Thursday, February 18, 2010 at 5:29 PM |  
KUALA LUMPUR 17 Feb. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memberikan 'keyakinan palsu' sehingga menyebabkan beberapa wakil rakyatnya sudah bosan dengan pemimpin mereka itu.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keadaan itu juga menjadi punca beberapa wakil rakyat terbabit bertindak keluar daripada PKR.

Menurutnya, bukan mudah untuk wakil rakyat terbabit meninggalkan parti dan pakatan pembangkang yang pada asalnya mahu membentuk kerajaan baru pada 16 September 2009 seperti yang dirancangkan Anwar.

"(Jika rancangan itu berlaku), sekurang-kurangnya mereka berpeluang untuk memegang satu daripada banyak jawatan dalam kerajaan yang bakal wujud itu.

"Tetapi nampaknya mereka tidak mahu menunggu lama kerana Anwar sendiri gagal membuktikan kemampuannya mengurus 'kerajaan kongsi kuasa' di negeri-negeri yang mereka memerintah," katanya di dalam blog www.puadzarkashii.blogspot.com.

Mohd. Puad mengulas kenyataan Anwar semalam yang mengaku tersalah pilih calon pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu dan berjanji ia tidak akan berulang lagi.

Pengakuan itu dibuat ekoran tindakan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim keluar PKR kerana tidak puas hati dengan kepimpinan parti itu.

Sebelum itu, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR turut keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas, manakala dua lagi meletak jawatan sehingga memaksa pilihan raya kecil diadakan pada tahun lalu.

Mohd. Puad dalam pada itu mempersoalkan janji Anwar untuk tidak mengulangi kesilapannya itu.

"Bolehkah janji Anwar dipegang? Satu kelebihan Anwar ialah dia pandai meyakinkan orang. Dia ada karisma. Tapi sampai bila karisma itu boleh bertahan jika ia hanyalah karisma 'keyakinan palsu'.

"Satu daripada alasan Zahrain keluar PKR ialah janji kerajaan baru yang tidak terlaksana. Justeru yang jelas di sini ialah bukan Anwar yang tersalah pilih calon tetapi Zahrain dan yang lain sudah bosan dengan kepimpinan Anwar itu," katanya.

Mohd. Puad berkata, nada dan kritikan dua lagi wakil rakyat PKR iaitu Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng juga kini mudah ditafsir.

Katanya, mereka tidak lagi percaya kepada Anwar ditambah pula dengan kenyataan Zulkifli yang mendakwa wujud 'firaun kecil' dalam PKR.

utusan malaysia 18.02.10
Posted by tajau singa raja

0 comments:

Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates