KUALA TERENGGANU: Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd Nor, malam tadi menunaikan janjinya mendedahkan surat yang dakwanya ditulis Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 8 September 1998.

Kandungan surat keseluruhan itu dibaca Ezam pada majlis ceramah di Markas Barisan Nasional (BN) di Kubang Parit, Wakaf Mempelam, kira-kira jam 11.30 malam.

Ezam mendakwa surat perdamaian itu diberikan Anwar yang ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri kepadanya seminggu selepas dipecat untuk disampaikan kepada Dr Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri.

"Saya janji untuk baca semua isi kandungan surat ini supaya orang ramai khususnya pengundi Kuala Terengganu menilai siapa Anwar sebenarnya.

"Surat ini nyata menunjukkan sikap hipokrit Anwar kerana pada sebelah malamnya dia kutuk sepuas-puasnya Dr Mahathir dan sebelah siang tulis surat puji Dr Mahathir," katanya.

Ketika membacakannya, Ezam berkata, Anwar menulis bahawa beliau dan isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail serta anak-anaknya dalam keadaan cemas dan isu pemecatannya sungguh mengaibkan.

"Namun dalam apa juga yang berlaku, saya (Anwar) tetap tidak melupai jasa dan kasih sayang yang Datuk Seri (Mahathir) berikan kepada saya dan Azizah," kata Ezam sambil menunjukkan salinan surat berkenaan.

Ezam turut menyebut, dalam surat itu Anwar meminta Dr Mahathir supaya tidak mengheret anak angkatnya, Sukma Dermawan ke penjara.

Beliau berkata, surat itu diserahkannya kepada seorang pegawai Dr Mahathir di Jabatan Perdana Menteri tetapi tidak pasti ia diterima oleh bekas Perdana Menteri itu.

Ezam mendakwa surat perdamaian Anwar itu diberikan kepada Dr Mahathir dengan harapan pemecatannya dapat ditimbangkan semula sebelum Dr Mahathir mengadakan pertemuan khas dengan semua pemimpin Umno seluruh negara pada petang 8 September 1998.

Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates