Oleh Azman Zakaria, laporan dari Beijing
PM ambil kira perubahan terkini pimpinan MCA
DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, rombakan Kabinet mungkin akan dilakukan dalam masa terdekat berikutan perubahan kepada pucuk kepemimpinan dalam MCA selepas pemilihan parti itu minggu lalu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, Presiden MCA yang baru, Datuk Ong Tee Keat, perlu berjumpa dengannya untuk memaklumkan sebarang cadangan perubahan wakil parti itu dalam Kabinet yang mahu dilakukan.
"(Rombakan Kabinet) mungkin berlaku tapi Ong sebagai Presiden MCA kena jumpa saya dulu. Jika dia mahu buat perubahan dia kena maklumkan kepada saya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pejabat Perwakilan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) di sini semalam.
Perdana Menteri berada di sini untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Asia-Eropah (Asem) Ketujuh, yang diadakan selama dua hari bermula hari ini.
Pada pemilihan pucuk pimpinan MCA, 18 Oktober lalu, Ong yang juga Menteri Pengangkutan dipilih sebagai Presiden menewaskan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng dalam pertandingan satu lawan satu.
Presiden MCA sebelumnya, Datuk Seri Ong Ka Ting tidak mempertahankan jawatan. Bagaimanapun keputusan yang mengejutkan beberapa pihak ialah kemenangan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek untuk jawatan Timbalan Presiden yang memperoleh 1,115 undi mengalahkan Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan (1,001 undi).
Empat kerusi Naib Presiden menyaksikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Kong Cho Ha mendahului senarai dengan 1,798 undi; diikuti Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai (1,725); Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Ng Yen Yen (1,659) dan Timbalan Pengerusi Perhubungan MCA Johor, Tan Kok Hong (1,329).
Ketika ditanya sama ada Ong sudah menetapkan tarikh bertemunya, Abdullah berkata, sehingga kini belum lagi.
"Saya ke sini (untuk menghadiri Mesyuarat Asem)... dia pun sibuk, saya pasti apabila pulang nanti (dia akan bertemu saya)," katanya.
Ditanya mengenai kemenangan Dr Chua dan sama ada wujud kemungkinan beliau akan dilantik menganggotai Kabinet jika berlaku rombakan, beliau berkata: "Pada waktu ini, saya tak dapat beri apa-apa pandangan kerana perlu mendengar pendapat Ong mengenai perkara itu."
Ketika ditanya sama ada Perhimpunan Agung Umno yang dijadualkan Mac tahun depan akan dibawa kepada Disember ini, Abdullah yang juga Presiden Umno berkata: "Apa yang sudah diputuskan mengenai peralihan kuasa tetap pada Mac tahun depan seperti dipersetujui."
1 comments:
Diharapkan rombakkan kabinet kali ini dapat memuaskan hati smeua pihak.
Post a Comment