Friday, January 16, 2009 at 9:04 AM |  

SRI AMAN 15 Jan. - Langkah Jabatan Saliran dan Perparitan (DID) Bahagian Sri Aman menggunakan mesin pengepam untuk mengeluarkan air yang melimpah dari Sungai Batang Lupar di sini berjaya mengurangkan kesan banjir di sekitar kawasan bandar ini.

Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji berkata, pada mulanya DID menggunakan mesin itu sebagai langkah percubaan sahaja bagi mengepam air apabila fenomena benak mencapai gelombang ombak tertinggi pada pukul 7.25 petang semalam.

Bagaimanapun menurutnya, keputusan DID mencuba sistem terbaru mereka dengan menguji mesin pengepam keluar air di sekitar tebingan Sungai Batang Lupar berjaya mengurangkan kesan banjir di daerah ini.

''Jika mengikut kalendar Lunar kaum Cina, pada 13 Januari diramal akan berlaku fenomena benak yang mencapai paras gelombang tertingginya berbanding hari biasa yang lain.

''Namun tindakan DID menggunakan mesin untuk mengepam keluar air yang melimpah telah memberi kesan positif apabila banjir tidak begitu buruk di bandar ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Shamshuddin berkata, langkah DID itu telah berjaya mengelak banjir daripada menenggelamkan beberapa kawasan utama di bandar ini terutamanya di sebuah pasar raya terbesar di sini.

Bagaimanapun, fenomena benak malam tadi telah menjejaskan kawasan Kampung Hilir, Kampung Hulu dan Kampung Tengah apabila air melimpah ke kawasan terbabit hingga mencapai paras ketinggian 0.5 meter.

Tambahnya, kawasan kampung terjejas dengan banjir mungkin disebabkan oleh sistem perparitan yang kurang baik di situ berbanding di kawasan bandar Sri Aman.

''Namun sekarang kita sudah tahu cara untuk mengatasi masalah banjir ini dengan menggunakan mesin mengepam keluar air bah.

"Pada masa yang sama, kita mungkin melaksanakan kerja pengubahsuaian sistem perparitan di kawasan ini secara berperingkat-peringkat pada masa depan," ujarnya.

utusan malaysia 16 Jan 2009

Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates