BHEK juga berperanan penting dalam:
1. Memberi kesedaran dan kefahaman yang berkualiti, tepat dan jelas dalam aspek siasah danagama.
2. Menyediakan laporan maklum balas dengan tepat, semasa dan sahih mengenai isu-isu siasahdan agama.
3. Menyediakan bahan-bahan penerbitan dan multimedia yang bermaklumat semasa mengenaisiasah dan agama.
4. Menyedia dan memberi khidmat kepakaran komunikasi bersemuka kepada masyarakat.
5. Memberi khidmat sokongan yang berkualiti dalam aspek kewangan dan sumber manusia.
6. Bertindak atas prinsip `Kebenaran Terserlah Negara Cemerlang` dalam melaksanakan tugas.Pada hari ini, JASA telah meniti kukuh ke arah landasan yang betul dalam mempertingkatkan kesedaran, kefahaman dan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan melalui Gagasan 1Malaysia berteraskan prinsip Rukun Negara. Berteraskan misi JASA ke arah:
1. Memperkukuhkan kestabilan politik negara dengan mendapatkan sokongan rakyat terhadapKerajaan melalui gagasan 1Malaysia;
2. Mendorong dan memimpin pendapat positif rakyat (leading public opinions) terhadapKerajaan melalui pendekatan bersepadu;
3. Menjadi perantara hubungan timbalbalik (reciprocity) di antara Kerajaan dan rakyat Malaysiadalam dan luar negeri; dan
4. Meningkatkan perpaduan dan keharmonian rakyat berteraskan Rukun Negara.
Sumber:
Wira Kenyalang
Posted by tajau singa raja
KUALA LUMPUR 2 Sept. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali didakwa mempunyai 'kunci' ke atas segala rahsia utama ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah mendakwa, 'kunci' itulah yang menjadi senjata utama kepada Azmin untuk mendapatkan apa sahaja yang diingininya tanpa dapat dihalang oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Aminah bagaimanapun enggan mendedahkan apa yang dimaksudkan dengan rahsia utama itu kerana yakin ia merupakan sesuatu yang sedia diketahui oleh pihak-pihak berkenaan.
Kini katanya, menjadi kewajipan kepada mereka itu untuk menjelaskannya kepada rakyat.
"Bagi saya memang tidak menghairankan mengapa Anwar dan Wan Azizah tidak dapat memberi penjelasan apabila ditanya mengapa Azmin diberi layanan istimewa dan apa yang Azmin mahu dia akan dapat.
"Ini berlaku kerana Azmin pegang semua rahsia Anwar. Rahsia ini yang memberi kuasa besar pada Azmin ke atas Anwar dan Wan Azizah. Saya yakin satu hari nanti rahsia ini akan terbongkar jua," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Aminah mengulas gesaan bekas rakan baik Penasihat PKR tersebut, Datuk S. Nallakarupan yang mencabar Anwar memberikan penjelasan berhubung kedudukan terlalu istimewa yang dinikmati oleh Azmin selama ini.
Azmin selaku Naib Presiden PKR baru-baru ini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan lantikan itu membuktikan kedudukan istimewa Azmin kepada Anwar.
Bagaimanapun sehingga kini cabaran oleh Nallakarupan itu langsung tidak dijawab oleh pasangan suami isteri tersebut.
Selain Nallakarupan, bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak turut meminta pasangan itu menjelaskan perkara sama tetapi langsung tidak diendahkan oleh mereka berdua.
Tegas Saidatul Badru, Wan Azizah amat perlu membersihkan dirinya daripada terus digelar sebagai 'presiden boneka'.
Sementara itu, Aminah berkata, beliau amat berharap agar Anwar, Wan Azizah dan Azmin menghayati matlamat dan hala tuju parti yang diasaskan oleh pejuang reformasi tulen sebelum ini tetapi secara tidak amanah telah dipesongkan oleh mereka.
Jelas beliau, itu antara sebab utama mengapa ramai ahli termasuk di kalangan pimpinan PKR bertindak keluar parti.
Katanya, ini kerana mereka ini yang mempunyai maruah dan prinsip perjuangan, tidak lagi sanggup diperkotak-katikkan oleh kepimpinan mempunyai agenda peribadi.
sumber utusan malaysia
Posted by tajau singa raja
Wednesday, April 28, 2010 at 1:19 PM | 0 comments  
JOHOR BAHRU 27 April - "Kalau dah kalah, terima sajalah, jangan buat andaian-andaian begitu."
Demikian reaksi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan kononnya Barisan Nasional (BN) membeli undi untuk mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor kelmarin.
Beliau turut menyifatkan tuduhan itu sebagai tindakan untuk memburukkan nama baik BN.
"Pokoknya kita (BN) dah menang. Bagi saya pilihan raya kecil itu telah berjalan dengan baik dan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) telah menjalankan kerja mereka dengan baik.
"Kita dah terima keputusan dan BN dah menang. Pihak yang terlibat sepatutnya terima hakikat dan kenyataan itu, tak sewajarnya bangkitkan sebab-musabab kerana mereka tak puas hati dengan apa yang telah berlaku," tegasnya.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.
Mengenai kecenderungan pengundi Cina yang terus menyokong pembangkang, Muhyiddin berkata, BN akan mengkaji keputusan pilihan raya kecil tersebut secara menyeluruh.
"Dalam mana-mana pilihan raya kecil seperti ini, selepas selesai kita akan teliti kecenderungan pengundi ikut kaum dan sebagainya. Apakah perkara yang mempengaruhi pengundi untuk menyokong atau sebaliknya, itu kita akan kaji," katanya.
Ditanya dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa UMNO mempergunakan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) untuk memperjuangkan hak-hak kaum Melayu, Muhyiddin dengan tegas menafikan tuduhan itu.
"Perkasa adalah satu badan bukan kerajaan. Kita tidak merancang apa- apa dan ini adalah inisiatif yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin Melayu tertentu.
"Kalau mereka berbuat sesuatu untuk menjaga kepentingan Melayu, itu adalah hak badan bukan kerajaan itu," katanya.
Menurutnya, Kit Siang sendiri dalam ucapannya termasuk yang disiarkan di dalam blog turut membuat seruan-seruan kepada kaum tertentu bersatu atas tujuan menolak hak kaum lain.
"Saya fikir, nak kata dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih," ujarnya.
Beliau berkata, BN akan meneliti secara terperinci di setiap peti undi dan menilai apakah langkah dan strategi yang boleh diambil untuk memperkukuhkan parti dan BN bagi menghadapi cabaran pada masa depan.
Pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor Ahad lalu, calon BN, P. Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725
utusan malaysia 28.04.2010
Posted by tajau singa raja
KUCHING 27 April - Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini mengumumkan peguam, Robert Lau Hui Yew sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu 16 Mei ini, setelah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Abdul Taib yang juga Ketua Menteri berkata, pencalonan Hui Yew oleh Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) menunjukkan persediaan yang baik parti itu untuk mengetengahkan pemimpin muda pada masa depan.
''Beliau (Hui Yew) merupakan seorang yang aktif di Sibu dan kebanyakan orang di sana mengenalinya, bagus bermain skuasy dan mempunyai personaliti yang baik serta mudah didekati.
''Beliau boleh bekerja dengan semua parti komponen BN Sarawak dan kali ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada SUPP kerana mempunyai pemimpin baik yang mampu berkhidmat kepada rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hui Yew, 45, bapa kepada empat orang anak merupakan Penolong Bendahari SUPP Sibu dan saudara dua pupu kepada bekas Ahli Parlimen Sibu iaitu mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew.
Peguam lulusan University of Hull, Britain itu merupakan anak kepada hartawan serta dermawan terkemuka di negeri ini iaitu Lau Swee Nguong.
Dalam pada itu, Abdul Taib berkata, beliau melihat peluang BN untuk menang pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu kali ini adalah cerah.
''Sebagaimana kesan yang berlaku di Hulu Selangor, ia menunjukkan rakyat ketika ini semakin mempercayai kepimpinan Perdana Menteri untuk membawa transformasi yang lebih baik kepada rakyat negara ini.
''Saya percaya, rakyat Sibu juga akan yakin dengan keikhlasan yang cuba dibawa Najib untuk membawa Malaysia ke arah masyarakat yang lebih moden dan makmur," jelas beliau.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRK Parlimen Sibu pada 16 Mei ini manakala tarikh penamaan calon pada 8 Mei.
utusan malaysia 28.04.2010
Posted by tajau singa raja
NEW YORK: Sepuluh daripada orang paling terkaya di dunia memiliki kekayaan terkumpul bernilai AS$342 billlon pada tahun ini, berbanding hanya AS$254 billion tahun lalu.Berikut senarai 20 orang terkaya di dunia yang diumumkan Majalah Forbes hari ini:
1. Carlos Slim Helu dan Keluarga (Mexico. Telekomunikasi. AS$53.5 billion)
2. Bill Gates (Amerika Syarikat. Microsoft. AS$53 billion)
3. Warren Buffett (Amerika Syarikat. Berkshire Hathaway. AS$47 billion)
4. Mukesh Ambani (India. Minyak, Gas. AS$29 billion)
5. Lakshmi Mittal. (India) Besi & Keluli. AS$28.7 billion)
6. Lawrence Ellison (Amerika Syarikat. Oracle . AS$28 billion)
7. Bernard Arnault (Perancis. LVMH - barangan mewah. AS$27.5 billion)
8. Eike Batista (Brazil. Pelombongan, Minyak. AS$27 billion)
9. Amancio Ortega (Sepanyol. Pakaian Runcit. AS$25 billion)
10. Karl Albrecht (Jerman. Pasaraya AS$23.5 billion)
11. Ingvar Kamprad dan Keluarga (Sweden. Ikea. AS$23 billion)
12. Christy Walton dan Keluarga (Amerika Syarikat. Walmart. AS$22.5 billion)
13. Stefan Persson (Sweden. Hennes and Mauritz. AS$22.4 billion)
14. Li Ka-shing (Hong Kong. Pelbagai. AS$21 billion)
15. Jim Walton (Amerika Syarikat. Walmart. AS$20.7 billion)
16. Alice Walton (Amerika Syarikat. Walmart. AS$20.6 billion)
17. Liliane Bettencourt (Perancis. L’Oreal. AS$20 billion)
18. S. Robson Walton (Amerika Syarikat. Walmart. AS$19.8 billion)
19. Putera Alwaleed Bin Talal Alsaud (Arab Saudi. Pelaburan. AS$19.4 billion)
20. David Thomson dan Keluarga (Kanada. (Harta Warisan/Pusaka. (AS$19 billion).
Berita Harian 11/03/2010
Posted by tajau singa raja
KUALA LUMPUR 10 Mac – Kerajaan akan memansuhkan bayaran wad yang dikenakan terhadap kakitangan dan pesara perkhidmatan awam yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan berkuat kuasa 1 April ini.
Mereka yang akan mendapatkan faedah daripada pengumuman baru kerajaan ini membabitkan 1,253,026 penjawat awam yang masih berkhidmat dan juga 528,583 pesara.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam berkata, menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2010 yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam, pemansuhan itu turut melibatkan anggota keluarga dan ibu bapa mereka.
Bagaimanapun, kata beliau, bagi pesara pula, ia hanya tertakluk kepada penerima pencen iaitu isteri serta anak-anak dan tidak melibatkan ibu bapa.
“Pemansuhan bayaran wad itu juga tidak menjejaskan kelayakan wad yang ditetapkan untuk pegawai berdasarkan gred pegawai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kelayakan wad untuk pegawai pengurusan tertinggi, Gred 45-54 ialah Kelas 1 bilik seorang (RM10 sehari), Gred 31-44 (Kelas 1 bilik berdua iaitu RM8 sehari), Gred 21-30 (Kelas 1 bilik bertiga iaitu RM6 sehari) dan Gred 1-20 (Kelas 2) iaitu RM3 sehari.
Kata beliau, kelayakan untuk anggota keluarga dan ibu bapa adalah berdasarkan kelayakan yang ditetapkan kepada pegawai awam berkenaan.
Kelayakan wad untuk pesara dan anggota keluarga mereka pula adalah berdasarkan gred hakiki terakhir pegawai sebelum bersara.
Ismail berkata, jika pegawai awam, pesara, anggota keluarga atau ibu bapa meminta untuk dimasukkan ke dalam wad yang lebih tinggi daripada kelayakan ditetapkan, pegawai awam atau pesara itu perlu membayar bayaran wad mengikut kadar yang dikenakan ke atas orang awam.
“Pegawai dan pesara juga dikehendaki membayar deposit sebelum dimasukkan ke wad yang lebih tinggi mengikut kadar yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, dengan berkuat kuasanya pekeliling perkhidmatan itu, perenggan C2 berkaitan kelayakan dan kadar bayaran wad di Lampiran C8 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002 adalah terbatal.
Selain itu, pekeliling baru ini juga membatalkan kenyataan di perenggan 11 berkaitan kadar bayaran wad sehari di Lampiran O Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 1991, dan Bahagian J berkaitan permohonan perbelanjaan bagi rawatan di luar negeri di Lampiran B Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 21 Tahun 2009.
Menurut beliau, peruntukan pekeliling perkhidmatan itu pada keseluruhannya turut dipanjangkan kepada semua kakitangan perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.
Utusan Malaysia 11 Mac 2010
Posted by tajau singa raja


HARI INI genaplah dua tahun, tiga buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Selangor yang dilanda tsunami politik pada 8 Mac 2008 berada dalam genggaman pakatan pembangkang.
Kedah diketuai oleh Pas, Pulau Pinang pula DAP dan Selangor oleh PKR. Jika genap setahun memerintah sebelum ini, mereka menganggap tidak wajar kepimpinan dinilai kerana dianggap masih baru tetapi bagaimana pula setelah dua tahun?
Apakah segala yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya lalu sudah ditunaikan? Atau ia sekadar janji kosong bagi meraih undi dan kekuasaan?
KUALA LUMPUR 7 Mac – Gabungan parti pembangkang di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah dilihat tiada kesepakatan sehingga menyebabkan berlakunya kepincangan yang meruncing dalam pentadbiran di ketiga-tiga negeri itu.
Menurut beberapa penganalisis politik, situasi ini berlaku kerana DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bergabung semata-mata untuk ‘menjatuhkan’ kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bukannya berpakat untuk memerintah.
Sehubungan itu pada penilaian mereka, setelah dua tahun berpeluang berkuasa, pakatan pembangkang kini goyah hingga gagal menjalankan sebarang bentuk pembangunan berkesan di negeri yang ditadbir mereka.
Malah lebih parah, kata para penganalisis, bibit perbalahan di kalangan mereka semakin ketara sehingga seorang demi seorang mula mengangkat kaki keluar parti kerana tidak berpuas hati dengan corak pentadbiran rakan gabungan.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Datuk Dr. Ahmad Faiz Hamid berkata, punca tiada kesepakatan di kalangan pakatan pembangkang di ketiga-tiga negeri itu terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang adalah disebabkan tiadanya pengalaman memerintah.
Menurutnya, pengalaman untuk memerintah dan mentadbir sesebuah negeri adalah amat penting bukan sahaja melibatkan Menteri Besar atau Ketua Menteri malah keseluruhan pemimpin parti yang menerajui dan mewakili rakyat di sesebuah negeri itu.
Jika tidak, ia akan berlaku seperti apa yang terjadi di negeri-negeri yang kini diterajui pakatan pembangkang seperti di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.
“Mereka beranggapan apabila menang pilihan raya, ia merupakan kejayaan besar bagi mereka. Tapi ternyata mereka salah kerana gagal untuk mentadbir akibat ketiadaan pengalaman dan kesepakatan antara gabungan mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Ahmad Faiz berkata, apa yang penting bagi mereka adalah ‘mendapatkan kuasa’ dan kedudukan sehingga mengabaikan pentadbiran negeri dan kebajikan rakyat.
Sambil merujuk kepada situasi di Selangor, beliau berkata, kini telah wujud keladak dan gelojak dalam pentadbiran di negeri itu dan ini seharusnya disedari oleh rakyat.
Menurutnya, walaupun luarannya nampak seperti tiada masalah, namun apabila dilihat secara dalaman banyak masalah yang timbul terutamanya melibatkan pemimpin di kalangan parti-parti komponen dalam pakatan pembangkang.
“Melihat kepada pembangunan di Selangor, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak membawa sebarang pembangunan dan hanya meneruskan kesinambungan pembangunan yang dibuat kerajaan sebelum ini.
“Daripada apa yang berlaku di Selangor seperti krisis antara Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali, kemelut pemerintahan PKR sehingga bubarnya PKR Cabang Kuala Selangor jelas menunjukkan pakatan pembangkang di negeri itu begitu rapuh dan kini ibarat retak menanti belah,” katanya.
Begitu juga Kedah, katanya, walaupun seperti tiada masalah di negeri itu, namun kerajaan Pas di Kedah dilihat hanya seronok sendiri dan mengambil kesempatan dengan mendakwa semua projek pembangunan yang telah pun dirancang adalah usaha mereka.
“Hakikatnya di Kedah banyak isu yang belum terjawab dalam bentuk tindakan proaktif oleh kerajaan Pas misalnya isu kebajikan dan kemiskinan rakyat,” katanya.
UTUSAN MALAYSIA 08/03/2010
Laporan Khas kali ini yang disediakan oleh ZAINU’L AZHAR ASH’ARI, NOR SEDEK ISMAIL, ZABRY MOHAMAD, ABDUL MUIN SAPIDIN, NAZARUDDIN SHAHARI, ABDUL YAZID ALIAS, NURUL HUDA HASSAN, MOHD. RAFIE AZIMI dan MOHAMAD SHOFI MAT ISA meninjau mengenai perkembangan pemerintahan di ketiga-tiga negeri.
Posted by tajau singa raja


Subsidi minyak tidak berubah
PUTRAJAYA 4 Mac - Kerajaan hari ini membatalkan cadangan pelaksanaan penstrukturan semula subsidi petroleum setelah menerima maklum balas negatif daripada rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebagai jalan penyelesaiannya kerajaan mewujudkan Makmal Merasionalisasikan Subsidi bagi mengkaji mekanisme terbaik pelaksanaan penyaluran subsidi merangkumi bahan petroleum, makanan serta infrastruktur lain.
Dalam aspek ini, kata beliau, pihaknya akan segera mengemukakan kertas cadangan kepada Kabinet berhubung kaedah sesuai dalam mengekang pembelian petroleum bersubsidi negara yang turut dinikmati rakyat asing.
Ketika ini, larangan penjualan petrol dan diesel melebihi 20 liter dikuatkuasakan ke atas kenderaan asing dalam lingkungan 50 kilometer dari sempadan negara tetapi tidak di lain-lain tempat termasuk ibu negara.
"Dari segi pelaksanaan (penstrukturan semula ini), ia sebenarnya boleh dilakukan antaranya menerusi penggunaan MyKad yang hanya mengambil masa tiga saat untuk proses pembelian petrol di samping tidak memerlukan cap jari.
"Tetapi kerana pandangan-pandangan negatif rakyat perlu diutamakan kerajaan, maka cadangan ini tidak diteruskan.
"Ini menunjukkan kerajaan sentiasa terbuka dalam menerima pandangan rakyat seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengumumkan keputusan pembatalan itu di pejabatnya di sini.
Pada pembentangan Bajet 2010, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa petroleum bersubsidi kini dinikmati oleh semua kenderaan termasuk pemilik kereta mewah dan rakyat asing.
Bagi memastikan hanya golongan sasar diberi subsidi, kerajaan merancang untuk melaksanakan satu sistem penstrukturan subsidi petroleum yang akan menggunakan MyKad serta berdasarkan kuasa enjin kenderaan.
Dalam usaha untuk mengekalkan harga runcit petrol dan diesel, kerajaan menanggung subsidi petroleum tahun lalu sebanyak RM3.4 bilion manakala subsidi bagi diesel RM1.9 bilion.
UTUSAN MALAYSIA 05.03.10
Posted by tajau singa raja
Thursday, March 4, 2010 at 4:24 PM | 0 comments  

KEPESATAN PEMBANGUNAN PEMBANGUNAN LUAR BANDAR MELALUI SAINS DAN TEKNOLOGI

Batang Pokok Padi Berada Di Tengah Logo
Melambangkan Keindahan Persisiran Pesisiran Luar Bandar, Kemajuan dan Memberi Nafas Baru.

Biji Padi
Melambangkan Kemewahan Sumber, Kemakmuran Kepercayaan Masa Depan Yang Lebih Progesif.

Elektron Yang Melingkari Pokok Padi
MelambangkanSains dan Teknologi, Perpaduan dan Keperluan Bersama

Perkataan Parti Rakyat Sarawak Pada Dasar Bentuk Segi Tiga
Membawa Maksud Bahawa PRS Memperjuangkan Politik Yang Berteraskan Perjuangan Rakyat dan negara.

Rasional 3 Warna Logo

MERAH
Melambangkan Dedikasi , Keazaman, Keberanian dan Kepimpinan.

HIJAU
Melambangkan Sikap Hormat Menghormati, Kejujuran, Keikhlasan Serta Bermaruah Tinggi.

KEEMASAN
Melambangkan Kecermelangan, Kejayaan dan Kepatuhan Kepada Undang-Undang.
TAHNIAH PRS !!!!
Posted by tajau singa raja


KAPIT : Sebagai usaha untuk merealisasikan visi dan misinya bagi menempuhi cabaran era moden globalisasi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) telah melancarkan logo barunya.
Pelancaran rasmi logo PRS itu berlangsungdi Dewan Serba Guna Sri Baleh, Sempena Majlis Makan Malam Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian N.56 Baleh pada 27 Feb 2010. Presiden PRS merangkap Menteri Kemajuan Tanah Dato Sri Dr James Masing telah berkenan melancarkan logo baru tersebut. Logo baru tersebut bagi memenuhi aspirasi,rejuvenasi dan era modenisasi masa depan parti serta ahli-ahlinya.
Posted by tajau singa raja
Tuesday, February 23, 2010 at 4:49 PM | 1 comments  


Agenda pembangunan jadi keutamaan: Najib SRI AMAN
Datuk Seri Najib Razak menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan nasib Barisan Nasional (BN) dan Umno pada pilihan raya umum akan datang, kerana yakin rakyat boleh membezakan antara politik retorik dan politik realiti. "Saya menyerah kepada rakyat. Saya tak dabik dada, cakap besar dan mendakwa boleh menang besar. Apa yang penting kita mesti bersikap rendah diri, bukan cakap besar.
"Apa yang penting kita nak buat kerja untuk rakyat... itu lebih utama dan saya akan membuat tumpuan kepada membuat kerja untuk membela rakyat walau di mana saja," kata Perdana Menteri pada sidang media selepas merasmikan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Rumah Radin, Lachau Ulu, Lachau di sini, semalam.
Projek bernilai RM5.8 juta itu memberi manfaat kepada 1,900 penduduk dari 13 perkampungan dan rumah panjang. Ia membabitkan pembinaan jarak talian voltan tinggi sejauh 18.67 kilometer dan jarak talian voltan rendah 13.25 kilometer. Hadir sama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; dua timbalannya, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Najib berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa rakyat akan menolak kerajaan BN dari Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang, tidak kira sama ada beliau merengkok di penjara atau tidak. Anwar yang berucap di rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina di Machang Bubok, Pulau Pinang, kelmarin, mendakwa rakyat sudah bosan dengan BN dan mereka kini sudah bersedia untuk menumbangkan Kerajaan Pusat yang didukung oleh Umno dan menggantikannya dengan pakatan pembangkang. Najib berkata, Anwar sudah banyak kali bercakap dengan nada serupa termasuk menggembar-gemburkan akan menubuhkan kerajaan tetapi semuanya tidak menjadi kenyataan. "Saya percaya rakyat boleh membezakan antara cakap politik retorik dan politik berasaskan realiti," katanya.
Terdahulu, berucap pada majlis sama, Najib berkata beliau mahu menjadi pelengkap kepada agenda pembangunan luar bandar diasaskan oleh Allahyarham ayahnya, Tun Abdul Razak. "Biarpun penampilan saya dengan arwah berbeza, namun semangat dan misi kami adalah sama, dengan agenda pembangunan luar bandar amat dekat di hati. "Biarlah waktu saya jadi Perdana Menteri ini, kita selesaikan agenda pembangunan luar bandar termasuk untuk Sarawak dan Sabah, dua negeri yang penting bagi kita, sebab kedua-dua negeri ini saya anggap sebagai 'fixed deposit' (simpanan tetap) untuk Barisan Nasional (BN), selain ia cerminan gagasan 1Malaysia," katanya. Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan enam projek BELB membabitkan 921 rumah dengan kos RM23 juta, naik taraf Jalan Jaong sejauh 7 kilometer dengan kos RM89 juta, naik taraf jalan Tanjung Bijat-Seterau sejauh 21 kilometer dengan kos RM16 juta dan Jalan Po Ai sejauh 14 kilometer dengan kos RM14.6 juta, semuanya di Bahagian Sri Aman. Kerajaan juga memperuntukkan RM3.4 bilion untuk Sarawak dengan sasaran menyediakan 95 peratus liputan bekalan elektrik, 90 peratus bekalan air dan 1,900 kilometer jalan raya menjelang 2012.
Beliau percaya BN akan tetap menjadi pilihan utama rakyat Sarawak.
Posted by tajau singa raja
KUCHING 22 Feb. - Peranan pertubuhan wanita yang membantu kerajaan dalam menangani permasalahan sosial harus dipertingkat dan diperluaskan dengan pendedahan agama, akhlak dan kebajikan, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini.
Beliau berkata dengan cara itu mereka akan dapat memainkan peranan lebih efektif terutama bagi yang mengendalikan kes gadis dan wanita yang melahirkan anak di luar nikah.
"Baru-baru ini masyarakat kita telah dikejutkan dengan beberapa kes pembuangan bayi yang sungguh kejam dan tidak berperi kemanusiaan langsung.
"Mungkin gejala ini berlaku diseb abkan gadis yang melahirkan bayi tersebut takut diketahui keluarga lantas mengambil jalan singkat dengan membuang bayi tersebut tanpa memikirkan akibatnya," kata beliau semasa berucap pada majlis jalinan mesra bersama badan-badan bukan kerajaan Sarawak di sini, hari ini.
Rosmah berada di negeri itu bagi mengiringi Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam rangka lawatan dua hari ke Sarawak.
Beliau berkata, selain memberi nasihat untuk tindakan yang wajar diambil oleh golongan "terlanjur", pertubuhan berkenaan juga boleh melaksanakan kempen dan program kesedaran bagi mendidik anak gadis agar menjauhi seks luar nikah.
Kempen dan program seumpama itu harus dilakukan dengan lebih teratur dan bersepadu antara pertubuhan wanita dan agensi berkaitan, katanya.
Ini kerana katanya, pertubuhan wanita mempunyai peranan penting dalam membantu negara memantapkan masyarakat kerana mereka berhubung terus dengan akar umbi.

utusan malaysia 23.02.10
Posted by tajau singa raja
SRI AMAN 22 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak percaya pembangkang tidak akan berjaya menyaingi Barisan Nasional (BN) Sarawak pada pilihan raya negeri akan datang kerana pengundi mempunyai penilaian berbeza ketika mengundi.

Menurut Perdana Menteri, pengundi lebih memberi tumpuan kepada isu-isu tempatan dan bukannya isu nasional menyebabkan mereka tidak akan terpengaruh dengan janji pembangkang.

Justeru beliau menegaskan, keputusan Pilihan Raya Umum 2008 di Semenanjung yang menyaksikan empat negeri ditawan pembangkang tidak akan berlaku di Sarawak yang akan terus kekal menjadi kubu kuat BN.

''Saya lihat pengundi di Sarawak ada pertimbangan mereka sendiri. Mereka lebih memberi tumpuan kepada isu tempatan dan antara yang menjadi pertimbangan adalah pembangunan di luar bandar.

''Sudah tentu pembangunan menjadi penentuan utama mereka dari segi pemilihan parti pada waktu pilihan raya nanti," kata beliau menjawab soalan kemungkinan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak boleh dipengaruhi oleh Pilihan Raya Umum 2008.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar bernilai RM5.8 juta di Rumah Radin, Lachau Ulu, Lachau di sini hari ini.

Najib percaya Sarawak di bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan terus makmur dan bakal mencapai banyak kejayaan untuk rakyat.

''Saya yakin BN Sarawak di bawah kepimpinan Abdul Taib akan mencapai kejayaan dan menjadi pilihan utama rakyat.

''Kepimpinannya (Abdul Taib) mampu untuk membawa Sarawak ke arah kejayaan dan kemajuan yang lebih besar," jelas Perdana Menteri.

Ketika ditanya sama ada Abdul Taib ada berbincang dengannya mengenai tarikh pilihan raya negeri akan datang, Najib secara berseloroh berkata: ''Jika saya bincang pun, saya tidak akan beritahu anda''.

Mengenai rancangan penggabungan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Rakyat Sarawak (SPDP) yang pernah disuarakan oleh kedua-dua pemimpin parti komponen BN Sarawak itu sejak 2006, Perdana Menteri berkata, beliau menyerahkan kepada BN Sarawak untuk membuat keputusan.

''Apa yang difikirkan sesuai oleh BN Sarawak akan diterima oleh kami (BN) di peringkat Pusat," katanya.

Pada satu soalan mengenai kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa BN akan keluar dari Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang, Najib berkata, ia cuma retorik politik sahaja.

''Dia (Anwar) dah cakap macam itu dah lama. Pertama cakap nak tubuh kerajaan 16 September 2008. Orang tunggu tak jadi kenyataan, lepas itu tarikh lain pula, dah tiga kali janji.

''Saya serah kepada rakyat (untuk memilih), saya tidak akan mendabik dada, saya akan tumpu buat kerja bela rakyat Malaysia di mana saja," katanya.

Parti komponen BN Sarawak terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), PRS dan SPDP.

Dalam pilihan raya negeri pada 2006, BN Sarawak memenangi 62 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan. Selebihnya dimenangi oleh calon Bebas, DAP, PKR dan Parti Cinta Malaysia (PCM).

utusan malaysia 23.02.10
Posted by tajau singa raja
BARCELONA 17 Feb. - Malaysia mendapat pengiktirafan dunia sebagai antara negara yang banyak memainkan peranan menggerakkan dan mengembangkan industri jalur lebar mudah alih, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Beliau berkata, pengiktirafan itu mendorong Malaysia untuk menggerakkan kemajuan teknologi itu khususnya "wimax" dengan lebih cepat dan meluas termasuk ke kampung dan luar bandar.

"Wimax yang beraliran menerusi gelombang 2.3 dan 2.6 ini akan menjadi penyambung yang khusus bagi industri mudah alih di Malaysia," katanya kepada pemberita di akhir lawatan kerja tiga harinya ke sini hari ini.

Rais berkata, menjelang Ogos ini penyambungan khidmat itu akan lebih meluas ke seluruh negara melalui beberapa program yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Insya-Allah, kita akan melancarkan dengan kerjasama Telekom Malaysia dan beberapa syarikat telekomunikasi, penyambungan khidmat ini," katanya.

Rais berkata, antara program itu ialah penubuhan kelab atau komuniti Internet di kampung dan luar bandar selain di bandar-bandar.

"Saya jangka menjelang Ogos kita akan dapat menyambung khidmat ini ke tahap yang lebih nyata dan menambah kadar penembusan di Malaysia," katanya.

Rais merupakan segelintir menteri dalam bidang komunikasi yang diundang ke persidangan peringkat menteri dan rundingan meja bulat sektor kerajaan dan pemain industri sempena Kongres Telekomunikasi Mudah Alih Dunia 2010 di sini.

Beliau menyifatkan pengiktirafan terhadap Malaysia bukan saja kerana capaian telefon mudah alih negara sudah di tahap 106 peratus dan melepasi tahap petunjuk 31 peratus tembusan jalur lebar tetapi juga kerana komitmen kerajaan terhadap industri dan teknologi itu.

"Kita (kementerian) menyambut baik seruan kerajaan supaya diberikan tumpuan khusus kepada jalur lebar kerana perkembangannya di peringkat dunia juga pesat dan cepat berkembang," katanya.

Di seluruh dunia kini terdapat lebih lima bilion pelanggan jalur lebar dan, menurut Rais, di Malaysia juga dijangka berlaku peningkatan yang banyak dalam tempoh terdekat, yang akan meningkatkan lagi angka petunjuknya.

utusan malaysia 18.02.10
Posted by tajau singa raja
KUALA LUMPUR 17 Feb. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memberikan 'keyakinan palsu' sehingga menyebabkan beberapa wakil rakyatnya sudah bosan dengan pemimpin mereka itu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keadaan itu juga menjadi punca beberapa wakil rakyat terbabit bertindak keluar daripada PKR.

Menurutnya, bukan mudah untuk wakil rakyat terbabit meninggalkan parti dan pakatan pembangkang yang pada asalnya mahu membentuk kerajaan baru pada 16 September 2009 seperti yang dirancangkan Anwar.

"(Jika rancangan itu berlaku), sekurang-kurangnya mereka berpeluang untuk memegang satu daripada banyak jawatan dalam kerajaan yang bakal wujud itu.

"Tetapi nampaknya mereka tidak mahu menunggu lama kerana Anwar sendiri gagal membuktikan kemampuannya mengurus 'kerajaan kongsi kuasa' di negeri-negeri yang mereka memerintah," katanya di dalam blog www.puadzarkashii.blogspot.com.

Mohd. Puad mengulas kenyataan Anwar semalam yang mengaku tersalah pilih calon pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu dan berjanji ia tidak akan berulang lagi.

Pengakuan itu dibuat ekoran tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim keluar PKR kerana tidak puas hati dengan kepimpinan parti itu.

Sebelum itu, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR turut keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas, manakala dua lagi meletak jawatan sehingga memaksa pilihan raya kecil diadakan pada tahun lalu.

Mohd. Puad dalam pada itu mempersoalkan janji Anwar untuk tidak mengulangi kesilapannya itu.

"Bolehkah janji Anwar dipegang? Satu kelebihan Anwar ialah dia pandai meyakinkan orang. Dia ada karisma. Tapi sampai bila karisma itu boleh bertahan jika ia hanyalah karisma 'keyakinan palsu'.

"Satu daripada alasan Zahrain keluar PKR ialah janji kerajaan baru yang tidak terlaksana. Justeru yang jelas di sini ialah bukan Anwar yang tersalah pilih calon tetapi Zahrain dan yang lain sudah bosan dengan kepimpinan Anwar itu," katanya.

Mohd. Puad berkata, nada dan kritikan dua lagi wakil rakyat PKR iaitu Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng juga kini mudah ditafsir.

Katanya, mereka tidak lagi percaya kepada Anwar ditambah pula dengan kenyataan Zulkifli yang mendakwa wujud 'firaun kecil' dalam PKR.

utusan malaysia 18.02.10
Posted by tajau singa raja
KUCHING 17 Feb. - Sarawak bercadang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran elektriknya kepada 6,000 megawatt menjelang 2015.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan berkata, hasrat itu akan dicapai menerusi pembinaan beberapa empangan hidroelektrik termasuk stesen janakuasa arang batu di bahagian tengah dan utara Sarawak.

Beliau berkata, Sarawak bertuah kerana dikurniakan dengan banyak sumber alam yang berpotensi untuk dibangunkan menjadi sektor tenaga.

''Kita menerusi Sarawak Energy Berhad (SEB) telah membuat pelan pembangunan tenaga dan merancang untuk meningkatkan penjanaan tenaga elektrik kepada 6,000 megawatt menjelang 2015 menerusi pembinaan beberapa empangan hidroelektrik dan stesen janakuasa arang batu.

''Dan dengan adanya pelan pembangunan tenaga hidro ini, kita sedia membantu pembangunan Sabah dan Brunei menerusi pembinaan sistem grid yang menghubungkan negeri-negeri berkenaan," katanya.

Beliau berucap pada majlis penyerahan laporan kajian kebolehlaksanaan sistem penyambungan kuasa antara Sarawak dan Brunei di sini hari ini.

Pada sidang akhbar selepas itu, Awang Tengah memberitahu, Sarawak turut merancang untuk membina lima empangan hidroelektrik selepas Bakun dan Murun membabitkan kawasan di Limbang, Lawas, Pelagus, Baleh dan Baram.

Pembinaan kelima-lima empangan itu ujarnya, akan turut membantu kepada peningkatan pengeluaran elektrik Sarawak kepada 6,000 megawatt.

''Namun, lima empangan ini masih pada peringkat kajian teknikal dan kita akan laksanakan pembinaan empangan itu secara berperingkat-peringkat.

''Empangan hidroelektrik Bakun merupakan empangan pertama yang akan beroperasi pada penghujung tahun ini diikuti dengan Murun yang dijangka siap pada 2013," katanya.

Sementara itu, Awang Tengah berkata, tenaga elektrik yang dihasilkan menerusi empangan hidroelektrik Bakun akan digunakan untuk keperluan industri tempatan terutamanya di kawasan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE) sebelum dieksport ke Semenanjung.

utusan malaysia 18.02.10
Posted by tajau singa raja
MIRI 25 Jan. - Lebih ramai lepasan sekolah di kalangan kaum Penan akan diserap dalam sektor awam di negeri ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Lihan Jok.
Beliau berkata, langkah itu dibuat bagi membolehkan kaum yang sering dikaitkan dengan keciciran itu menikmati pembangunan seperti mana kaum-kaum lain di Sarawak.
Menurutnya, pembangunan kaum Penan merupakan tumpuan utama kerajaan pada masa ini supaya mereka tidak ketinggalan daripada menikmati arus pembangunan negara.
''Kerajaan tidak mahu mereka 'berkeliaran' di kampung atau hutan, sebaliknya kita ingin mereka menggunakan segala potensi yang ada untuk memperolehi kehidupan yang lebih baik seperti kaum lain di negeri ini," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Masyarakat Telang Usan di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai pelantikan Josten Emang, 19, dan Jely Jangin, 22 dari Long Latik sebagai Pekerja Khidmat Singkat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Kedua-dua mereka yang merupakan lepasan Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Lama itu ditugaskan di Unit Khas Bergerak, JPN Daerah Kecil Baram berkuatkuasa 18 Januari hingga 17 Julai tahun ini.
Lihan memberitahu, pelantikan dua belia Penan itu merupakan satu permulaan yang baik ke arah melihat lebih ramai masyarakat Penan bekerja di sektor awam.
Ujarnya, setakat ini, terdapat kira-kira 26 graduan universiti daripada kaum Penan yang bekerja dalam pelbagai jabatan di sektor kerajaan dan jumlah itu masih terlalu kecil.
''Dengan pengambilan lepasan sekolah Tingkatan Lima, kita berharap ia dapat menggalakkan lebih ramai belia Penan bekerja dan menikmati peluang pembangunan yang disediakan," ujarnya.
Sehubungan itu katanya, Josten dan Jely perlu memanfaatkan peluang itu sepenuhnya untuk menimba pengalaman baru khususnya daripada segi pergaulan dan komunikasi.
Sementara itu, Jely Jangin ketika ditemui berkata, dia amat teruja dengan pelantikannya sebagai Pekerja Khidmat Singkat di JPN dan berjanji akan menjalankan tugas yang diberikan dengan penuh tanggungjawab.
''Sekurang-kurangnya saya dapat membantu JPN memudahkan pendaftaran dokumen terutama di kampung-kampung Penan yang mana majoriti mereka tidak fasih berbahasa Melayu dan saya dapat menyumbang sesuatu yang bermakna kepada mereka," katanya.
Sementara itu, Josten Emang pula berjanji akan menggunakan peluang yang diberikan itu untuk membuktikan kemampuan anak-anak Penan.

utusan malaysia 26/01/10
Posted by tajau singa raja
KUCHING 25 Jan. - Sarawak berada di landasan terbaik untuk mencapai status negeri maju menjelang 2020 dengan menyasarkan pendapatan per kapita rakyat di negeri ini melebihi RM50,000 (AS$15,000) setahun menjelang tempoh tersebut.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, ini kerana usaha kerajaan serta peranan yang dimainkan oleh industri-industri di Sarawak ketika ini memberi peluang kepada rakyat untuk mengubah taraf ekonomi mereka.

Katanya, peluang yang ada membolehkan rakyat meningkatkan taraf hidup serta mengubah status ekonomi daripada sederhana kepada berpendapatan tinggi.
Bagaimanapun jelas beliau, rakyat sendiri juga perlu merebut peluang dengan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran diri sesuai dengan apa yang ditawarkan oleh kerajaan serta industri di negeri ini terutamanya di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score).

"Untuk itu, rakyat perlu ada perubahan besar berbanding apa yang telah dilakukan sebelum ini supaya mereka akan mempunyai kedudukan lebih baik dan pada masa yang sama meningkatkan standard hidup masing-masing.

"Malah, usaha kerajaan serta peranan pemain industri yang baik pada hari ini mampu mengubah pendapatan per kapita rakyat kira-kira RM25,000 setahun kepada RM50,000 setahun iaitu nilai pendapatan per kapita bagi negara-negara maju," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Kilang Pertama Biodiesel di Sarawak Milik serta Operasi oleh Senari Biofuels Sdn. Bhd. di Kompleks Perindustrian Assar Senari di Demak Laut, Jalan Bako di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Taib berkata, kerajaan negeri dapat melaksanakan pembangunan di Sarawak dengan baik memandangkan kerajaan sentiasa mendahulukan rakyat.
Kata beliau, hasil daripada pembangunan yang tersusun dan terancang itu, negeri ini tidak berdepan dengan masalah pengangguran seperti 20 atau 30 tahun dahulu.
Sebaliknya Sarawak kini mengalami masalah kekurangan tenaga kerja di kalangan mereka yang mahir serta profesional.
Sehubungan itu tambahnya, kerajaan memberi penekanan mengenai pembangunan modal insan atau tenaga kerja mahir di kalangan generasi muda tempatan bagi memenuhi peluang-peluang kerja yang ditawarkan di negeri ini.
"Justeru, pemimpin rakyat serta ibu bapa perlu menekankan minat ke dalam anak-anak muda sekarang untuk menuntut ilmu dan memperoleh kemahiran seperti pengetahuan aplikasi teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT) bagi menampung keperluan tenaga kerja pada masa depan.
"Kita mahu rakyat menikmati pendapatan tinggi bagaimanapun mereka perlu meningkatkan produktiviti serta kualiti masing-masing, maka tidak mustahil peluang itu sentiasa terbuka kerana pekerjaan pada hari ini tidak sama caranya dengan tahun-tahun dahulu," ujarnya.
utusan malaysia 26/01/10
Posted by tajau singa raja
Friday, January 22, 2010 at 3:44 PM | 0 comments  
Kelas prasekolah akan diwujudkan di rumah panjang: TPM

BINTULU: Kemudahan prasekolah akan diwujudkan di rumah panjang di Sarawak bagi memastikan kanak-kanak di kawasan pedalaman tidak tercicir daripada sistem pendidikan kebangsaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Kerajaan Pusat memahami kepayahan dialami penduduk di rumah panjang di negeri itu yang tinggal bertaburan dan ada di lokasi terpencil dari kawasan bandar yang menyebabkan ibu bapa sukar menghantar anak ke kelas prasekolah. "Jikalau ada anak tempatan berminat menjadi guru prasekolah di rumah panjang berkenaan kita sedia memberi latihan untuk membolehkan mereka mengajar," katanya di majlis perjumpaan bersama rakyat di Dewan Masyarakat di Sebauh, kira-kira 50 kilometer dari sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, Kerajaan Pusat akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk mengkaji kesesuaian penempatan kelas prasekolah sama ada dibina bangunan khusus atau diwujudkan dalam rumah panjang itu sendiri.
Timbalan Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan dua hari ke Sarawak yang berakhir hari ini turut menyuarakan keinginan untuk melawat rumah panjang di negeri ini bagi melihat sendiri kehidupan penduduk dan mendengar permasalahan mereka. - Bernama
berita harian 22/jan/2010
Posted by tajau singa raja
MB tidak layak teraju PKR Selangor

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah tidak layak untuk memegang jawatan itu apabila PKR bahagian Kuala Selangor dibubarkan semalam setelah 13 ahli jawatankuasanya meletak jawatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah berkata, ini membuktikan kesemua mereka yang meletak jawatan termasuk Ketua Angkatan Muda (AMK), Nazaruddin Darmawan dan Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor itu.
"Belum pernah berlaku dalam mana-mana cabang PKR di Selangor, seorang ketua ditentang dan ditolak oleh barisan AJK sendiri dan nampaknya Abdul Khalid menjadi mangsa pertama," kata Badrul Hisham dalam blognya
Pengumuman pembubaran PKR bahagian Kuala Selangor itu dibuat oleh Timbalan Ketua bahagian berkenaan, Arshad Abu Bakar, semalam.
Arshad berkata, pembubaran itu dibuat kerana AJK bahagian yang dipilih pada Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian 2007 (untuk sesi 2007-2010) kini hanya tinggal tiga orang.
Dengan peletakan jawatan barisan AJK itu bermakna Abdul Khalid hilang jawatan Ketua Bahagian sehingga pemilihan baru nanti, yang dijangka pada Mac ini.
Sementara itu menurut Badrul Hisham, keseluruhan pimpinan PKR di semua peringkat di negeri Selangor harus jujur untuk memikirkan sama ada Abdul Khalid masih layak menjadi ketua mereka atau tidak.
"Abdul Khalid pernah kata saya tidak layak menjadi wakil rakyat, padahal sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu, majoriti undi untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang yang saya menangi adalah jauh lebih baik berbanding beliau yang bertanding di DUN Ijok.
"Saya berupaya meraih majoriti 4,407 tetapi Abdul Khalid hanya mampu mendapat lebihan undi 1,920 sahaja," katanya.

utusan malaysia 22/01/2010
Posted by tajau singa raja
Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates