Friday, January 22, 2010 at 8:38 AM | 0 comments  
MB tidak layak teraju PKR Selangor

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah tidak layak untuk memegang jawatan itu apabila PKR bahagian Kuala Selangor dibubarkan semalam setelah 13 ahli jawatankuasanya meletak jawatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah berkata, ini membuktikan kesemua mereka yang meletak jawatan termasuk Ketua Angkatan Muda (AMK), Nazaruddin Darmawan dan Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor itu.
"Belum pernah berlaku dalam mana-mana cabang PKR di Selangor, seorang ketua ditentang dan ditolak oleh barisan AJK sendiri dan nampaknya Abdul Khalid menjadi mangsa pertama," kata Badrul Hisham dalam blognya
Pengumuman pembubaran PKR bahagian Kuala Selangor itu dibuat oleh Timbalan Ketua bahagian berkenaan, Arshad Abu Bakar, semalam.
Arshad berkata, pembubaran itu dibuat kerana AJK bahagian yang dipilih pada Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian 2007 (untuk sesi 2007-2010) kini hanya tinggal tiga orang.
Dengan peletakan jawatan barisan AJK itu bermakna Abdul Khalid hilang jawatan Ketua Bahagian sehingga pemilihan baru nanti, yang dijangka pada Mac ini.
Sementara itu menurut Badrul Hisham, keseluruhan pimpinan PKR di semua peringkat di negeri Selangor harus jujur untuk memikirkan sama ada Abdul Khalid masih layak menjadi ketua mereka atau tidak.
"Abdul Khalid pernah kata saya tidak layak menjadi wakil rakyat, padahal sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu, majoriti undi untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang yang saya menangi adalah jauh lebih baik berbanding beliau yang bertanding di DUN Ijok.
"Saya berupaya meraih majoriti 4,407 tetapi Abdul Khalid hanya mampu mendapat lebihan undi 1,920 sahaja," katanya.

utusan malaysia 22/01/2010
Posted by tajau singa raja
KUALA LUMPUR 1 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwanya hanya petah bercakap tetapi gagal menyelesai dan mengendalikan pelbagai masalah dalam parti itu dengan baik.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, bukti terbaru ialah huru-hara yang berlaku dalam kepimpinan PKR di Sabah apabila melantik pemimpin Semenanjung bagi menerajui negeri tersebut.
"Takkan pemimpin Semenanjung nak jadi pemimpin (ketua) di Sabah, ini tidak masuk akal, saya juga tidak tahu apa yang terjadi kepada sistem berparti mereka hinggakan Kabinet bayangan pun tidak reti nak buat, sampai ada beberapa orang akan pegang satu jawatan menteri.
"Malah ada juga di negeri (yang dimenangi) tidak mempunyai wakil daripada parti lain seperti di Kedah dan Pulau Pinang yang mana wakil rakyat Pas tidak dilantik menganggotai kerajaan negeri.
"Berbeza dengan kita yang mewujudkan kerajaan di Pulau Pinang apabila Ketua Menterinya daripada Gerakan, UMNO tetap dilantik wakilnya," katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Perwakilan Nasional 2009 Parti Gerakan di sini.
Najib turut mempersoalkan kredibiliti pakatan pembangkang adakah mereka ini pejuang sejati kepada masyarakat berbilang kaum sama seperti yang dimainkan BN.
"Inilah tanggungjawab besar yang perlu dimainkan oleh parti komponen BN untuk menyedarkan rakyat supaya jangan hanya memilih parti berdasarkan faktor luaran," katanya.
Najib berkata, rakyat perlu disedarkan bahawa peri pentingnya menilai rekod cemerlang dan BN telah terbukti amat baik dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
"Apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum lalu adalah kerana kita sudah hilang sentuhan dengan rakyat. Kita dah sedar, insaf dan faham, BN terima apa yang rakyat mahu dan kita akan berubah untuk lebih baik," katanya.
utusan malaysia 02 Nov 2009
Posted by tajau singa raja
KUALA LUMPUR 1 Nov. - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua parti komponen yang mempunyai masalah dalaman supaya segera menyelesaikannya.
Tegas beliau, semua pihak perlu segera berubah ke arah kebaikan dan jangan sesekali membiarkannya berlanjutan terlalu lama hingga menyebabkan rakyat hilang kepercayaan.
Beliau yang juga Perdana Menteri turut mengingatkan parti-parti komponen BN supaya jangan hanya membiarkannya seorang yang komited untuk berubah.
"Saya minta jangan biarkan saya seorang sahaja, tetapi kita semua kena bertindak, macam kereta api tidak boleh hanya lokomotif sahaja bergerak di hadapan, semua kena bergerak bersama.
"Gerakan, MCA, MIC dan Parti Progresif Penduduk (PPP) semua kena bergerak, kalau ada masalah dalaman tu cepat-cepatlah selesaikan, tunggu apa lagi, selesaikan masalah.
"Percayalah kita berada pada landasan yang jelas, prinsip kita adalah jelas, suara rakyat adalah suara keramat dan BN akan abadikan diri untuk rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Perwakilan Nasional 2009 Parti Gerakan di sini hari ini.
Hadir sama, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Penasihat parti itu, Tun Dr. Lim Keng Yaik dan pemimpin-pemimpin parti komponen BN yang lain.
Tambah Najib, fokus utama pada masa ini ialah untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap BN dan bagi memastikan parti tersebut terus kekal relevan.
Katanya, rakyat telah memberi isyarat dan petunjuk kuat pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu untuk BN berubah ke arah lebih baik dan BN telah menerima dengan penuh keikhlasan teguran itu dan komited untuk melakukan perubahan.
Beliau berkata, semua pihak perlu dilengkapi dengan semangat dinamik, progresif, keyakinan diri dan ketahanan dalaman untuk bangkit semula.
"Baru sekali sahaja kena tsunami politik sudah tidak tahan lagi, adakah kamu semua terlalu lemah untuk bangkit kembali.
"Kemenangan besar di Bagan Pinang adalah ledakan paling besar terhadap pembangkang, kita menang sebab pengundi sana terima dasar kita, jentera kita di akar umbi bekerjasama dengan baik, kita segera bertindak menyelesaikan masalah dan letak calon yang boleh menang, akhirnya kita menang dengan lonjakan majoriti 132 peratus," katanya.
Najib terus membangkitkan semangat para perwakilan dengan menafikan sekeras-kerasnya tanggapan bahawa BN tidak mampu bangkit dengan penuh kekuatan.
"Kita akan buktikan mereka adalah salah, BN tetap merupakan parti yang dahulu relevan, sekarang relevan dan pada masa hadapan juga tetap relevan.
"BN akan jadi relevan bukan sebab kita kata parti kita relevan tapi kerana kita sanggup berubah dan sanggup memperjuangkan hala tuju gagasan 1Malaysia yang mengutamakan rakyat dalam segenap segi," katanya.
utusan malaysia 02/11/09
Posted by tajau singa raja
Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates