SRI AMAN 30 Jan. - Tindakan Parti Tindakan Demokratik (DAP) membuka cawangan parti itu di bandar ini tidak perlu dibimbangkan.
Pengerusi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis
berkata, negara ini mengamalkan prinsip demokrasi dan itu adalah hak DAP sekiranya mahu membuka sebuah cawangan parti terbabit di kawasan Sri Aman.
Beliau yang juga Menteri Muda Kemajuan Tanah Sarawak berkata, jika itu hasrat parti berkenaan, maka tiada mana-mana pihak pun yang boleh bertindak untuk menghalang penubuhan cawangan DAP di kawasan ini.
"Saya tidak khuatir sekiranya DAP akan membuka cawangan partinya di sini (Sri Aman) dalam masa yang terdekat," katanya selepas melakukan kunjungan Perayaan Tahun Baru Cina 2009 di lima buah rumah masyarakat Cina di bandar Sri Aman kelmarin.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha DAP Sarawak, Chong Chien Jen pada 24 Januari lalu yang mengumumkan bahawa parti pembangkang itu akan membuka cawangan partinya di sini dalam tempoh terdekat ini.
Dalam pada itu, Harden melahirkan keyakinan bahawa rakyat di sekitar daerah Sri Aman akan terus menyokong teguh SUPP memandangkan ia merupakan parti kedua terbesar di negeri ini dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak.
Katanya, BN Sarawak menerusi gabungan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) berjaya melaksanakan banyak pembaharuan
Malah katanya, bandar Sri Aman kini sudah berubah wajah hasil pencapaian pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
''Tiada sebab bagi rakyat untuk menyuarakan sokongan mereka terhadap pembangkang sekiranya mereka membuka cawangan DAP di sini (Sri Aman).
''Saya juga menasihatkan rakyat di daerah ini menolak segala hasutan pihak pembangkang yang memburuk-burukkan kerajaan semata-mata ada tujuan politik demi kepentingan diri sendiri,'' katanya.
Pada 24 Januari lalu, Chien Jen yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching telah mengadakan lawatan ke sekitar kawasan bandar Sri Aman sebelum beliau mengumumkan rancangan untuk menubuhkan cawangan parti DAP di bandar ini.
utusan malaysia 31 jan 2009
Posted by tajau singa raja
SRI AMAN 30 Jan. - Rakyat pelbagai kaum di negeri ini harus mengetepikan sikap diskriminasi kaum antara satu sama lain dalam menjaga kestabilan politik di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr. Johnnical Rayong Ngipa berkata, sikap diskriminasi kaum hanya akan menjejaskan tahap perpaduan yang menjadi pemangkin utama kepada penggerak kestabilan politik di negeri ini.
Beliau berkata, kestabilan politik akan membolehkan pelbagai pelan pembangunan termasuk pembinaan kemudahan infrastruktur, jalan raya, perkhidmatan, pembekalan air dan elektrik di samping projek ekonomi dapat dilaksanakan.
''Bagaimanapun kestabilan politik hanya dapat diwujudkan sekiranya kesemua masyarakat berbilang kaum tidak mengira Melayu, Cina dan Dayak mengetepikan sikap diskriminasi kaum dalam diri masing-masing," katanya.
Beliau berucap pada Majlis Makan Malam Perayaan Tahun Baru Cina 2009 anjuran Persatuan Hakka Engkilili di Dewan Serbaguna Engkilili dekat sini malam tadi.
Pada masa yang sama, Rayong menyeru masyarakat berbilang kaum di daerah ini untuk terus berusaha dan bekerjasama bagi mengukuhkan tahap perpaduan yang sedia ada.
Bagi tujuan itu katanya, masyarakat perlu mempunyai inisiatif sendiri dengan menganjurkan pelbagai aktiviti kebudayaan dan perayaan secara bersama agar kesemua kaum boleh bersatu padu.
Tambahnya, penganjuran aktiviti kebudayaan dan perayaan seperti Sambutan Maal Hijrah, Hari Raya, Krismas dan Tahun Baru Cina secara kerjasama oleh semua kaum di negeri ini mampu mengeratkan lagi perpaduan.
utusan malaysia 31jan09
Posted by tajau singa raja
KAMPAR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Nasaruddin Hashim meninggalkan Umno menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai tindakan mengetepikan semangat perjuangan parti serta tidak sanggup menghadapi cabaran. Perdana Menteri yang juga Presiden Umno berkata, beliau sendiri pernah menghadapi masalah lebih buruk dengan tidak mempunyai sebarang jawatan, tetapi tidak meninggalkan parti. "Ketika itu, tidak ada istilah merajuk pada saya sehingga mahu meninggalkan parti... saya mempertahankan prinsip perjuangan hingga saya ke peringkat ini (menjadi Perdana Menteri).
"Kalau saya merajuk meninggalkan parti atau meletak jawatan saya mungkin tidak sampai ke peringkat ini. "Yang penting meneruskan perjuangan dan mahu berjaya walaupun ia bukan perkara mudah kerana perlu menghadapi pelbagai masalah," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelan Tindakan Desa di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Kuning, dekat sini semalam. Ditanya desas-desus ada wakil rakyat PKR dari Perak mahu menyertai Barisan Nasional (BN), Abdullah berkata: "Kalau nak lompat, lompat lah... ada yang lompat masuk BN dan ada nak lompat masuk PKR."
Sementara itu, Adun Pengkalan Baharu, Datuk Hamdi Abu Bakar menjelaskan, cadangannya supaya Datuk Seri Najib Razak menggantikan Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali bukan kerana kepemimpinannya yang tidak tegas membuat keputusan atau lebih banyak berjanji ketika diajukan isu politik tempatan sehingga mendorong Nasaruddin meninggalkan Umno. Hamdi berkata, selain menyarankan Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri menggantikan Tajol Rosli, seperti di Terengganu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkenaan juga perlu diisi seorang Adun yang sesuai.
berita harian 30 Jan 2009
Posted by tajau singa raja
SRI AMAN 29 Jan. - Golongan cerdik pandai di negeri ini perlu berhenti menghasut para penduduk supaya membenci kerajaan yang kini diterajui oleh parti Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata, mereka seharusnya turun padang untuk membantu kerajaan dan bukannya membenci kerajaan.
Katanya, bantuan golongan tersebut amat diperlukan bagi menaik taraf kehidupan penduduk dan bukannya menyebabkan mereka kian ketinggalan dalam arus pembangunan di kawasan luar bandar.
"Kepandaian yang diperoleh itu tidak wajar disalahgunakan untuk menghasut penduduk di kawasan rumah panjang agar membenci kerajaan yang diteraju oleh BN pada masa sekarang.
"Ini adalah satu kesilapan besar buat mereka kerana tindakan seumpama ini hanya akan menyebabkan penduduk ketinggalan dari segi arus pembangunan berbanding lain-lain penduduk yang menyokong teguh BN selama ini," katanya.
Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Engkilili dekat sini semalam.
"Ada setengah pihak menghasut pemikiran penduduk apabila mereka balik ke kampung halaman masing-masing,'' jelasnya.
Bagaimanapun katanya, mereka ini hanyalah sekumpulan kecil yang tidak perlu dibimbangkan.
Sehubungan itu beliau meminta golongan cerdik pandai tersebut tidak melakukan perbuatan sedemikian kerana penduduk di kawasan rumah panjang masih memerlukan arus pembangunan daripada BN.
Pada masa yang sama, beliau mengingatkan penduduk supaya terus memberi sokongan padu kepada BN jika ingin melihat setiap program pembangunan dilaksanakan dengan lancar dan berkesan di kawasan masing-masing.
''Kita mahu memberi fokus kepada peningkatan ekonomi penduduk tempatan dan kerajaan berusaha merancang pembangunan di satu-satu kawasan terutama sekali di kawasan luar bandar," ujarnya.
utusan malaysia 30 jan 2009
Posted by tajau singa raja
Thursday, January 29, 2009 at 8:27 AM | 0 comments  

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Barisan Nasional (BN) harus menampilkan calon popular atau disukai ramai jika ingin mengekalkan kemenangan parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, calon tersebut juga harus ditentukan oleh rakyat atau akar umbi untuk kemenangan parti itu.

Katanya, cadangan itu sememangnya sukar diterima oleh ketua-ketua bahagian kerana mereka tidak berpeluang menunjukkan kuasa untuk memilih bakal calon bagi kawasan masing-masing.

"Amalan melantik bakal calon selalu dibuat oleh pucuk pemimpin tetapi rakyat tidak puas hati kerana tidak sesuai dengan kehendak mereka.

"Inilah salah satu punca utama kekalahan UMNO dan komponen parti BN pada pilihan raya umum lalu," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Datuk Razali Ibrahim supaya BN mengenal pasti dan menyenaraikan calon parti itu lebih awal untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang bagi memudahkan pengundi mengenali mereka.

Tambah Ahmad Atory, pada pilihan raya umum lalu, MIC telah membuat kejutan dengan menampilkan 15 muka baru atau 54 peratus daripada 28 calon parti itu untuk bertanding merebut kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Tetapi kesemua muka baru itu kalah teruk dan hanya beberapa orang yang popular seperti Datuk Dr. S. Subramaniam dan Datuk M. Saravanan mempertahankan kerusi masing-masing," jelasnya.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling berkata, BN tidak seharusnya mengenal pasti dan menyenaraikan calon-calon parti itu lebih awal kerana apa-apa saja boleh berlaku dalam tempoh yang agak lama itu.

Maka, kata beliau, adalah lebih baik untuk memahami trend perkembangan semasa di dalam negeri atau luar negeri dalam masa terdekat ini sebelum mengambil langkah sedemikian.

"Parti komponen BN juga harus membuat analisis tentang perkembangan politik sebelum mengenal pasti bakal calon untuk bertanding pada pilihan raya umum nanti," jelas beliau.

utusan malaysia 29 jan 2009

Posted by tajau singa raja

KUCHING 28 Jan. - Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam membayangkan parti itu akan menampilkan beberapa muka baru sebagai calon pada pilihan raya negeri akan datang.

Dr. Chan berkata SUPP, parti komponen Barisan Nasional (BN) kedua terbesar di Sarawak, dijangka akan membuat perancangan yang lebih teliti selain mengenalpasti calon yang sesuai lebih awal untuk mengelak berlaku pemilihan calon di saat-saat akhir pilihan raya negeri hendak diadakan, selewat-lewatnya pada 2011.

"Sesama kita memang telah dikenalpasti beberapa calon yang sesuai, namun pada masa yang sama kita perlu mendapatkan pandangan daripada penyokong di peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi majlis rumah terbuka Setiausaha Agung SUPP Senator Datuk Sim Kheng Hui di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata masih terlalu awal untuk SUPP mendedahkan kepada umum siapa yang akan berundur sebagai calon dan siapa muka baru. Isnin lalu Dr Chan, 73, Timbalan Ketua Menteri dan juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Piasau, mengesahkan tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri akan datang setelah mempertahankan kerusi Piasau sejak 1983. - Bernama

utusan malaysia 29 jan 2009

Posted by tajau singa raja

PUTRAJAYA 28 Jan. - Semua pihak diingatkan supaya menghentikan perbuatan menjadikan kes-kes jenayah sebagai isu perkauman sebaliknya memberi peluang pihak berkuasa melengkapkan proses siasatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, kerajaan tidak pernah berkompromi dengan pelanggaran undang-undang termasuk salah laku pegawai polis.

"Kes jenayah tidak boleh dilihat dari sudut kaum, kalau nak tengok kes jenayah melibatkan kematian, kaum lain pun banyak tetapi apabila dikira emosi, ia boleh membangkitkan perasaan, ini berbahaya.

"Saya berasa cuak kalau semua pihak mula bermain dengan sentimen perkauman, ia akan bertukar kepada masalah lain... sebab itu dalam kes jenayah kita tak kira ia dilakukan oleh mana-mana kaum, biarlah ia disiasat mengikut prosedur jenayah," katanya.

utusan malaysia 29 jan 2009

Posted by tajau singa raja
Friday, January 16, 2009 at 11:20 AM | 1 comments  

Penduduk Ngemah sukar diyakinkan

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini giat merekrut ahli-ahli baru di kalangan penduduk luar bandar, didakwa gagal meyakinkan majoriti penduduk di Ngemah, Kanowit agar menyertai mereka.

Pengerusi PRS Ngemah Alexander Vincent yang berkata demikian, menambah sepanjang pengetahuan beliau, tidak ada ahli-ahli PRS menyertai PKR.

Beliau menafikan dakwaan yang mengatakan ahli-ahli PRS merupakan antara 3,000 orang mengikut jejak langkah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Gabriel Adit Demong menyertai PKR pada November lepas.

“Setakat ini tidak ada ahli PRS atau Barisan Nasional (BN) yang menyertai PKR, mereka masih setia kepada BN,” katanya semalam.

Beliau memberitahu, PKR telah mengagihkan borang-borang keahlian kepada penduduk di Ngemah, tetapi majoriti penduduk di situ tidak yakin parti pembangkang itu dapat membantu membangunkan kawasan terbabit.

Alexander berkata: “Penduduk di sini sedar bahawa pembangunan dan dana hanya dapat disalurkan BN. Mereka tahu dana hanya diperolehi daripada Aaron Dagang (Ahli Parlimen Kanowit). Saya rasa mereka telah sedar kesilapan.”

Aaron yang juga Ahli Majlis Tertinggi PRS, telah mempengerusikan mesyuarat agung tahunan PRS Ngemah di Kanowit pada Sabtu lepas yang menyaksikan Alexander dipilih sebagai pengerusi PRS bahagian itu.

Ketika mesyuarat itu, Aaron telah dilantik sebagai penasihat PRS Ngemah dan Machan yang terletak dalam kawasan Parlimen Kanowit.

Mengenai Ngemah, Alexander berkata antara yang diperlukan penduduk di situ ialah jalan menghubungkan Nanga Poi, Nanga Ngungun, dan Ulu Jagau. Penduduk turut memerlukan bekalan elektrik di penempatan sepanjang jalan Nibong-Tada.

“Saya akan mengemukakan dua permintaan ini kepada kerajaan. Saya percaya jika kerajaan dapat memenuhi keperluan itu, penduduk di sana berasa amat gembira,” katanya.

utusan borneo

Posted by tajau singa raja

KUALA TERENGGANU: Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd Nor, malam tadi menunaikan janjinya mendedahkan surat yang dakwanya ditulis Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 8 September 1998.

Kandungan surat keseluruhan itu dibaca Ezam pada majlis ceramah di Markas Barisan Nasional (BN) di Kubang Parit, Wakaf Mempelam, kira-kira jam 11.30 malam.

Ezam mendakwa surat perdamaian itu diberikan Anwar yang ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri kepadanya seminggu selepas dipecat untuk disampaikan kepada Dr Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri.

"Saya janji untuk baca semua isi kandungan surat ini supaya orang ramai khususnya pengundi Kuala Terengganu menilai siapa Anwar sebenarnya.

"Surat ini nyata menunjukkan sikap hipokrit Anwar kerana pada sebelah malamnya dia kutuk sepuas-puasnya Dr Mahathir dan sebelah siang tulis surat puji Dr Mahathir," katanya.

Ketika membacakannya, Ezam berkata, Anwar menulis bahawa beliau dan isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail serta anak-anaknya dalam keadaan cemas dan isu pemecatannya sungguh mengaibkan.

"Namun dalam apa juga yang berlaku, saya (Anwar) tetap tidak melupai jasa dan kasih sayang yang Datuk Seri (Mahathir) berikan kepada saya dan Azizah," kata Ezam sambil menunjukkan salinan surat berkenaan.

Ezam turut menyebut, dalam surat itu Anwar meminta Dr Mahathir supaya tidak mengheret anak angkatnya, Sukma Dermawan ke penjara.

Beliau berkata, surat itu diserahkannya kepada seorang pegawai Dr Mahathir di Jabatan Perdana Menteri tetapi tidak pasti ia diterima oleh bekas Perdana Menteri itu.

Ezam mendakwa surat perdamaian Anwar itu diberikan kepada Dr Mahathir dengan harapan pemecatannya dapat ditimbangkan semula sebelum Dr Mahathir mengadakan pertemuan khas dengan semua pemimpin Umno seluruh negara pada petang 8 September 1998.

Posted by tajau singa raja
KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin Barisan Nasional (BN) menerusi calonnya, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh boleh menang asalkan jentera parti bekerja kuat.

Beliau berkata, sokongan pengundi terhadap BN semakin positif berbanding minggu lalu selepas BN yakin semua isu yang dibangkitkan pembangkang boleh diatasi.
Posted by tajau singa raja

SELAMA 11 hari, Kuala Terengganu menjadi tumpuan. Sepanjang tempoh itu hampir semua pemimpin politik bermula daripada Perdana Menteri hinggalah ketua cawangan parti datang ke bandar raya ini.

Kehadiran mereka hanyalah dengan satu tujuan iaitu bagi memastikan calon parti masing-masing mencatatkan kejayaan dalam pilihan raya kecil Parlimen kawasan itu.

Setelah bertungkus-lumus dan mengatur pelbagai strategi siang dan malam, esok pengundi-pengundi Kuala Terengganu yang menjadi sasaran untuk meraih sokongan akan membuat keputusan mereka.

Dalam pilihan raya kecil tersebut yang dikatakan pembuka diari arena politik negara, tiga calon hadir menawarkan diri, mereka ialah Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang mewakili Barisan Nasional (BN), Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam, Mohd. Abdul Wahid Endut dan seorang pengamal perubatan tradisional, Azharudin Mamat yang bertanding atas tiket Bebas.

Ketika kempen berlangsung BN berusaha menyakinkan rakyat kenapa perlu parti itu dibenarkan meneruskan agenda yang tidak sempat disempurnakan manakala Pas pula dengan disokong oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih gemar melakukan serangan bagi menyeru rakyat supaya menolak BN yang didakwa mengamalkan rasuah dan pembaziran.

Tidak cukup dengan itu, pembangkang juga 'mengimport' individu bukan politik terutamanya bloggers bagi membantu kempen mereka dan antara bloggers ini ada yang selama ini cukup menentang keras pelaksanaan hukum hudud dan penegakkan negara Islam.

Tetapi inilah politik, demi meraih kemenangan semua itu ditolak ke tepi, apa yang lebih penting matlamat untuk meruntuhkan 'kubu' BN tercapai.

Namun begitu, apa juga strategi dan siapa juga yang datang membantu kempen, mereka hanya sekadar boleh menyeru sahaja tetapi yang akan membuat keputusan ialah tangan-tangan yang akan memasukkan kertas undi ke dalam kotak undi.

Justeru selepas 11 hari, terserahlah kepada pengundi-pengundi Kuala Terengganu untuk membuat pertimbangan sewajarnya siapa yang mereka fikirkan paling layak untuk dipilih menguasai Parlimen Kuala Terengganu.

HIDUP BN !!!!!!!!!

Posted by tajau singa raja

SUPP tiada masalah terima masuk ADUN Bebas itu, bagaimanapun hanya BN dapat membuat keputusan

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tiada masalah untuk menerima masuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkelili Dr Johnical Rayong, bagaimanapun keputusan hanya dapat ditentukan oleh Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata hanya SUPP Cawangan Engkelili yang tidak mengalu-alukan kemasukan ADUN Bebas itu.

Rayong, yang bertanding atas tiket Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) pada Pilihan Raya Negeri 2006, mengalahkan calon SUPP, Jonathan Krai Pilo.

“Dia (Rayong) ada mengemukakan permohonan untuk menyertai kami (SUPP) pada tahun lepas, tetapi parti belum membuat apa-apa keputusan sama ada untuk menerima atau menolak.

“Sebagai sebuah parti komponen dalam BN, SUPP tidak dapat membuat keputusan berseorangan.

“Ia cuma dapat diputuskan oleh BN,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Timbul persepsi di kalangan orang ramai, terutama penduduk di kawasan berkenaan, bahawa Rayong merupakan ahli SUPP apabila beliau sering menyampaikan geran projek kecil luar bandar (MRP).

Engkelili merupakan satu daripada kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Lubok Antu.

Beberapa pemimpin BN dan pembangkang turut hairan berikutan Rayong diberi keistimewaan menyampaikan geran kerajaan.

Baru-baru ini Presiden Kelab Penyokong BN Negeri Abdul Karim Rahman Hamzah tidak bersetuju dengan pihak yang mempersoalkan isu terbabit.

Menurutnya, meskipun ADUN Bebas, Rayong sentiasa menyokong kepimpinan BN.

“Sejauh yang kami lihat, Dr Rayong memberi sepenuh sokongan terhadap polisi serta pentadbiran BN.

“Apa yang pasti, dana itu bukan untuk dirinya, tetapi untuk rakyat… jadi, ia tidak salahkan jika menyerahkan dana MRP untuk rakyat,” katanya.

utusan borneo

Posted by tajau singa raja

SRI AMAN 15 Jan. - Langkah Jabatan Saliran dan Perparitan (DID) Bahagian Sri Aman menggunakan mesin pengepam untuk mengeluarkan air yang melimpah dari Sungai Batang Lupar di sini berjaya mengurangkan kesan banjir di sekitar kawasan bandar ini.

Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji berkata, pada mulanya DID menggunakan mesin itu sebagai langkah percubaan sahaja bagi mengepam air apabila fenomena benak mencapai gelombang ombak tertinggi pada pukul 7.25 petang semalam.

Bagaimanapun menurutnya, keputusan DID mencuba sistem terbaru mereka dengan menguji mesin pengepam keluar air di sekitar tebingan Sungai Batang Lupar berjaya mengurangkan kesan banjir di daerah ini.

''Jika mengikut kalendar Lunar kaum Cina, pada 13 Januari diramal akan berlaku fenomena benak yang mencapai paras gelombang tertingginya berbanding hari biasa yang lain.

''Namun tindakan DID menggunakan mesin untuk mengepam keluar air yang melimpah telah memberi kesan positif apabila banjir tidak begitu buruk di bandar ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Shamshuddin berkata, langkah DID itu telah berjaya mengelak banjir daripada menenggelamkan beberapa kawasan utama di bandar ini terutamanya di sebuah pasar raya terbesar di sini.

Bagaimanapun, fenomena benak malam tadi telah menjejaskan kawasan Kampung Hilir, Kampung Hulu dan Kampung Tengah apabila air melimpah ke kawasan terbabit hingga mencapai paras ketinggian 0.5 meter.

Tambahnya, kawasan kampung terjejas dengan banjir mungkin disebabkan oleh sistem perparitan yang kurang baik di situ berbanding di kawasan bandar Sri Aman.

''Namun sekarang kita sudah tahu cara untuk mengatasi masalah banjir ini dengan menggunakan mesin mengepam keluar air bah.

"Pada masa yang sama, kita mungkin melaksanakan kerja pengubahsuaian sistem perparitan di kawasan ini secara berperingkat-peringkat pada masa depan," ujarnya.

utusan malaysia 16 Jan 2009

Posted by tajau singa raja
Thursday, January 15, 2009 at 8:40 AM | 0 comments  

KUALA LUMPUR 14 Jan. - DAP mengancam untuk menarik diri daripada Pakatan Rakyat sekiranya Pas masih mahu melaksanakan undang- undang hudud dan qisas jika pembangkang menerajui negara ini.

Pengerusi DAP, Karpal Singh ketika menyatakan perkara itu mengulangi pendirian bahawa hukum hudud dan qisas bukan menjadi dasar DAP dan tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac tahun lepas.

"Sewajarnya Pas mengambil kira pandangan DAP sebagai anggota dalam Pakatan Rakyat dan menghormati pendirian kami," katanya kepada pemberita di luar perkarangan Istana Negara di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai pelantikan Tan Sri Zaki Tun Azmi sebagai Ketua Hakim Negara. Surat itu diterima oleh Setiausaha Istana Negara Zainab Muhammad di luar pagar pintu belakang Istana Negara.

Pada 21 Disember lepas, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, parti itu tidak pernah melupakan dasar perjuangannya untuk menegakkan pemerintahan Islam di negara ini termasuk melaksanakan hukum hudud.

utusan malaysia 15 jan 2009

Posted by tajau singa raja
Wednesday, January 14, 2009 at 2:45 PM | 0 comments  

Amaran hujan peringkat merah ditarik balik, banjir beransur pulih tetapi air pasang besar dijangka masih berlaku

KUCHING: Jabatan Meteorologi menarik balik amaran hujan peringkat merah yang dikeluarkan di Sarawak sebelum ini.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Alam Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata hujan sekejap-sekejap diramalkan masih berlaku di beberapa kawasan negeri ini.

Katanya, taburan hujan semalam mencatat penurunan yang agak rendah iaitu hanya dua milimeter (mm) sehingga jam 4.00 petang semalam berbanding catatan 11 mm Isnin lalu.

Namun tegasnya, keadaan angin kencang dijangka terus bertiup dengan kelajuan 60 kilometer sejam sehingga 19 Januari ini dan situasi itu amat berbahaya kepada para ne-layan.

Timbalan Ketua Menteri itu juga memberitahu, air pasang besar dijangka masih berlaku di bahagian Kuching, Samarahan, Bau dan Lundu sehingga hari ini (Rabu).

Menurutnya, paras air Sungai Sarawak dijangka meningkat dan menyebabkan beberapa kawasan sekitar bandar raya ini dan kampung-kampung di pinggir Sungai Sara-wak ditengelami air.

“Justeru, penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan mudah diacapi air banjir hendaklah sentiasa berhati-hati dan bersiap sedia berpindah apabila siren amaran banjir di beberapa tempat strategik diaktifkan,” katanya pada sidang media di Bilik Operasi Banjir Negeri, Wisma Bapa Malaysia Petra Jaya di sini petang semalam.

Dr Chan berkata, secara keseluruhannya banjir yang melanda negeri ini sejak Sabtu lalu beransur pulih dengan jumlah mangsa banjir dipindahkan berkurangan kepada 6,629 melibatkan 1,188 keluarga berbanding 9,587 melibatkan 1,474 keluarga pada Isnin lalu.

Menurutnya, seramai 2,958 mangsa banjir sudah pun balik ke rumah masing-masing semalam.

utusan borneo 14 Jan 2009

Posted by tajau singa raja

KUCHING: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak rayuan Kongres Dayak Malaysia (MDC) yang dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) agar kongres itu didaftar sebagai parti politik.

Tindakan KDN itu bagaimanapun bukan suatu yang dikesali memandangkan presiden jawatankuasa penaja MDC Nicholas Bawin dan setiausaha agungnya, Louis Jarau serta beberapa lagi orang penting dalam kongres itu telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Malah timbalan presiden jawatankuasa penaja, Dr Johnical Rayong, satu-satunya dipilih mewakili jawatankuasa sementara parti itu masih menyimpan impian menyertai Barisan Nasional (BN).

Ini menyaksikan ahli MDC lain termasuk ketua penerangannya Joseph Tawie akan membawa haluan masing-masing kerana telah putus harapan.

“Langkah seterusnya ialah kami mengikut haluan masing-masing. Sebahagian daripada kami telah berputus asa untuk mendaftar MDC sebagai parti politik walaupun sebelum ini kami telah bekerja keras melakukannya,” kata Joseph ketika ditemui semalam.

Bagaimanapun Joseph berkata beliau masih menghormati keputusan bersama kumpulan itu.

“Sesiapa yang masih berada dalam kumpulan ini… akan berjumpa dalam tempoh beberapa minggu untuk menentukan nasib kumpulan ini begitu juga misinya,” kata Joseph.

utusan borneo 14 januari 2009

Posted by tajau singa raja

KUCHING 12 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (cuepacs) berkata, terdapat majikan yang memotong gaji pekerja mereka yang tidak datang bekerja ekoran banjir.

"Saya menerima banyak panggilan daripada mangsa banjir yang risau tentang gaji mereka dipotong. Segelintir pula mengadu mereka dipaksa mengambil cuti kerana tidak dapat hadir bertugas akibat banjir," kata Pengerusi cuepacs Sarawak, William Ghani Bina.

Beliau berkata, majikan tidak boleh memotong gaji atau memaksa pekerja mereka mengambil cuti ekoran menghadapi bencana.

Ghani yang juga Presiden Kesatuan Guru Sarawak berkata, di bawah Pekeliling Bil 1/1986 bersabit Peraturan Memberikan Kebenaran Tidak Hadir Kerja Atas Sebab Musabab Kecemasan serta Seksyen 14 A (2) Ordinan Buruh Sarawak Pindaan 2005, pekerja perlu memaklumkan kepada majikan secepat mungkin apabila tidak boleh hadir bertugas kerana bencana alam seperti banjir.

"Sehubungan itu, pekerja yang dipaksa mengambil cuti atau dipotong gaji boleh menghubungi Jabatan Buruh, kesatuan-kesatuan pekerja atau ketua jabatan untuk tindakan lanjut," katanya.

Keadaan banjir di Sarawak semakin buruk apabila 104 buah sekolah ditutup sehingga hari ini manakala 9,587 penduduk daripada 1,474 keluarga terpaksa berpindah ke 37 pusat pemindahan di seluruh negeri.

Sebanyak 21 jalan yang kebanyakannya di Daerah Bau masih terputus hubungan.

- Bernama

Posted by tajau singa raja

KUCHING 12 Jan. - Kilang pemprosesan Getah Standard Malaysia (SMR) di Debak, Sri Aman yang sedang dibina bakal menjadikan Sarawak sebagai pengeksport getah berkualiti ke pasaran antarabangsa, khususnya China.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam berkata, kilang yang dibina atas tapak seluas 15 hektar oleh syarikat China iaitu Kumpulan Guangken Rubber, mampu mengeluarkan 20,000 tan SMR setahun.

Menurutnya, kilang yang akan beroperasi sepenuhnya pada Jun tahun ini akan dilengkapi dengan teknologi terkini untuk menghasilkan produk getah berkualiti tinggi.

''Produk ini bukan sahaja memenuhi standard pasaran China tetapi juga diterima di negara-negara pengimport yang lain," katanya berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Guangken dan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (SFO) di sini hari ini.

'Sarawak kini mempunyai tanaman getah seluas 157,000 hektar yang kebanyakannya kurang berkualiti berbanding tahun 1997, Sarawak memiliki tanaman getah berkualiti seluas 15,000 hektar," ujarnya.

Beliau memberitahu, berdasarkan perangkaan itu, potensi tanaman berkenaan untuk terus berkembang masih tinggi malah Sarawak memiliki tanah yang luas serta sesuai untuk tanaman getah.

Menurutnya, dengan sokongan kuat daripada kerajaan, beliau yakin Pertubuhan Peladang Negeri dan Guangken Rubber berada di landasan yang betul dalam perladangan getah.

Dalam pada itu, di bawah MoU berkenaan, Guangken akan meneroka potensi industri hiliran berkaitan getah, serta zon penanaman getah lain di Sri Aman, Sarikei dan Betong.

utusan malaysia 13 jan 2009

Posted by tajau singa raja
Monday, January 12, 2009 at 10:03 AM | 0 comments  
Penyataan KM Pehin Sri Abdul Taib Mahmud penyatuan SPDP dan PRS memerlukan tempoh masa yang panjang adalah tepat sama sekali. Untuk jangkan masa panjang penyatuan ini dilihat sangat relevan untuk masyarakat dayak dalam usaha kerajaan menjana agenda pembangunan kepada semua lapisan masyarakat di Sarawak amnya.
Umum tahu penggabungan kedua-dua parti tersebut memerlukan banyak masa dan banyak perkara perlu dibincangkan mahupun dipersetujui oleh pemimpin kedua-dua parti untuk mengelakkan sebarang konflik dikemudian hari.
Oleh yang demikian kedua-dua orang kuat parti SPDP mahupun PRS harus dari sekarang bersedia dengan isu penggabungan tersebut. Walaubagaimana pun, penggabungan haruslah timbul dari keikhlasan hati semua pemimpin kedua-dua parti untuk keteguhan berterusan parti untuk jangka masa panjang dan untuk pembangunan beterusan masyarakat.
Posted by tajau singa raja
Wednesday, January 7, 2009 at 12:59 PM | 0 comments  

MIRI Rakyat di negeri ini dinasihatkan supaya tidak bersikap mementingkan diri dan terlalu kebendaan agar usaha melahirkan masyarakat penyayang dapat direalisasikan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam berkata, sikap yang tidak sihat itu perlu dikikis kerana ia boleh membantutkan usaha pembentukan sebuah masyarakat aman serta harmoni.

Menurutnya, sikap seumpama itu juga boleh menjadi 'gunting' yang memotong tali perpaduan dan integrasi nasional di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

''Meskipun kita sekarang hidup dalam dunia moden dan serba canggih, tidak bermakna kita harus mementingkan diri sendiri.

''Sikap pentingkan diri dan kebendaan tidak baik kerana ia boleh menyukarkan kita untuk merapatkan hubungan antara masyarakat,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Makan Malam Ulang Tahun Ke-26 Chee Lee Khor Moral Uplifting Society Miri di sini.

Hong Nam berkata, masyarakat harus mempertahankan nilai-nilai murni seperti tolong-menolong serta hormat-menghormati antara satu dengan lain meskipun berlaku perubahan terhadap tamadun kehidupan manusia pada hari ini.

utusan malaysia 07 jan 2009

Posted by tajau singa raja
Calon Pas, Bebas turut bertanding di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Pas dan Bebas.

Calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, 46, akan ditentang calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut, 52, dan calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam, 46.
Pengurus Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim mengumumkan senarai calon itu di pekarangan Stadium Negeri di sini, kira-kira setengah jam selepas tempoh bantahan berakhir pada jam 11 pagi semalam.
Posted by tajau singa raja
Tuesday, January 6, 2009 at 8:11 AM | 0 comments  

PUTRAJAYA 5 Jan. - Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membolehkan masyarakat dunia mengambil langkah berkesan menghentikan kekejaman Israel di Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Wisma Putra telah diarah menggerakkan wakil tetapnya di PBB supaya bekerjasama dengan kumpulan anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) bagi membolehkan perhimpunan khas tersebut diadakan.

Menurutnya, hanya melalui Perhimpunan Agung Khas ‘Perpaduan Untuk Keamanan’ dapat mengetepikan sebarang tindakan penolakan Amerika Syarikat (AS) terhadap usul resolusi mengenai Palestin di Majlis Keselamatan PBB.

‘‘Perbuatan AS itu sungguh tidak wajar dan dunia mesti suarakan dengan tegas dan membuat tuntutan yang tegas untuk menyelesaikan isu tersebut.

‘‘Kita berharap AS dan puak-puaknya tidak cuba menghalang suara dunia kerana apa yang berlaku ini tidak dapat diterima dan tidak membawa kesan yang baik kepada dunia yang sedang mengalami kemelesetan ekonomi,” katanya.

utusan malaysia 06 Jan 2009

Posted by tajau singa raja

KUALA TERENGGANU 5 Jan. - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyelar sikap pembangkang kerana sering mendakwa kononnya pengumuman beberapa projek pembangunan kerajaan menjelang pilihan raya sebagai satu bentuk rasuah politik.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, dakwaan tersebut dilemparkan bertujuan mengalih perhatian rakyat bagi menutup kelemahan dan kegagalan pembangkang menarik sokongan rakyat selama ini.

Katanya, semua pelaksanaan projek kerajaan dibuat dengan perancangan, penuh tanggungjawab dan kesedaran.

''Tuduhan itu tidak berasas, melampau dan cuba mengelirukan rakyat. Mereka buat tuduhan sebab mereka sendiri tidak mampu melaksanakan pembangunan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan pembangkang dalam beberapa siri ceramah di Kuala Terengganu bahawa Barisan Nasional (BN) kini mula menyogok pengundi dan rakyat dengan rasuah politik menjelang pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

Mengenai projek Kementerian Pelajaran, Hishammuddin berkata, semua yang diputuskan adalah sebahagian perancangan yang termasuk dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan sedia ada.

Hishamuddin menambah, setiap projek pembangunan kerajaan akan dilakukan menurut perancangan tanpa mengira semasa atau sebelum pilihan raya.

Posted by tajau singa raja
Saturday, January 3, 2009 at 11:46 AM | 0 comments  

PUTRAJAYA 2 Jan. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertahankan ciri-ciri keselamatan pasport antarabangsa negara ini adalah tinggi dan tidak mudah dipalsukan oleh sindiket meskipun proses pengeluarannya hanya memakan masa dua jam.

Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, kepantasan sistem penyampaian pengeluaran pasport yang diperkenalkan sejak 2007 tidak boleh dijadikan justifikasi bahawa dokumen perjalanan negara ini begitu mudah dipalsukan.

Sebaliknya, tegas beliau, isu pemalsuan pasport adalah masalah sejagat yang turut dihadapi oleh negara-negara yang mempunyai sistem keselamatan terbaik termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain, Kanada dan China.

''Jadi saya harap kerajaan negara-negara asing tidak berasa cemas dan mula bertindak memeriksa serta menyemak semua pemegang pasport Malaysia kerana ada laporan bahawa ia mempunyai masalah ciri keselamatan.

''Ini bukan satu maklumat yang perlu disensasikan sehingga orang ramai hilang keyakinan, saya fikir kita tidak perlu membina reputasi sebegitu terhadap negara kerana ia (pemalsuan pasport) adalah tidak berasas," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau yang masih bercuti memanggil sidang akhbar berkenaan bagi mengulas laporan Utusan Malaysia semalam menyebut pasport Malaysia yang kini boleh diperoleh dalam masa tidak sampai dua jam mempunyai risiko keselamatan kerana ia dikatakan mudah terdedah kepada kegiatan pemalsuan oleh sindiket antarabangsa.

Laporan memetik Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sebagai berkata, kegiatan pemalsuan pasport Malaysia yang didalangi sindiket antarabangsa semakin serius berikutan permintaan tinggi oleh rakyat asing terhadap pasport negara ini.

Menurut Rais, maklumat yang diperoleh Wisma Putra baru-baru ini menunjukkan warganegara Nigeria, India, Bangladesh, Indonesia dan China paling banyak menggunakan pasport tiruan.

Syed Hamid berkata, jumlah pemalsuan pasport Malaysia adalah terlalu sedikit apabila hanya 89 pemegang pasport palsu ditangkap tahun lalu berbanding sebanyak 1.2 juta pasport yang dikeluarkan manakala jumlah keseluruhan dokumen perjalanan itu yang dikeluarkan sehingga kini adalah melebihi 10 juta.

Selain itu, kata beliau, hanya 64 rakyat asing ditangkap kerana memasuki negara ini menggunakan pasport asing palsu.

''Jadi kalau dapat kesan orang yang cuba palsukan pasport, ini menunjukkan ciri keselamatan kita adalah baik kerana itu kita akan tahu yang mana bukan pasport negara ini.

''Kita pakai cip biometrik, ini susah nak palsukan dan tiada sebarang pemalsuan cip tersebut sejak ia dilaksanakan lebih 10 tahun lalu," katanya.

Bagaimanapun tegas beliau, kerajaan akan terus mengadakan penambahbaikan bagi mencegah pemalsuan pasport negara ini antaranya dengan melaksanakan pengeluaran pasport elektronik mengikut piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

utusan malaysia 03 jan 2009

Posted by tajau singa raja
IPOH: Kerajaan Perak mengingkari keputusan Majlis Tanah Negara (MTN) dengan meneruskan pemberian hak milik tanah pegangan kekal kepada 11 penduduk Kampung Baru Kuala Sungai Rui di Gerik, kelmarin.

Pemberian geran itu adalah permohonan awal yang diluluskan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) membabitkan keluasan setiap lot tanah kira-kira 90 meter persegi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata pemberian hak milik kekal bagi permohonan selebihnya pula akan dibuat secara berperingkat selepas mendapat kelulusan PTG di daerah masing-masing.
Pada sidang media selepas menyerahkan bantuan persekolahan kepada murid miskin dalam kawasan Majlis Bandaraya Ipoh, semalam, beliau berkata, kerajaan negeri menerima lebih 120 permohonan bagi mendapatkan hak milik tanah pegangan kekal yang masih dalam proses dan menunggu kelulusan PTG daerah.

Minggu lalu, MTN membuat keputusan akan mengadakan mesyuarat khas tidak lama lagi bagi membincangkan kertas kerja cadangan kerajaan Perak itu kerana Dasar Tanah Negara menetapkan pegangan tanah secara kekal hanya boleh diberi bagi maksud kegunaan Kerajaan Persekutuan, awam dan keadaan istimewa yang terhad.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan cadangan kerajaan Perak itu tidak boleh dilaksanakan sehingga MTN membuat keputusan.

BH 03 jan 2009
Posted by tajau singa raja

KUCHING 2 Jan. - Sebanyak 10,505 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh Sarawak tahun lalu berbanding 6,571 kes pada 2007 dengan mengakibatkan satu kematian.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 1,513 kes dirujuk ke hospital iaitu 28 daripadanya disahkan mendapat jangkitan enterovirus 71 (EV71).

Bagaimanapun katanya, kesemua pesakit terbabit telah pulih setelah mendapat rawatan lanjut di hospital.

''Kita menjangkakan, kes HFMD pada tahun ini akan menjadi lebih serius terutamanya selepas perayaan Tahun Baru Cina iaitu pada Mac dan April," katanya kepada pemberita di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, beliau meramalkan jangkitan HFMD pada 2009 akan meningkat berdasarkan trend penyakit itu yang berlaku setiap tiga tahun sekali.

Justeru, Hong Nam meminta ibu bapa supaya tidak cepat berpuas hati dengan tahap kesihatan anak-anak mereka meskipun kerajaan mengambil langkah proaktif mengatasi masalah itu.

Katanya, kerajaan menjangkakan penyakit berkenaan akan menjadi lebih serius tahun ini di Sarawak dan mahu mereka lebih berwaspada dengan tahap kesihatan anak masing-masing.

''Kita akan lebih proaktif tahun ini kerana kita meramalkan akan wujud virus EV71 yang serius berikutan peningkatan kes HFMD tahun lalu.

''Sehubungan itu, kita minta supaya ibu bapa lebih berwaspada dan merujuk anak-anak mereka ke hospital jika mengesyaki sebarang jangkitan HFMD ke atas anak mereka," katanya.

utusan malaysia 03 jan 2009

Posted by tajau singa raja
2008 meninggalkan seribu kenangan pahit dan manis, sama-sama kita merenung masa akan datang tapi jangan sekali-kali lupakan yang lampau kerana mungkin ia dapat dijadikan pengajar berguna dan sebagai rujukan takala kita dalam kekeliruan. Apa-apa pun ayuh teruskan perjuangan menegakkan kerajaan BN sama-sama kita mendokong tiang perpaduan, mempertahankan kedaulatan negara tersayang yang telah dibina generasi berjasa sejak dari dahulu lagi, jangan biarkan keharmonian ini digugat anasir jahat yang memperjuangkan cerita-cerita dongeng karya PKR, PAS dan DAP yang hanya manis di permulaan kemudian pahit sepahit hempedu seperti pakatan mereka yang retak menunggu rebah......

Selamat tahun Baru 2009
Posted by tajau singa raja
Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates