KUALA LUMPUR 1 Nov. - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua parti komponen yang mempunyai masalah dalaman supaya segera menyelesaikannya.
Tegas beliau, semua pihak perlu segera berubah ke arah kebaikan dan jangan sesekali membiarkannya berlanjutan terlalu lama hingga menyebabkan rakyat hilang kepercayaan.
Beliau yang juga Perdana Menteri turut mengingatkan parti-parti komponen BN supaya jangan hanya membiarkannya seorang yang komited untuk berubah.
"Saya minta jangan biarkan saya seorang sahaja, tetapi kita semua kena bertindak, macam kereta api tidak boleh hanya lokomotif sahaja bergerak di hadapan, semua kena bergerak bersama.
"Gerakan, MCA, MIC dan Parti Progresif Penduduk (PPP) semua kena bergerak, kalau ada masalah dalaman tu cepat-cepatlah selesaikan, tunggu apa lagi, selesaikan masalah.
"Percayalah kita berada pada landasan yang jelas, prinsip kita adalah jelas, suara rakyat adalah suara keramat dan BN akan abadikan diri untuk rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Perwakilan Nasional 2009 Parti Gerakan di sini hari ini.
Hadir sama, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Penasihat parti itu, Tun Dr. Lim Keng Yaik dan pemimpin-pemimpin parti komponen BN yang lain.
Tambah Najib, fokus utama pada masa ini ialah untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap BN dan bagi memastikan parti tersebut terus kekal relevan.
Katanya, rakyat telah memberi isyarat dan petunjuk kuat pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu untuk BN berubah ke arah lebih baik dan BN telah menerima dengan penuh keikhlasan teguran itu dan komited untuk melakukan perubahan.
Beliau berkata, semua pihak perlu dilengkapi dengan semangat dinamik, progresif, keyakinan diri dan ketahanan dalaman untuk bangkit semula.
"Baru sekali sahaja kena tsunami politik sudah tidak tahan lagi, adakah kamu semua terlalu lemah untuk bangkit kembali.
"Kemenangan besar di Bagan Pinang adalah ledakan paling besar terhadap pembangkang, kita menang sebab pengundi sana terima dasar kita, jentera kita di akar umbi bekerjasama dengan baik, kita segera bertindak menyelesaikan masalah dan letak calon yang boleh menang, akhirnya kita menang dengan lonjakan majoriti 132 peratus," katanya.
Najib terus membangkitkan semangat para perwakilan dengan menafikan sekeras-kerasnya tanggapan bahawa BN tidak mampu bangkit dengan penuh kekuatan.
"Kita akan buktikan mereka adalah salah, BN tetap merupakan parti yang dahulu relevan, sekarang relevan dan pada masa hadapan juga tetap relevan.
"BN akan jadi relevan bukan sebab kita kata parti kita relevan tapi kerana kita sanggup berubah dan sanggup memperjuangkan hala tuju gagasan 1Malaysia yang mengutamakan rakyat dalam segenap segi," katanya.
utusan malaysia 02/11/09
Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates