Tuesday, October 27, 2009 at 8:13 AM |  
KUALA LUMPUR 26 Okt. - Selepas puluhan tahun Barisan Nasional (BN) berjaya mentadbir dan memajukan beberapa negeri seperti Selangor dan Kedah, kini sudah ada tanda pembangunan di negeri terlibat mungkin merosot.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelbagai isu politik yang membelenggu negeri terbabit akibat masalah kerjasama parti-parti dalam pakatan pembangkang akan membawa kesan pentadbiran yang amat buruk sehingga mengganggu perjalanan pembangunan.
Katanya, perkara itu adalah antara yang paling dibimbanginya, begitu juga para pemimpin BN yang lain.

Tambahnya, rakyat dan pengundi akan menjadi mangsa terhadap kemelut yang berlaku dalam pakatan pembangkang.

"Ini saya bimbang, kalau ada beberapa tahun lagi mereka mentadbir di negeri-negeri yang mereka ada kuasa tetapi tidak ditadbir dengan baik, jadi apa yang sudah kita bangunkan sebelum ini di bawah kerajaan BN mungkin akan merosot dan kesannya ialah nasib hidup rakyat dan pengundi di negeri yang berkenaan akan sulit," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pengurusan Aset dan Kemudahan Negara (Nafam) 2009 di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas kenyataan Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang dalam blognya yang mengakui pakatan pembangkang sedang melalui krisis kehilangan keyakinan daripada rakyat sejak lapan bulan yang lalu.
Hakisan keyakinan itu katanya, berpunca daripada kegagalan pemimpin pakatan pembangkang sendiri untuk melaksanakan tanggungjawab dan disiplin dalam parti masing-masing bagi meyakinkan pengundi Malaysia berhubung kredibiliti, integriti dan perpaduan antara mereka.

Menurut Muhyiddin, adalah sesuatu yang amat baik apabila Kit Siang sendiri sudah mengakui bahawa para pemimpin pakatan pembangkang mempunyai masalah untuk bersatu dan bekerjasama.
"Kalau Kedah kerajaan Pas dan DAP, di Selangor antara Datuk Dr. Hasan Ali dengan Menteri Besar, begitu juga di Pulau Pinang, kalau Kit Siang sendiri sudah akui mereka tidak ada kepimpinan, ia harus menyedarkan rakyat bahawa pakatan pembangkang tidak ada kemampuan," katanya.
Sehubungan itu Muhyiddin meminta rakyat menilai situasi secara mendalam bagi melihat masalah yang sebenarnya wujud.

Beliau juga meminta rakyat menilai kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN yang telah lama memiliki pengalaman untuk memajukan negara.

Menurutnya, bukan setakat di negeri-negeri tetapi di peringkat dalaman parti juga berkocak dengan pelbagai masalah yang cuba ditutup sepanjang masa oleh pakatan pembangkang.
"Kalau ambil parti-parti komponen mereka, Pas juga berhadapan dengan konflik yang hebat,
DAP nampak okay tetapi sebenarnya tidak okay, PKR pun begitu juga," katanya.
Beliau berkata, kemelut kepimpinan dalaman yang melanda Pas kini adalah satu bukti terhadap kenyataan itu.
Sumber,
utusan malaysia 27 okt 2009
Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates