Friday, January 30, 2009 at 2:31 PM |  
SRI AMAN 29 Jan. - Golongan cerdik pandai di negeri ini perlu berhenti menghasut para penduduk supaya membenci kerajaan yang kini diterajui oleh parti Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata, mereka seharusnya turun padang untuk membantu kerajaan dan bukannya membenci kerajaan.
Katanya, bantuan golongan tersebut amat diperlukan bagi menaik taraf kehidupan penduduk dan bukannya menyebabkan mereka kian ketinggalan dalam arus pembangunan di kawasan luar bandar.
"Kepandaian yang diperoleh itu tidak wajar disalahgunakan untuk menghasut penduduk di kawasan rumah panjang agar membenci kerajaan yang diteraju oleh BN pada masa sekarang.
"Ini adalah satu kesilapan besar buat mereka kerana tindakan seumpama ini hanya akan menyebabkan penduduk ketinggalan dari segi arus pembangunan berbanding lain-lain penduduk yang menyokong teguh BN selama ini," katanya.
Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Engkilili dekat sini semalam.
"Ada setengah pihak menghasut pemikiran penduduk apabila mereka balik ke kampung halaman masing-masing,'' jelasnya.
Bagaimanapun katanya, mereka ini hanyalah sekumpulan kecil yang tidak perlu dibimbangkan.
Sehubungan itu beliau meminta golongan cerdik pandai tersebut tidak melakukan perbuatan sedemikian kerana penduduk di kawasan rumah panjang masih memerlukan arus pembangunan daripada BN.
Pada masa yang sama, beliau mengingatkan penduduk supaya terus memberi sokongan padu kepada BN jika ingin melihat setiap program pembangunan dilaksanakan dengan lancar dan berkesan di kawasan masing-masing.
''Kita mahu memberi fokus kepada peningkatan ekonomi penduduk tempatan dan kerajaan berusaha merancang pembangunan di satu-satu kawasan terutama sekali di kawasan luar bandar," ujarnya.
utusan malaysia 30 jan 2009
Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates