Saturday, January 3, 2009 at 11:46 AM |  

PUTRAJAYA 2 Jan. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertahankan ciri-ciri keselamatan pasport antarabangsa negara ini adalah tinggi dan tidak mudah dipalsukan oleh sindiket meskipun proses pengeluarannya hanya memakan masa dua jam.

Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, kepantasan sistem penyampaian pengeluaran pasport yang diperkenalkan sejak 2007 tidak boleh dijadikan justifikasi bahawa dokumen perjalanan negara ini begitu mudah dipalsukan.

Sebaliknya, tegas beliau, isu pemalsuan pasport adalah masalah sejagat yang turut dihadapi oleh negara-negara yang mempunyai sistem keselamatan terbaik termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain, Kanada dan China.

''Jadi saya harap kerajaan negara-negara asing tidak berasa cemas dan mula bertindak memeriksa serta menyemak semua pemegang pasport Malaysia kerana ada laporan bahawa ia mempunyai masalah ciri keselamatan.

''Ini bukan satu maklumat yang perlu disensasikan sehingga orang ramai hilang keyakinan, saya fikir kita tidak perlu membina reputasi sebegitu terhadap negara kerana ia (pemalsuan pasport) adalah tidak berasas," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau yang masih bercuti memanggil sidang akhbar berkenaan bagi mengulas laporan Utusan Malaysia semalam menyebut pasport Malaysia yang kini boleh diperoleh dalam masa tidak sampai dua jam mempunyai risiko keselamatan kerana ia dikatakan mudah terdedah kepada kegiatan pemalsuan oleh sindiket antarabangsa.

Laporan memetik Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sebagai berkata, kegiatan pemalsuan pasport Malaysia yang didalangi sindiket antarabangsa semakin serius berikutan permintaan tinggi oleh rakyat asing terhadap pasport negara ini.

Menurut Rais, maklumat yang diperoleh Wisma Putra baru-baru ini menunjukkan warganegara Nigeria, India, Bangladesh, Indonesia dan China paling banyak menggunakan pasport tiruan.

Syed Hamid berkata, jumlah pemalsuan pasport Malaysia adalah terlalu sedikit apabila hanya 89 pemegang pasport palsu ditangkap tahun lalu berbanding sebanyak 1.2 juta pasport yang dikeluarkan manakala jumlah keseluruhan dokumen perjalanan itu yang dikeluarkan sehingga kini adalah melebihi 10 juta.

Selain itu, kata beliau, hanya 64 rakyat asing ditangkap kerana memasuki negara ini menggunakan pasport asing palsu.

''Jadi kalau dapat kesan orang yang cuba palsukan pasport, ini menunjukkan ciri keselamatan kita adalah baik kerana itu kita akan tahu yang mana bukan pasport negara ini.

''Kita pakai cip biometrik, ini susah nak palsukan dan tiada sebarang pemalsuan cip tersebut sejak ia dilaksanakan lebih 10 tahun lalu," katanya.

Bagaimanapun tegas beliau, kerajaan akan terus mengadakan penambahbaikan bagi mencegah pemalsuan pasport negara ini antaranya dengan melaksanakan pengeluaran pasport elektronik mengikut piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

utusan malaysia 03 jan 2009

Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates