KUALA LUMPUR 26 Okt. - Datuk S. Nallakarupan menegaskan beliau tidak pelik dengan gelaran parti 'bateri 3A' yang diberi kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ini kerana, kata beliau, parti itu memang berkisar kepada tiga individu iaitu Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden, Azmin Ali.

Bekas rakan karib Anwar itu berkata, ketiga-tiga mereka akan menentukan apa sahaja perkara dalam PKR sehingga beliau sendiri yang bersahabat dengan Anwar selama 30 tahun sanggup diketepikan.
''Sebab itu banyak pemimpin terdahulu yang bertindak meninggalkan PKR kerana melihat parti itu hanya berkisar kepada tiga orang itu sahaja. Itulah hakikatnya.

''PKR hanya parti tiga orang A ini saja. Lihatlah saya sendiri, 30 tahun saya dengan Anwar, malah pernah masuk penjara kerana dia, tapi akhirnya dia tak pedulikan pun semua itu sampailah saya keluar PKR.

''Jadi kalau saya yang 30 tahun bersama Anwar boleh diperlakukan seperti ini, bayangkanlah pemimpin PKR lain. Bila-bila masa boleh dilupakan macam itu saja,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad baru-baru ini menyifatkan PKR parti 'bateri bersaiz 3A' kerana kekuatannya hanya ditentukan oleh Anwar, Azizah dan Azmin.

Diminta mengulas pelantikan Azmin selaku Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan yang baru, Nallakarupan berkata, ia menunjukkan Azmin mempunyai kedudukan istimewa di mata Anwar.
Kata beliau, ia merupakan satu keputusan besar kerana pelantikan Azmin adalah untuk menggantikan seorang lagi pemimpin kanan PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.


Pelantikan sebagai Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu bermakna Azmin menggantikan kedudukan Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak selain Menteri Besar Selangor.

''Azmin bukan Ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan seperti Abdul Khalid dan ini memperlihatkan siapa yang lebih penting di antara dua pemimpin itu kepada Anwar.

''Ini memang sudah dijangkakan. Walaupun atas sebab tertentu terpaksa digugurkan menerajui PKR Sabah, Anwar tidak mungkin tinggalkan Azmin yang tahu banyak mengenai Anwar.

''Bagi Azmin, ini satu cara penting untuk beliau mengukuhkan kedudukan politiknya terutama dalam PKR walaupun ia menyentuh jawatan Abdul Khalid,'' jelasnya.

Nallakarupan juga tidak hairan atas apa yang berlaku pada Abdul Khalid kerana beliau sendiri pernah diperlakukan sedemikian rupa bagi mengukuhkan kedudukan Azmin.
Dakwanya, ia berlaku pada pemilihan PKR suatu masa dahulu apabila beliau diminta oleh Anwar untuk menarik diri bertanding jawatan Naib Presiden walaupun mendapat pencalonan kedua tertinggi demi mengukuhkan kedudukan Azmin.

''Saya tak bercakap bohong, saya berani ke kuil untuk ulangi apa yang saya cakap ini. Anwar sendiri pada waktu itu minta saya tarik diri sebab Azmin mahu bertanding.

''Namun apabila saya tanya kepada Wan Azizah, beliau tidak pula tahu perkara tersebut,'' jelasnya.
Sumber,
Utisan Malaysia 27 .10.09
Posted by tajau singa raja
KUALA LUMPUR 26 Okt. - Selepas puluhan tahun Barisan Nasional (BN) berjaya mentadbir dan memajukan beberapa negeri seperti Selangor dan Kedah, kini sudah ada tanda pembangunan di negeri terlibat mungkin merosot.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelbagai isu politik yang membelenggu negeri terbabit akibat masalah kerjasama parti-parti dalam pakatan pembangkang akan membawa kesan pentadbiran yang amat buruk sehingga mengganggu perjalanan pembangunan.
Katanya, perkara itu adalah antara yang paling dibimbanginya, begitu juga para pemimpin BN yang lain.

Tambahnya, rakyat dan pengundi akan menjadi mangsa terhadap kemelut yang berlaku dalam pakatan pembangkang.

"Ini saya bimbang, kalau ada beberapa tahun lagi mereka mentadbir di negeri-negeri yang mereka ada kuasa tetapi tidak ditadbir dengan baik, jadi apa yang sudah kita bangunkan sebelum ini di bawah kerajaan BN mungkin akan merosot dan kesannya ialah nasib hidup rakyat dan pengundi di negeri yang berkenaan akan sulit," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pengurusan Aset dan Kemudahan Negara (Nafam) 2009 di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas kenyataan Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang dalam blognya yang mengakui pakatan pembangkang sedang melalui krisis kehilangan keyakinan daripada rakyat sejak lapan bulan yang lalu.
Hakisan keyakinan itu katanya, berpunca daripada kegagalan pemimpin pakatan pembangkang sendiri untuk melaksanakan tanggungjawab dan disiplin dalam parti masing-masing bagi meyakinkan pengundi Malaysia berhubung kredibiliti, integriti dan perpaduan antara mereka.

Menurut Muhyiddin, adalah sesuatu yang amat baik apabila Kit Siang sendiri sudah mengakui bahawa para pemimpin pakatan pembangkang mempunyai masalah untuk bersatu dan bekerjasama.
"Kalau Kedah kerajaan Pas dan DAP, di Selangor antara Datuk Dr. Hasan Ali dengan Menteri Besar, begitu juga di Pulau Pinang, kalau Kit Siang sendiri sudah akui mereka tidak ada kepimpinan, ia harus menyedarkan rakyat bahawa pakatan pembangkang tidak ada kemampuan," katanya.
Sehubungan itu Muhyiddin meminta rakyat menilai situasi secara mendalam bagi melihat masalah yang sebenarnya wujud.

Beliau juga meminta rakyat menilai kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN yang telah lama memiliki pengalaman untuk memajukan negara.

Menurutnya, bukan setakat di negeri-negeri tetapi di peringkat dalaman parti juga berkocak dengan pelbagai masalah yang cuba ditutup sepanjang masa oleh pakatan pembangkang.
"Kalau ambil parti-parti komponen mereka, Pas juga berhadapan dengan konflik yang hebat,
DAP nampak okay tetapi sebenarnya tidak okay, PKR pun begitu juga," katanya.
Beliau berkata, kemelut kepimpinan dalaman yang melanda Pas kini adalah satu bukti terhadap kenyataan itu.
Sumber,
utusan malaysia 27 okt 2009
Posted by tajau singa raja
Selepas setahun bertelagah, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas timbalannya, Datuk Seri Chua Soi Lek akhirnya bersetuju untuk berdamai dan mengenepikan pergeseran antara mereka.Kedua-duanya - yang sebelum ini sering melontar tuduhan antara satu sama lain - mengumumkan 'genjatan senjata' itu dalam satu sidang akhbar bersama di ibupejabat MCA di ibunegara hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Presiden MCA yang baru dilantik, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Dalam sidang akhbar tersebut, Ong membaca kenyataan yang berbunyi, beliau dan Chua sudah bersetuju untuk "bekerjasama sebagai satu pasukan" bagi menyatu dan memperkukuhkan semula MCA - parti komponen kedua terbesar dalam BN - yang sedang dilanda krisis kepimpinan.Beliau juga mendedahkan bahawa Chua bersetuju untuk bekerjasama dengannya "tanpa sebarang syarat".
"Ini adalah masanya untuk bermaaf-maafan dan melihat pada persekitaran yang lebih luas mengenai apa yang baik untuk parti dan bukannya untuk individu," katanya.Presiden MCA itu juga mendedahkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah diberi maklumat mengenai pelan damai tersebut dan telah merestuinya.
malaysia kini 23/10/09
Tahniah MCA setiap kekusutan dalam parti pasti ada jalan penyelesaian, persepakatan dalam parti komponen BN adalah penting untuk kita sama-sama berjuang memertabatkan konsep 1Malaysia dan menawan kembali hati masyarakat yang masih perlukan BN untuk terus membangun dan sejahtera dan aman damai di Malaysia......
Posted by tajau singa raja
Visit the Site
MARVEL and SPIDER-MAN: TM & 2007 Marvel Characters, Inc. Motion Picture © 2007 Columbia Pictures Industries, Inc. All Rights Reserved. 2007 Sony Pictures Digital Inc. All rights reserved. blogger templates