Monday, October 12, 2009 at 1:18 PM |  


KUALA LUMPUR 11 Okt. - Kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang memperlihatkan momentum kebangkitan yang mula ditunjukkan parti tersebut.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, sehubungan itu momentum tersebut perlu dipertingkatkan bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil lain serta pilihan raya umum akan datang.
Menurutnya, pengaruh yang ditunjukkan oleh calon BN, Mohd. Isa juga cukup kuat dan tidak mampu digugat oleh pembangkang.
"Calon Pas, iaitu Zulkefly Mohamad Omar tidak setanding dengan Mohd. Isa yang cukup terkenal di kalangan penduduk di Negeri Sembilan terutamanya di Bagan Pinang.
"Kemenangan juga menunjukkan pengundi mula meragui kepimpinan yang ditunjukkan oleh pakatan pembangkang melalui beberapa isu yang timbul di negeri-negeri yang diperintah mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
BN mengekalkan kerusi DUN Bagan Pinang di Negeri Sembilan setelah calonnya Mohd. Isa mengalahkan calon Pas, Zulkefly dengan majoriti 5,435 undi.
Mohd. Isa memperolehi 8,013 undi manakala Zulkefly mendapat 2,578 undi.
Pensyarah Politik dan Pentadbiran Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr. Ahmad Atory Hassan berkata, kemenangan itu menggambarkan usaha memulihkan parti oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya meraih kembali keyakinan rakyat kepada parti keramat itu.
Menurutnya, faktor calon BN merupakan sumbangan yang cukup besar dalam kemenangan parti itu di Bagan Pinang.
Menurutnya, kerajaan dan UMNO perlu terus bekerja kuat untuk meyakinkan rakyat bahawa perjuangan mereka bukanlah seperti yang dicanang pembangkang.
utusan malaysia 12 okt 2009
Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates