Tuesday, August 18, 2009 at 3:52 PM |  


MIRI 17 Ogos - Penyatuan rakyat pelbagai kaum di bawah konsep 1Malaysia akan menjadi pemacu kepada negara memenuhi projek-projek pembangunan yang dirancang.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam berkata, rakyat Malaysia tidak akan ditindas sekiranya mereka bersatu di bawah semangat 1Malaysia.
"Tiada siapa pun yang boleh 'buli' kita kerana kita memang 1Malaysia. Kita berjuang demi Malaysia. Kita membangun demi Malaysia dan kita sukses demi Malaysia.
"Kita adalah satu Malaysia, satu perpaduan, satu prospek dan satu impian," katanya berucap merasmikan Kempen Menggalak Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di tempat letak kereta kompleks beli belah Boulevard semalam.
Sehubungan itu, beliau meminta generasi muda untuk terus melaungkan semangat 1Malaysia kerana merekalah yang bertanggungjawab menjaga dan memacu pembangunan politik, sosial dan ekonomi rakyat dan negara.
Selain itu, generasi muda juga perlu berasa bangga dengan bendera Jalur Gemilang sebagai tanda patriotisme dan cintakan negara.
Terdahulu, Hong Nam berkata, sikap bertolak ansur, berkompromi, hormat menghormati dan saling faham memahami adalah aset utama rakyat kerana tanpanya, negara tidak akan mencapai impian dan merealisasikan Wawasan 2020.
"Pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan pada masa lampau tidak perlu kita lupakan. Perjuangan ini perlu diteruskan oleh pemimpin masa kini demi masa depan dan mengekalkan kemerdekaan ini," katanya.
Sepanjang bulan kemerdekaan ini, beliau meminta rakyat mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, premis perniagaan, pejabat kerajaan dan taman sebagai melambangkan identiti rakyat Malaysia yang cintakan negara.
utusan malaysia 18 ogos 2009
Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates