KUALA LUMPUR 17 Dis. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menegaskan bahawa misi terakhir sebelum beliau meletak jawatan adalah untuk meredakan ketegangan kaum dan agama di negara pelbagai etnik ini.
Perdana Menteri menjelaskan, keadaan ekonomi dan jurang yang semakin lebar antara penduduk berbangsa Melayu dengan penduduk Cina dan India adalah ancaman terbesar Malaysia.
"Oleh kerana saya akan bersara lebih awal daripada apa yang dirancangkan, pembaharuan perlu dibuat dengan cepat," kata Abdullah kepada AP di sini.
Abdullah akan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mac depan.
Beliau bersetuju meletak jawatan lebih awal selepas berdepan dengan rasa tidak puas hati anggota UMNO ekoran kemenangan besar pembangkang dalam pilihan raya umum lalu.
"Saya sedang berfikir tentang cara untuk mengawal isu hubungan kaum dan isu ketegangan agama kerana banyak perkara yang sedang berlaku.
"Mereka beragama Islam mempunyai perspektif tersendiri sementara penduduk bukan Islam pula mempunyai perspektif berbeza," kata Abdullah lagi.
utusan malaysia 18 dis 2008
Posted by tajau singa raja
PUTRAJAYA 17 Dis. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menolak sama sekali cakap-cakap bahawa pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) 2008 yang dilihat begitu tergesa-gesa sebelum beliau melepaskan jawatan Mac depan, mempunyai muslihat tertentu.
Dalam pertemuan dengan sebuah akhbar dalam talian, Agendadaily di kediamannya di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur semalam, Perdana Menteri menepis desas desus itu termasuk di kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) sendiri.
Bagi Abdullah, usaha untuk menambahbaik dua institusi berkenaan adalah janji kerajaan pada pilihan raya umum 2004.
''Buat rumah elok, tiang mesti kuat." katanya yang jelas menunjukkan beliau mahu Malaysia mempunyai undang-undang yang boleh memberi keyakinan dan keselesaan kepada rakyat, pelabur mahupun peniaga pada masa depan.
Pada masa yang sama, beliau mahu memperbetulkan persepsi kononnya bidang pencegahan rasuah dan kehakiman di negara ini kurang berwibawa.
Dalam pertemuan itu, Abdullah lebih mempersoalkan sikap Ahli Parlimen pembangkang yang membuang masa ketika membahaskan rang undang-undang itu dengan bercakap perkara-perkara lama.
''Pembangkang buang masa, mereka patut cakap terus apa yang setuju, tak setuju dengan rang undang-undang ini. Bagi tau pindaan, sokong atau tidak. Bukan bercakap benda-benda lama berulang kali," kata beliau yang melihat perbahasan itu banyak menimbulkan perkara yang negatif.
''Kalau anggap rasuah tak baik, sokonglah SPRM kenapa nak cakap orang tu korup, orang ni salah guna kuasa," katanya.
Abdullah menjelaskan, reformasi itu adalah bentuk modal insan melalui pendekatan Islam Hadhari bagi melahirkan manusia bermoral dan berilmu.
Beliau berkata, SPRM merupakan tambah nilai pada undang-undang atau peraturan sedia ada.
''Macam ini, baru boleh maju. Macam orang bisnes, kena tambah nilai, baru ada peningkatan dan kejayaan," katanya.
utusan malaysia 18 Dis 2008
Posted by tajau singa raja
SRI AMAN 17 Dis. - Persatuan Wanita Dayak Sarawak (SIDS) cawangan Sri Aman telah mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Tarian Ngajat dalam usaha memelihara dan memastikan kesinambungan budaya kaum Iban di kalangan generasi muda dapat diteruskan.
Pengerusi SIDS, Roselyn Abunawas berkata, salah satu objektif kursus itu diadakan adalah untuk menanamkan semangat cintakan budaya dan adat resam warisan di kalangan generasi muda.
Menurutnya, dengan adanya kursus seumpama itu, pihaknya secara tidak langsung dapat mempertahankan tarian ngajat di kalangan generasi muda pada masa ini agar ia dapat diperkembangkan.
''Kita mahu warisan tarian ngajat ini kelak dapat diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya pada masa akan datang," katanya di sini hari ini.
Seramai 21 orang peserta wanita telah menamatkan Kursus Tarian Ngajat yang diadakan bertempat di Rumah Dayak, Sri Aman baru-baru ini.
Selain Kursus Tarian Ngajat, SIDS turut menganjurkan Kursus Betaboh yang melibatkan 10 peserta.
Dalam pada itu, Roselyn menasihatkan generasi muda supaya tidak terlalu taksub dengan budaya kaum dari negara lain sehingga bertungkus lumus mempelajarinya malah diterapkan dalam aktiviti harian masing-masing.
Katanya, sifat terlalu taksub terhadap budaya kaum dari negara lain boleh menyebabkan mereka lupa mengenai warisan ibunda dan ia mampu menyebabkan budaya sendiri lenyap.
''Tarian poco-poco adalah tarian budaya kaum dari luar negara dan mempelajarinya tidak salah asalkan tidak melupakan tarian budaya kaum kita sendiri,'' katanya.
utusan malaysia 18 dis 2008
Posted by tajau singa raja
Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates