SRI AMAN 17 Dis. - Persatuan Wanita Dayak Sarawak (SIDS) cawangan Sri Aman telah mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Tarian Ngajat dalam usaha memelihara dan memastikan kesinambungan budaya kaum Iban di kalangan generasi muda dapat diteruskan.
Pengerusi SIDS, Roselyn Abunawas berkata, salah satu objektif kursus itu diadakan adalah untuk menanamkan semangat cintakan budaya dan adat resam warisan di kalangan generasi muda.
Menurutnya, dengan adanya kursus seumpama itu, pihaknya secara tidak langsung dapat mempertahankan tarian ngajat di kalangan generasi muda pada masa ini agar ia dapat diperkembangkan.
''Kita mahu warisan tarian ngajat ini kelak dapat diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya pada masa akan datang," katanya di sini hari ini.
Seramai 21 orang peserta wanita telah menamatkan Kursus Tarian Ngajat yang diadakan bertempat di Rumah Dayak, Sri Aman baru-baru ini.
Selain Kursus Tarian Ngajat, SIDS turut menganjurkan Kursus Betaboh yang melibatkan 10 peserta.
Dalam pada itu, Roselyn menasihatkan generasi muda supaya tidak terlalu taksub dengan budaya kaum dari negara lain sehingga bertungkus lumus mempelajarinya malah diterapkan dalam aktiviti harian masing-masing.
Katanya, sifat terlalu taksub terhadap budaya kaum dari negara lain boleh menyebabkan mereka lupa mengenai warisan ibunda dan ia mampu menyebabkan budaya sendiri lenyap.
''Tarian poco-poco adalah tarian budaya kaum dari luar negara dan mempelajarinya tidak salah asalkan tidak melupakan tarian budaya kaum kita sendiri,'' katanya.
utusan malaysia 18 dis 2008
Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates