KUALA LUMPUR 2 Sept. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali didakwa mempunyai 'kunci' ke atas segala rahsia utama ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah mendakwa, 'kunci' itulah yang menjadi senjata utama kepada Azmin untuk mendapatkan apa sahaja yang diingininya tanpa dapat dihalang oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Aminah bagaimanapun enggan mendedahkan apa yang dimaksudkan dengan rahsia utama itu kerana yakin ia merupakan sesuatu yang sedia diketahui oleh pihak-pihak berkenaan.
Kini katanya, menjadi kewajipan kepada mereka itu untuk menjelaskannya kepada rakyat.
"Bagi saya memang tidak menghairankan mengapa Anwar dan Wan Azizah tidak dapat memberi penjelasan apabila ditanya mengapa Azmin diberi layanan istimewa dan apa yang Azmin mahu dia akan dapat.
"Ini berlaku kerana Azmin pegang semua rahsia Anwar. Rahsia ini yang memberi kuasa besar pada Azmin ke atas Anwar dan Wan Azizah. Saya yakin satu hari nanti rahsia ini akan terbongkar jua," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Aminah mengulas gesaan bekas rakan baik Penasihat PKR tersebut, Datuk S. Nallakarupan yang mencabar Anwar memberikan penjelasan berhubung kedudukan terlalu istimewa yang dinikmati oleh Azmin selama ini.
Azmin selaku Naib Presiden PKR baru-baru ini dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan lantikan itu membuktikan kedudukan istimewa Azmin kepada Anwar.
Bagaimanapun sehingga kini cabaran oleh Nallakarupan itu langsung tidak dijawab oleh pasangan suami isteri tersebut.
Selain Nallakarupan, bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak turut meminta pasangan itu menjelaskan perkara sama tetapi langsung tidak diendahkan oleh mereka berdua.
Tegas Saidatul Badru, Wan Azizah amat perlu membersihkan dirinya daripada terus digelar sebagai 'presiden boneka'.
Sementara itu, Aminah berkata, beliau amat berharap agar Anwar, Wan Azizah dan Azmin menghayati matlamat dan hala tuju parti yang diasaskan oleh pejuang reformasi tulen sebelum ini tetapi secara tidak amanah telah dipesongkan oleh mereka.
Jelas beliau, itu antara sebab utama mengapa ramai ahli termasuk di kalangan pimpinan PKR bertindak keluar parti.
Katanya, ini kerana mereka ini yang mempunyai maruah dan prinsip perjuangan, tidak lagi sanggup diperkotak-katikkan oleh kepimpinan mempunyai agenda peribadi.
sumber utusan malaysia
Posted by tajau singa raja
Wednesday, April 28, 2010 at 1:19 PM | 0 comments  
JOHOR BAHRU 27 April - "Kalau dah kalah, terima sajalah, jangan buat andaian-andaian begitu."
Demikian reaksi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan kononnya Barisan Nasional (BN) membeli undi untuk mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor kelmarin.
Beliau turut menyifatkan tuduhan itu sebagai tindakan untuk memburukkan nama baik BN.
"Pokoknya kita (BN) dah menang. Bagi saya pilihan raya kecil itu telah berjalan dengan baik dan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) telah menjalankan kerja mereka dengan baik.
"Kita dah terima keputusan dan BN dah menang. Pihak yang terlibat sepatutnya terima hakikat dan kenyataan itu, tak sewajarnya bangkitkan sebab-musabab kerana mereka tak puas hati dengan apa yang telah berlaku," tegasnya.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.
Mengenai kecenderungan pengundi Cina yang terus menyokong pembangkang, Muhyiddin berkata, BN akan mengkaji keputusan pilihan raya kecil tersebut secara menyeluruh.
"Dalam mana-mana pilihan raya kecil seperti ini, selepas selesai kita akan teliti kecenderungan pengundi ikut kaum dan sebagainya. Apakah perkara yang mempengaruhi pengundi untuk menyokong atau sebaliknya, itu kita akan kaji," katanya.
Ditanya dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa UMNO mempergunakan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) untuk memperjuangkan hak-hak kaum Melayu, Muhyiddin dengan tegas menafikan tuduhan itu.
"Perkasa adalah satu badan bukan kerajaan. Kita tidak merancang apa- apa dan ini adalah inisiatif yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin Melayu tertentu.
"Kalau mereka berbuat sesuatu untuk menjaga kepentingan Melayu, itu adalah hak badan bukan kerajaan itu," katanya.
Menurutnya, Kit Siang sendiri dalam ucapannya termasuk yang disiarkan di dalam blog turut membuat seruan-seruan kepada kaum tertentu bersatu atas tujuan menolak hak kaum lain.
"Saya fikir, nak kata dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih," ujarnya.
Beliau berkata, BN akan meneliti secara terperinci di setiap peti undi dan menilai apakah langkah dan strategi yang boleh diambil untuk memperkukuhkan parti dan BN bagi menghadapi cabaran pada masa depan.
Pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor Ahad lalu, calon BN, P. Kamalanathan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim dengan majoriti 1,725
utusan malaysia 28.04.2010
Posted by tajau singa raja
KUCHING 27 April - Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini mengumumkan peguam, Robert Lau Hui Yew sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu 16 Mei ini, setelah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Abdul Taib yang juga Ketua Menteri berkata, pencalonan Hui Yew oleh Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) menunjukkan persediaan yang baik parti itu untuk mengetengahkan pemimpin muda pada masa depan.
''Beliau (Hui Yew) merupakan seorang yang aktif di Sibu dan kebanyakan orang di sana mengenalinya, bagus bermain skuasy dan mempunyai personaliti yang baik serta mudah didekati.
''Beliau boleh bekerja dengan semua parti komponen BN Sarawak dan kali ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada SUPP kerana mempunyai pemimpin baik yang mampu berkhidmat kepada rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hui Yew, 45, bapa kepada empat orang anak merupakan Penolong Bendahari SUPP Sibu dan saudara dua pupu kepada bekas Ahli Parlimen Sibu iaitu mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew.
Peguam lulusan University of Hull, Britain itu merupakan anak kepada hartawan serta dermawan terkemuka di negeri ini iaitu Lau Swee Nguong.
Dalam pada itu, Abdul Taib berkata, beliau melihat peluang BN untuk menang pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu kali ini adalah cerah.
''Sebagaimana kesan yang berlaku di Hulu Selangor, ia menunjukkan rakyat ketika ini semakin mempercayai kepimpinan Perdana Menteri untuk membawa transformasi yang lebih baik kepada rakyat negara ini.
''Saya percaya, rakyat Sibu juga akan yakin dengan keikhlasan yang cuba dibawa Najib untuk membawa Malaysia ke arah masyarakat yang lebih moden dan makmur," jelas beliau.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRK Parlimen Sibu pada 16 Mei ini manakala tarikh penamaan calon pada 8 Mei.
utusan malaysia 28.04.2010
Posted by tajau singa raja
Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates