Friday, January 30, 2009
at
2:50 PM
|
KAMPAR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Nasaruddin Hashim meninggalkan Umno menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai tindakan mengetepikan semangat perjuangan parti serta tidak sanggup menghadapi cabaran. Perdana Menteri yang juga Presiden Umno berkata, beliau sendiri pernah menghadapi masalah lebih buruk dengan tidak mempunyai sebarang jawatan, tetapi tidak meninggalkan parti. "Ketika itu, tidak ada istilah merajuk pada saya sehingga mahu meninggalkan parti... saya mempertahankan prinsip perjuangan hingga saya ke peringkat ini (menjadi Perdana Menteri).
"Kalau saya merajuk meninggalkan parti atau meletak jawatan saya mungkin tidak sampai ke peringkat ini. "Yang penting meneruskan perjuangan dan mahu berjaya walaupun ia bukan perkara mudah kerana perlu menghadapi pelbagai masalah," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelan Tindakan Desa di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Kuning, dekat sini semalam. Ditanya desas-desus ada wakil rakyat PKR dari Perak mahu menyertai Barisan Nasional (BN), Abdullah berkata: "Kalau nak lompat, lompat lah... ada yang lompat masuk BN dan ada nak lompat masuk PKR."
Sementara itu, Adun Pengkalan Baharu, Datuk Hamdi Abu Bakar menjelaskan, cadangannya supaya Datuk Seri Najib Razak menggantikan Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali bukan kerana kepemimpinannya yang tidak tegas membuat keputusan atau lebih banyak berjanji ketika diajukan isu politik tempatan sehingga mendorong Nasaruddin meninggalkan Umno. Hamdi berkata, selain menyarankan Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri menggantikan Tajol Rosli, seperti di Terengganu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkenaan juga perlu diisi seorang Adun yang sesuai.
berita harian 30 Jan 2009
Posted by
tajau singa raja
0 comments:
Post a Comment