TPM terima 141 pencalonan jawatan Presiden Umno

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menang tanpa bertanding jawatan Presiden Umno selepas menerima 141 pencalonan daripada bahagian parti itu yang sudah mengadakan persidangan perwakilan masing-masing sehingga semalam.

Kemenangan Timbalan Presiden Umno itu hadir apabila tiada calon lain yang boleh memenuhi kuota 58 pencalonan untuk layak bertanding jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti Mac depan, apabila kini hanya tinggal 49 bahagian yang belum mengadakan mesyuarat masing-masing.

Tahniah kepada Datuk Seri Najib !!!

Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri mengesahkan kedudukan sebagai calon tunggal untuk mengisi jawatan Presiden Umno, sekali gus mengetepikan kemungkinan sebarang cabaran sebaik menerima pencalonan ke-134 daripada Umno Bahagian Labuan, petang semalam.

Posted by tajau singa raja

KUCHING 1 Nov. - Para petani, penternak dan nelayan di negeri ini diminta lebih gigih untuk menjadikan bidang pertanian sebagai satu perniagaan yang berdaya maju.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, bidang pertanian boleh dimajukan sebagai sebuah perniagaan sekiranya para petani berlandaskan kepada konsep Agro "POL" iaitu P-Pasaran, O-Organisasi dan L-Lurus dan Tulus.

Beliau berkata, sekiranya diamalkan, bidang pertanian di negeri ini boleh dimajukan sebagai sebuah perniagaan yang mampu untuk mengubah nasib petani, penternak dan nelayan.

''Dahulu kalau nak jadi ahli perniagaan, kena ada beg James Bond, tetapi sekarang itu tidak lagi penting, kalau mahu jadi ahli perniagaan, rancanglah bidang pertanian dengan baik," katanya ketika berucap pada majlis perasmian sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2008 di Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini hari ini.

Abdul Taib berkata, bidang pertanian hari ini perlu diurus dengan lebih baik melalui organisasi yang cekap dan mantap dengan melibatkan lebih banyak pakar dalam pengurusan selain mereka yang terlibat dalam pertanian.

Posted by tajau singa raja
PM saran permuafakatan, jalinan keakraban dikukuhkan

KOTA KINABALU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, 'politik tikam belakang' sesama sendiri perlu dihapuskan kerana ia hanya merugikan semua pihak.

Sebaliknya, Perdana Menteri menganjurkan supaya permuafakatan dan jalinan keakraban dikukuhkan sebagai pemangkin ke arah menzahirkan segala perancangan untuk memperbaiki taraf hidup rakyat.

Berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-23 di Magellan Sutera Harbour di sini, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional turut menyifatkan amanatnya semalam sebagai 'ucapan perpisahan'.
"Apabila saya dengar ucapan Datuk (Joseph) Pairin (Kitingan) tadi, baru saya sedar ini akan menjadi ucapan perpisahan... saya tak suka mengucapkan selamat tinggal, saya tak pernah suka mengucapkannya.

"Apa lagi yang dapat saya katakan selain daripada terima kasih," katanya sambil disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Kata-katanya itu berkait rapat dengan pelan peralihan kuasa yang dijadualkan Mac tahun depan apabila Abdullah menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Berkemeja batik coklat, Abdullah mengambil kesempatan mengimbas kenangan usaha membawa balik PBS menyertai BN ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

"Ketika itu saya fikir kita akan menghadapi pilihan raya dan dengan keadaan Sabah (di bawah pemerintahan PBS sebagai pembangkang), seperkara yang terlintas di fikiran saya ialah tidak mahu melihat parti BN sentiasa berkonfrontasi dengan PBS.

"Masyarakat Kadazandusun adalah etnik terbesar di Sabah dan ketua mereka adalah 'Huguan Siou' (pemimpin agung), maka saya berpendapat tiada gunanya PBS dibiar di luar arus politik BN.

"Dari situ, macam-macam kita ikhtiarkan hinggalah PBS kembali ke pangkuan BN," katanya menyingkap sejarah PBS menyertai semula BN pada 2002 selepas keluar pada 1990.

Pada akhir ucapannya, Abdullah sekali lagi menyentuh perasaan hadirin apabila menegaskan komitmen untuk terus menjadi ahli Umno walaupun selepas bersara kelak.

"Kita akan berjumpa lagi selepas ini. Saya akan tetap setia menjadi ahli Umno dan ia bermakna saya tetap setia menjadi ahli BN," katanya.

Terdahulu, Pairin merakamkan penghargaan PBS terhadap Perdana Menteri yang gigih berusaha meningkatkan taraf hidup golongan miskin dan masyarakat luar bandar.

"Pak Lah akan sentiasa dikenang kerana memberi ruang untuk kami bersuara dan kebebasan itu mesti dipelihara supaya tidak disalah guna hingga menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam," katanya.

Sambil mengikrarkan kesetiaan PBS bersama BN, beliau berkata parti itu yakin hanya BN berupaya membawa kesejahteraan kepada politik, ekonomi dan sosial Sabah.

Beliau berkata, PBS mengambil tindakan tepat menyertai semula BN pada 2002 selepas terpinggir daripada arus politik perdana dari 1990.

Posted by tajau singa raja
Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates